Sunway Lagoon adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan hiburan untuk seisi keluarga.
Terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya, taman tema ini bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah turut dikenali di peringkat antarabangsa.
Berikut dikongsikan secara terperinci mengenai panduan lengkap ke Sunway Lagoon, daripada tarikan utamanya sehinggalah tips-tips berguna untuk pengunjung.
Mari kita terokai keajaiban yang menanti di Sunway Lagoon!
BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik Di Selangor, Sesuai Untuk Trip Hujung Minggu!
Sejarah dan Latar Belakang Sunway Lagoon
Sunway Lagoon mula beroperasi pada tahun 1992, dengan dua tarikan utama iaitu Water Park dan Dry Park.
Pada tahun yang sama, taman ini dibuka kepada pengunjung, tetapi ia hanya diresmikan secara rasmi pada tahun berikutnya. Ia telah dibuka secara rasmi pada tahun 1993 oleh Tan Sri Jeffrey Cheah, pengasas Sunway Group.
Dengan matlamat untuk mencipta sebuah pusat rekreasi yang menggabungkan hiburan dan pendidikan, Sunway Lagoon telah berkembang menjadi salah satu taman tema terbaik di Asia Tenggara.
Terletak di atas tapak lombong bijih timah yang telah dipulihkan, taman ini kini menjadi simbol transformasi dan kemajuan bandar Sunway.
Bukan itu sahaja, Sunway Lagoon juga merupakan ‘aset’ penting dalam industri pelancongan Malaysia.
Enam Zon dan Tarikan Utama
Dengan keluasan 88 ekar, taman tema ini menyediakan enam zon tema yang unik, menjadikannya destinasi hiburan yang lengkap untuk seisi keluarga atau bersama pasangan dan kawan-kawan.
1. Water Park
Water Park di Sunway Lagoon adalah salah satu tarikan utama dan merupakan kawasan yang paling ramai dikunjungi.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti air yang menyeronokkan, antaranya:
- Vuvuzela: Gelongsor air terbesar di dunia, membawa pengunjung melalui tiub yang berliku sebelum terjun ke dalam corong besar.
- Surf Beach: Pantai buatan terbesar di Malaysia, mempunyai ombak yang boleh dinaiki menggunakan papan luncur.
- African Pythons: Gelongsor air yang panjang, membawa pengunjung melalui pelbagai selekoh yang mendebarkan sebelum tiba di kolam renang.
- Little Zimbabwe: Kawasan permainan air yang direka khusus untuk kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti dan gelongsor air kecil yang selamat.
Dan pelbagai lagi!
2. Amusement Park
Amusement Park adalah zon yang menawarkan pelbagai permainan dan tarikan yang membuatkan ‘adrenaline’ anda melonjak tinggi. Ia sesuai untuk pengunjung yang tidak mahu aktiviti yang basah atau melibatkan air.
Antara tarikan utama di zon ini ialah:
- Lost City of Gold Scream Coaster: Roller coaster ini membawa pengunjung melalui pelbagai selekoh tajam dan turunan curam dengan kelajuan tinggi.
- Pirate’s Revenge: Sebuah kapal lanun berputar 360 darjah dalam bentuk galleon.
- Pedestrian Suspension Bridge: Sebuah jambatan gantung terpanjang di dunia dengan panjang 428m. Dari jambatan ini, anda boleh melihat seluruh Sunway Lagoon.
- Carousel: Tunggangan klasik yang sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang mencari hiburan yang lebih santai.
3. Wildlife Park
Wildlife Park adalah tempat di mana pengunjung boleh melihat dan belajar mengenai pelbagai jenis haiwan dari seluruh dunia.
Zon ini menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dan edukatif untuk seisi keluarga.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman interaktif dengan haiwan, termasuk memberi makan kepada arnab, memegang ular sawa dan melihat pelbagai spesies haiwan seperti burung kakak tua dan harimau putih.
Zon ini juga berfungsi sebagai platform untuk mendidik pengunjung mengenai pemuliharaan haiwan dan pentingnya menjaga biodiversiti.
4. Extreme Park
Extreme Park adalah zon untuk mereka yang ingin mencuba aktiviti lasak dan mencabar. Zon ini menawarkan pelbagai aktiviti ekstrem yang pasti akan memacu adrenalin anda. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk:
- Bungee Jump
- Go-Kart
- G-Force X
- Paintball
5. Scream Park
Scream Park adalah zon yang dikhususkan untuk pengunjung yang menyukai pengalaman yang menyeramkan. Beberapa tarikan yang terdapat di sini termasuk lah, Rumah Hantu, Terror Tunnel dan Prison Break dan juga Scream Park.
Nak uji keberanian anda, singgahlah ke zon ini!
6. Nickelodeon Lost Lagoon
Nickelodeon Lost Lagoon adalah zon terbaru yang dibuka pada tahun 2016. Ia menawarkan pengalaman bertemakan watak-watak popular Nickelodeon seperti SpongeBob SquarePants dan Dora the Explorer.
Tarikan utama di zon Nickelodeon Lost Lagoon ini adalah:
- Splish Splash Adventure: Taman air dengan pelbagai permainan air yang menyeronokkan, semuanya bertemakan watak-watak Nickelodeon seperti SpongeBob SquarePants dan Dora the Explorer.
- Monsoon 360: Gelongsor air dengan putaran 360 darjah yang mendebarkan. Satu pengalaman yang pasti disukai oleh mereka yang mencari keseronokan.
- Primeval: Kawasan bertema zaman prasejarah dengan pelbagai permainan dan aktiviti yang menarik.
Aktiviti dan Hiburan Lain
Selain daripada tarikan utama, Sunway Lagoon juga menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan tambahan untuk memastikan keseronokan berterusan.
Berikut adalah beberapa aktiviti dan hiburan tambahan yang boleh dinikmati di Sunway Lagoon:
1. Pertunjukan Langsung dan Acara Khas
Sunway Lagoon sering mengadakan pelbagai pertunjukan langsung dan acara khas yang menarik perhatian pengunjung.
Antaranya ialah, pertunjukan burung, reptilia dan mamalia yang dikendalikan oleh penjaga haiwan profesional.
Selain itu, terdapat juga pertunjukan air yang melibatkan aksi akrobatik dan stunt yang mendebarkan. Pertunjukan ini biasanya diadakan di Surf Beach atau kawasan kolam ombak.
Bukan itu sahaja, Sunway Lagoon juga sering mengadakan acara khas sempena musim perayaan seperti Halloween, Krismas dan Tahun Baru. Acara ini termasuk pertunjukan bertema, perarakan dan aktiviti interaktif yang sesuai untuk semua peringkat umur.
2. Aktiviti Interaktif
Selain pertunjukan dan acara khas, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti interaktif disini seperti sukan luncur ombak menggunakan simulator surfing yang sesuai untuk semua peringkat kemahiran, daripada pemula hingga pakar.
Sunway Lagoon juga menawarkan aktiviti menyelam skuba di kawasan kolam yang direka khas. Pengunjung boleh belajar asas menyelam dan menikmati pemandangan bawah air yang menakjubkan.
3. Aktiviti Ekstrem
Bagi pengunjung yang sukakan cabaran dan aktiviti yang meningkatkan adrenalin, anda boleh cuba aktiviti terjun bungee, G-Force X dan Flying Fox.
4. Aktiviti Keluarga dan Kanak-kanak
Bagi yang ingin meluangkan masa berseronok bersama keluarga, Sunway Lagoon juga menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga termasuk kanak-kanak.
Salah satunya ialah Rain Fortress dan Kalahari Kids. Ia merupakan Kawasan bermain air yang direka khas untuk kanak-kanak, dengan pelbagai permainan air yang selamat dan menyeronokkan.
Selain itu, di Wildlife Park, terdapat mini zoo di mana kanak-kanak boleh berinteraksi dengan haiwan kecil seperti arnab, kambing, dan burung.
Kemudahan dan Perkhidmatan Tambahan
Untuk memastikan keselesaan dan keseronokan pengunjung, Sunway Lagoon menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan tambahan. Antaranya ialah;
- Penyewaan Loker dan Tuala: Loker dan tuala boleh disewa untuk menyimpan barang-barang peribadi dan memastikan pengunjung selesa sepanjang hari.
- Restoran dan Gerai Makanan: Terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman di seluruh taman tema, termasuk restoran bertemakan, gerai makanan segera, dan kafe.
- Kedai Cenderahati: Pengunjung boleh membeli cenderahati dan barangan berjenama Sunway Lagoon sebagai kenangan lawatan mereka.
- Pusat Pertolongan Cemas: Pusat pertolongan cemas tersedia untuk kes-kes kecemasan, dengan kakitangan perubatan yang terlatih.
- Bilik Solat: Kemudahan solat disediakan untuk pengunjung Muslim, memastikan mereka dapat menunaikan ibadah dengan selesa.
Penginapan dan Spa
Bagi pengunjung yang ingin menghabiskan lebih banyak masa di Sunway Lagoon, terdapat pilihan penginapan yang selesa dan spa untuk bersantai.
Anda boleh menginap di Sunway Lagoon Hotel yang terletak berhampiran dengan taman tema. Hotel ini merupakan pilihan popular pengunjung dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden. Harganya pun berpatutan.
Selain itu, terdapat juga beberapa pilihan hotel berdekatan lain yang anda boleh pilih, contohnya seperti Sun Inns Hotel Sunway Lagoon, Indah Villa dan sebagainya.
Sunway Lagoon juga menyediakan perkhidmatan spa untuk pengunjung yang ingin bersantai dan merehatkan diri selepas seharian menikmati aktiviti di taman tema.
Anda boleh pilih pakej-pakej yang ditawarkan mengikut kesesuaian dan keperluan anda.
Berhampiran taman tema ini juga ada sebuah pusat beli-belah yang terkenal iaitu Sunway Piramid.
Tips Penting untuk Pengunjung!
- Beli tiket awal: Beli tiket secara online untuk mengelakkan beratur panjang di kaunter tiket
- Datang awal: Rancang perjalanan anda agar anda boleh tiba awal di Sunway Lagoon untuk mengelakkan kesesakan serta berpeluang menikmati lebih banyak aktiviti.
- Pakaian dan kelengkapan: Bawa pakaian renang dan tuala sendiri untuk menjimatkan kos penyewaan.
- Kasut selesa: Gunakan kasut yang sesuai untuk berjalan jauh dan aktiviti air seperti selipar, sandal sukan atau kasut air.
- Aktiviti air: Mulakan dengan aktiviti air di Water Park kerana ia adalah tarikan utama
- Penjagaan barang peribadi: Sewa loker untuk menyimpan barang-barang peribadi dengan selamat.
- Makanan dan minuman: Bawa botol air untuk mengelakkan dehidrasi. Anda boleh bawa makanan ringan untuk mengalas perut.
- Rancang itinerari: Dengan merancang itinerari, anda boleh memastikan anda tidak terlepas mana-mana tarikan utama. Peruntukkan masa yang mencukupi kerana Sunway Lagoon mempunyai 6 zon tema yang berbeza.
- Keselamatan: Ikuti semua arahan keselamatan yang diberikan oleh kakitangan taman tema.
- Penginapan: Sekiranya anda merancang untuk tinggal lebih lama, pertimbangkan untuk menginap di hotel berdekatan seperti Sunway Lagoon Hotel.
Tempah Tiket Masuk Melalui KLOOK
Jom dapatkan tiket Sunway Lagoon melalui Klook dan nikmati pelbagai kelebihan!
Bukan sahaja anda boleh mengelakkan beratur panjang di kaunter tiket, malah anda boleh mendapat harga dengan diskaun istimewa.
Taip; Sunway Lagoon di kotak carian dibawah dan buat pilihan tiket yang anda kehendaki.
Klook.comKesimpulan
Sunway Lagoon adalah destinasi yang sempurna untuk pengembaraan seisi keluarga. Ia menjanjikan pengalaman penuh keseronokan yang tidak dapat dilupakan.
Jangan lupa untuk merancang lawatan anda dengan baik, bawa keperluan yang diperlukan dan nikmati setiap saat di taman tema yang hebat ini. Selamat berseronok di Sunway Lagoon!
Rujukan: Laman Rasmi Sunway Lagoon