Surah Al Falaq~ Bacaan, Rumi & Terjemahan (Beserta Audio)
Surah Al Falaq adalah merupakan surah ke-113 di dalam Al-Quran dan terdiri daripada 5 ayat. Ia merupakan salah satu daripada surah 3 Qul yang sangat digalakkan untuk dibaca setiap hari.
Surah ini diturunkan di Makkah, oleh itu ia termasuk dalam golongan surah Makkiyah dan diturunkan serentak bersama Surah An Nas selepas turunnya surah Al-Fil.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai surah ini.
BACA JUGA: Surah Al Ikhlas ~ Bacaan, Rumi & Terjemahan (Beserta Audio)
Maksud Al-Falaq
Al-Falaq bermaksud cahaya waktu Subuh atau seluruh makhluk. dalam bahasa Arab. Kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat di dalam Surah al-Falaq.
Surah ini dinamakan Al-Falaq kerana diambil daripada perkataan “Al-Falaq” yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Tema dan Ringkasan Kandungan Surah
Surah ini merupakan salah satu daripada surah Makkiyah yang mengandungi perintah agar memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada segala keburukan yang tersembunyi.
Ayat pertama bermaksud sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyid Qutub bahawa boleh ditafsirkan dengan kedua pengertian di atas iaitu “aku mohon perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi” atau dengan “aku mohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.”
Ayat kedua pula bermaksud semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan keturunannya. Setiap makhluk di dunia ini mempunyai kebaikan dan kejahatan masing-masing. Maka telah menjadi lumrah kepada setiap manusia sukakan kebaikan dan bencikan keburukan. Kata al-Maraghi, “aku berlindung, memohon perlindungan kepada zat Tuhan bagi semua makhluk, Pencipta segala-galanya yang ada daripada segala penyakit dan keburukan yang menimpaku.” Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat ini juga bermaksud berlindung daripada kejahatan seluruh makhluk.
Ayat seterusnya, bermaksud “matahari apabila tenggelam” atau “malam yang berlabuh”. Ini kerana, pada waktu itulah keluarnya binatang buas, serangga dan juga orang-orang jahat. Tambahan pula, kegelapan malam mendorong syaitan untuk berusaha menggugat keimanan manusia yang sudah sedia goyah.
Adapun ayat keempat di dalam ayat ini dinyatakan an-Naffathaat iaitu tukang sihir wanita. Umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita. Namun, ayat ini juga termasuklah tukang sihir lelaki dan wanita. (Rujuk Ruh al-Ma’ani Tafsir Juz ‘Amma, hal. 295)
Dalam al-Bahr al-Muhit menyebut: Dari kejahatan ahli sihir wanita yang mengikat simpulan benang dan meniupkannya untuk memberi mudarat kepada hamba Allah dengan sihir mereka dan meruntuhkan serta memisahkan suami dengan isteri. (Rujuk al-Bahr al-Muhit, 8/530)
Ayat terakhir menceritakan berkaitan hasad dan hasad adalah bercita-cita untuk menghilangnya nikmat yang ada pada orang lain baik agar berpindah kepada dirinya ataupun tidak. Akhirnya, Allah menutup surah ini dengan hasad, sebagai peringatan bahayanya perkara ini kerana hasad adalah seperti memusuhi nikmat Allah.
Lafaz Bacaan Surah Al Falaq
Bacaan Rumi
Qul a’udzu birobbil falaq
Min syarri ma kholaq
Wa min syarri iza waqab
Wa min syarrinnaffatsati fil ‘uqad
Wa min syarri hasidin iza hasad
Terjemahan Bahasa Melayu (Setiap Ayat)
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
“Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
“Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلْعُقَدِ
“Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
“Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
Asbabul Nuzul (Sebab Turunnya Surah Al Falaq)
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq.
Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi SAW beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, rambut baginda diikat pada mayang kurma dengan sebelas ikatan dan dicampakkan ke dalam telaga Zarwan di mana telaga Nabi SAW selalu mandi.
Kesan daripada sihir ini, sebagaimana dalam satu hadis daripada Saidatina Aisyah RA menceritakan, bahawa Nabi SAW mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya.
Pada suatu malam, dua malaikat berupa dua orang lelaki datang menemui Nabi SAW ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Nabi SAW.
Maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah ‘Mu’awwidataini’ (Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas). Inilah sebab turunnya dua surah tersebut sekali gus.
Keutamaan Membaca Surah Al Falaq
1. Meleraikan Sihir
Terdapat satu riwayat menyatakan ketika Nabi SAW membaca dua surah ini, iaitu surah Al-Falaq dan An-Nas, maka simpulan pada bahan sihir tersebut terlepas dan badan Baginda terasa ringan dari pengaruh sihir tersebut sehingga terlepaslah semua ikatan yang ada.
(rujuk Tafsir Al-Jalalain, halaman 615)
2. Melindungi Diri Daripada Penyakit Was-Was
Setiap kali sebelum menunaikan solat, kita dianjurkan untuk mengamalkan surah Al Falaq agar terhindar dari rasa tidak khusyuk.
3. Dibaca Sebelum Tidur Bersama Surah Al Ikhlas dan Surah An Nas
Daripada Aisyah RA, ia berkata;
“Sesungguhnya Nabi SAW apabila ingin merebahkan tubuhnya (tidur) di tempat tidurnya setiap malam, baginda mengumpulkan kedua telapak tangannya, kemudian baginda sedikit meludah padanya sambil membaca surat “Qul Huwallahu Ahad” dan “Qul A‟udzu bi Rabbin Naas” dan “Qul A‟udzu bi Rabbil Falaq”.
Kemudian (setelah itu) baginda mengusapkan kedua telapak tangannya ke seluruh tubuhnya yang dapat baginda jangkau. Baginda memulainya dari kepalanya, wajahnya, dan bagian depan tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”
Pengajaran Surah Al Falaq
1. Memohon Perlindungan Daripada Allah dari Segala Kejahatan & Keburukan
Surah Al-Falaq mengajarkan pentingnya meminta perlindungan Allah dari segala kejahatan dan keburukan yang datang dari pelbagai arah, terutamanya pada waktu malam. Ini mengingatkan kita untuk sentiasa bergantung kepada Allah dalam menghadapi cabaran dan ancaman.
2. Kekuatan Dzikir dan Doa
Surah ini menekankan kekuatan dzikir (mengingati Allah) dan doa sebagai cara untuk meminta perlindungan daripada Allah. Ia mengajarkan bahawa dengan mengingati Allah dan meminta pertolongan-Nya, kita dapat merasa tenang dan selamat dari segala bentuk bahaya.
3. Kesedaran Akan Kehadiran Syaitan
Surah Al-Falaq juga memberi kita kesedaran akan kehadiran syaitan dan usahanya untuk mempengaruhi dan merugikan manusia. Ini mengingatkan kita untuk waspada terhadap tipu daya syaitan dan untuk mencari perlindungan daripada Allah terhadap pengaruh jahatnya.
4. Mengukuhkan Iman dan Taqwa
Dengan mengamalkan ajaran Surah Al-Falaq, kita dapat mengukuhkan lagi iman dan ketaqwaan kita kepada Allah.
Sumber: