Takwim persekolahan – KPM komited kembalikan sesi bermula Januari pada 2026
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan mengembalikan semula takwim persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini, mulai sesi 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya telah menyusun dan mengawal kalender akademik sesi 2024/2025 supaya ia bermula pada Februari 2025.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki.
Perkara ini
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, setakat ini perbincangan ke arah itu sedang dilakukan dan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat justifikasi-justifikasi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu mengikut Akta Pendidikan 1996.
“Kita akan balik ke Januari, jangan risau kerana saya tahu ramai ibu bapa tertunggu-tunggu dan meminta kementerian untuk kembalikan permulaan sesi persekolahan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan tahun 2024 kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.
“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
“Selain itu, kita turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B.”
Sebelum ini, sesi persekolahan telah dianjakkan kepada bulan Mac susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan takwim persekolahn bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.
Untuk makluman, takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac tahun hadapan mengikut negeri.
Rujuk :
- Takwim Sekolah 2023 / 2024 KPM & Cuti Penggal Persekolahan
- AINS NILAM KPM – Advance Integrated NILAM System
Jelas Fadhlina, perubahan semula takwim persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Rata-rata, ibu bapa berasa lega dan gembira dengan kenyataan ini kerana ramai yang lebih selesa jika sesi persekolahan bermula pada awal tahun berbanding pada bulan Februari atau Mac yang akan bertembung dengan bulan Ramadan.