Adakah anda sering gelisah, tangan menggeletar, sukar tidur malam dan sering muntah selepas makan? Ini semua adalah tanda anxiety.
Ia merupakan sejenis penyakit mental yang boleh menjejaskan rutin harian dan kualiti hidup seseorang.
Ketika seseorang mengalami anxiety, badan akan menghasilkan hormon stres yang lebih tinggi daripada biasa. Disebabkan itulah sistem badan anda akan merasai kesannya.
Sebenarnya, ia merupakan satu tindak balas badan yang akan berlaku apabila seseorang berada dalam bahaya.
Namun, anxiety boleh menjadi semakin teruk sekiranya tidak ditangani dengan baik. Jadi, apakah tanda anxiety lain yang perlu anda tahu?
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Pengenalan
Masalah kesihatan mental boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengira usia, bangsa, tahap ekonomi dan pendidikan.
Stigma dan salah faham dalam kalangan masyarakat menyebabkan individu yang mengalami masalah atau penyakit mental tidak tampil untuk mendapatkan bantuan professional yang mereka perlukan.
Kesihatan mental mampu mempengaruhi kualiti kehidupan seharian, tahap pembelajaran dan produktiviti seseorang jika tidak ditangani dengan berkesan.
Oleh itu, ayuh kenali apa itu anxiety dan tanda-tandanya serta bagaimana cara mendapatkan bantuan bagi masalah ini.
10 Tanda Anxiety Yang Anda Perlu Tahu
1. Jantung Sering Berdebar
Kajian mendapati bahawa individu yang mengalami tekanan perasaan akan menghasilkan hormon adrenalin. Hormon inilah yang akan mendorong jantung untuk mengepam dengan lebih laju.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tindak balas badan akan berlaku apabila seseorang merasa gelisah atau bimbang.
Disebabkan itu, individu dengan anxiety mungkin boleh berdegup dengan laju tanpa sebab.
2. Tak Berhenti Berpeluh
Disebabkan rasa gelisah yang berpanjangan, individu dengan anxiety juga akan cenderung untuk mudah berpeluh terutamanya di kawasan ketiak dan tapak tangan.
3. Otot Kejang dan Sakit
Tanda lain bagi anxiety adalah otot mudah sakit dan kejang. Sebenarnya, ini juga merupakan satu lagi tindak balas semula jadi badan apabila terdedah kepada stres.
Malah, individu yang sering tertekan juga cenderung untuk ‘mengeraskan’ otot tanpa mereka sedari dalam satu tempoh masa yang panjang.
Disebabkan itu, pesakit anxiety biasanya akan rasa sakit pada bahagian leher, bahu dan belakang badan.
4. Sering Sesak Nafas
Pesakit yang mengalami anxiety akan mudah mengalami pernafasan laju sehingga sesak nafas. Ini disebabkan oleh kesan daripada degupan jantung yang terlalu pantas.
Jadi, adalah penting untuk pesakit untuk bernafas dengan perlahan dan menggunakan diafragma supaya lebih tenang.
5. Perut Tidak Selesa
Walaupun masalah seperti cirit-birit, kerap sendawa dan perut kembung nampak normal, namun ia boleh menjadi salah satu tanda anxiety.
6. Mudah Loya Atau Muntah Selepas Makan
Berdasarkan sebuah kajian yang dipetik dari jurnal General Hospital Psychiatry, individu dengan masalah anxiety mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk muntah atau loya selepas makan.
7. Kurang Selera Makan atau Terlebih Makan
Disebabkan stres atau kebimbangan yang melampau, seseorang boleh cenderung untuk kurang selera makan atau terlebih makan. Lebih menakutkan, sesetengah orang yang mengalami stres juga akan cenderung untuk makan makanan yang manis dan berlemak.
8. Rasa Penat Sepanjang Masa
Sekiranya anda selalu berasa penat, ada kemungkinan anda mengalami anxiety. Rasa bimbang serta gelisah sepanjang masa boleh menyebabkan badan sentiasa berada dalam keadaan waspada.
9. Sukar Tidur Malam
Rasa bimbang yang berpanjangan pula seterusnya boleh menyebabkan seseorang sukar tidur malam. Ini juga disebabkan tahap hormon stres yang terlalu tinggi dalam badan sehingga membuatkan badan sukar untuk relaks.
Masalah sukar tidur ini akan jadi lebih tidur sekiranya pesakit mengambil kafein pada keesokan harinya untuk terus berjaga.
10. Tangan atau Jari Menggigil
Seseorang dengan masalah anxiety juga boleh mengalami tangan atau jari menggigil tanpa sebab. Berdasarkan perkongsian daripada National Institute of Mental Health, ini merupakan salah satu kesan sampingan akibat peningkatan hormon stres dalam badan.
Cara Tangani Anxiety
Dalam kebanyakan masa, anxiety boleh ditangani dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.
Berikut disenaraikan beberapa tips untuk mencegah serangan kerisauan yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia (rujuk infografik):
Antara beberapa langkah lain yang anda boleh ambil untuk elakkan anxiety adalah :
Bersenam
Senaman dapat membantu badan merembeskan hormon endorfin yang boleh mendorong seseorang lebih tenteram dan mampu membaiki mood.
Pada masa yang sama, aktiviti fizikal juga dapat membantu meredakan stres atau tekanan yang boleh menyebabkan gangguan kecemasan.
Amalkan Pemakanan Sihat
Beberapa makanan sihat yang boleh membantu mengatasi anxiety adalah sayuran hijau, buah-buahan, kekacang, ikan dan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks.
Cuba untuk elakkan makanan yang mengandungi gula, kafein dan makanan yang diproses kerana ia dikatakan boleh meningkatkan rasa cemas.
Dapatkan Tidur Yang Mencukupi
Rehat serta tidur yang tidak mencukupi boleh meningkatkan risiko gangguan kecemasan.
Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, anda disarankan untuk mengelak pengambilan minuman berkafein pada waktu malam.
Cuba untuk sasarkan waktu tidur selama 7 hingga 8 jam sehari.
Lakukan Meditasi & Dekatkan Diri Pada Pencipta
Meditasi seperti solat sunat dan senaman minda seperti yoga sering menjadi pilihan ramai bagi meningkatkan kesihatan mental. Selain itu, ia juga berkesan untuk membantu seseorang mengawal pernafasan dan mengasah minda agar lebih fokus.
Di samping itu, ia juga didapati mampu mengurangkan tekanan darah dan membantu dalam membaiki kualiti tidur.
Wujudkan suasana positif di rumah. Cerita yang baik-baik sahaja. Jangan biarkan pesakit sunyi dan keseorangan.
Sekiranya anda mengalami tanda anxiety yang disenaraikan, anda perlulah tanganinya secepat mungkin sebelum ia menjadi lebih kronik.
Jika anda dapati sukar untuk mengawalnya sendiri, dapatkan bantuan atau nasihat daripada doktor atau pakar psikiatri.
Jangan malu untuk bercerita kepada orang terdekat agar mereka tahu keadaan anda dan mereka dapat berikan sokongan.
Khidmat Talian Sokongan Bagi Penyakit Anxiety
Untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan sokongan sosial, hubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental (Talian HEAL 15555) Help With Empathy And Love – yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum bermula 08:00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Sumber : Public Health Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia