Tahfiz Model Ulul Albab: Kelebihan & Subjek Ditawarkan

Salah satu model pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar di sekolah menengah ialah Tahfiz Model Ulul Albab di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Tahfiz model ini adalah nilai tambah kepada sistem Pendidikan Agama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah KPM.

Pelajar-pelajar yang lahir dari sistem ini disasarkan akan memenuhi keperluan guna tenaga profesional yang hafiz di dalam negara.

Latar Belakang Tahfiz Model Ulul Albab

Model pendidikan ini merupakan gabungan antara Kurikululam Kebangsaan, Kurikulum Bersepada Tahfiz (KBT) dan Program Ulul al-Bab yang berasaskan pendekatan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Ini adalah berdasarkan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang berhasrat untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya di dalam pasaran kerja berteraskan nilam Islam yang kukuh.

Pada 7 Disember 2013, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin telah mengumumkan pelaksanaan model pendidikan ini diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai tahun 2014.

Idea model pendidikan ini dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Malaysia II pada ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh ini.

Untuk SMKA, pelaksanaannya mula dilaksanakan secara rasminya di SMK Agama Kuala Lumpur bermula pada 16 Januari 2014 dengan pengambilan pertama seramai 150 orang pelajar dan 15 orang guru.

Objektif Pelaksanaan Tahfiz Model Ulul Albab

Objektif pelaksanaan tahfiz model ini adalah seperti berikut:

  • Menghafaz 30 juzuk al-Quran
  • Profesional yang mempunyai asas keagamaan yang mantap berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah
  • Berketerampilan, berwibawa dan berkepemimpinan
  • Mengoptimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif dan inovatif; dan
  • Boleh menjalin hubungan dengan Allah s.w.t, sesama manusia dan melestarikan diri dengan kejadian alam berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah

Kelebihan Tahfiz Model Ulul Albab

Terdapat 3 kelebihan murid mengambil model pendidikan ini:

  • Murid bakal menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahami kandungan berdasarkan konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar ( BIFFAS ). Murid akan mempelajari serta mengikuti mata pembelajaran Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.
  • Murid akan menguasai pelbagai disiplin ilmu dan bahasa, berkemahiran tinggi dan mampu bertindak sebagai pakar rujuk pada masa akana datang.
  • Murid akan didedahkan pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, memaksimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif dan inovatif. Ini akan dilaksanakan secara bersepadu melalui pengintegrasian antara kurikulum dan ko-kurikulum.

Subjek Pembelajaran

Murid yang mengambil program ini perlu mempelajari mata pelajaran teras iaitu:

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains
  • Sejarah 
  • Pendidikan Islam

Mata pelajaran wajib yang akan diikuti murid ialah:

  • Geografi
  • Asas Sains Komputer atau Reka Bentuk Teknologi
  • Pendidikan Seni Visual atau Pendidikan Muzik (bagi SBP)
  • Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan

Bagi mata pelajaran Tahfiz pula, murid akan mengikuti mata pelajaran berikut iaitu:

  • Hifz Al-Quran
  • Maharat Al-Quran

Di samping itu, murid juga akan mengikuti mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab dan 1 mata pelajaran Bahasa Antarabangsa yang ditawarkan mengikut SBP masing-masing seperti:

  • Bahasa Cina Komunikasi
  • Bahasa Jepun (bagi SBP)
  • Bahasa Jerman 
  • Bahasa Perancis

Senarai Sekolah

Senarai sekolah yang mempunyai program ini adalah seperti berikut:

i) SMKA

  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah 
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syeikh Hj Othman Abd Wahab
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya

ii) SBP

  • Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang
  • Sekolah Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong
  • Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit
  • Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar

Info Lanjut

Info lanjut mengenai Tahfiz Model Ulul-Albab, sila layari laman web https://spskt1.moe.gov.my/.

Baca juga: Program Pensijilan Tahfiz JAKIM IIUM: Syarat & Cara Mohon

Bantu kami share artikel ini: