Setiap rumah pasti mempunyai sebotol sos tiram di dapur. Ia boleh dikatakan sebagai antara penambah perasa yang wajib ada di rumah seperti sos cili, sos tomato dan kicap.
Namun, tahukah anda bahawa sos tiram atau oyster sauce yang berada di pasaran mempunyai kandungan yang berbeza mengikut jenis?
Apa pula perbezaan sos tiram dengan sos berperisa tiram?
Ayuh kita kenali sos penambah perasa ini dengan lebih lanjut.
Kegunaan Sos Tiram
Mengandungi bahan utama seperti ekstrak tiram, gula, garam dan MSG, sos tiram merupakan salah satu penambah rasa yang popular dalam masakan Asia.
Ia memberikan rasa yang lemak dan masin pada masakan.
Sos ini sesuai untuk digunakan dalam pelbagai masakan antaranya masakan Cina, mi goreng dan lauk berasaskan ayam.
Kebanyakan para ibu juga wajib meletakkan sos tiram dalam hidangan sayuran.
Seperti ramuan penambah rasa lain di dapur, sos tiram mampu menyerlah rasa masakan dengan cukup baik walaupun digunakan dalam kuantiti sedikit.
Sos Tiram vs Sos Berperisa Tiram
Walaupun terdapat pelbagai jenis sos tiram di pasaran, namun kebanyakannya tidak sama.
Untuk ketahui perbezaannya, anda perlulah semak pada kandungan ramuannya. Ada yang mempunyai kandungan ekstrak tiram yang tinggi (jenis premium) dan ada juga yang mempunyai kandungan ekstrak tiram yang tiruan atau digantikan dengan perasa lain seperti serbuk cendawan.
Bagi membantu anda mengenalpasti perbezaan sos ini di pasaran, ayuh kita semak penjelasan yang telah dipetik dari perkongsian Chef Amer di Facebook.
Secara umumnya terdapat 5 jenis sos tiram di pasaran iaitu :
- Sos Tiram / Oyster Sauce
- Kandungan ekstrak tiram melebihi 10%
- Mempunyai rasa tiram yang asli
- Contoh jenama : Panda Brand Oyster Sauce (11% ekstrak tiram)
2. Sos Perisa Tiram / Oyster Flavoured Sauce
- Mengandungi kandungan ekstrak tiram kurang 5%. Disebabkan ini, ia hanya boleh dipanggil sos berperisa tiram sahaja.
- Mempunyai rasa tiram yang sederhana
- Contoh jenama : Nona, Adabi, Maggi
3. Sos Tiram Premium / Premium Oyster Sauce
- Mempunyai kandungan ekstrak tiram sehingga 40%
- Memiliki rasa tiram yang padu dan asli serta harganya agak mahal berbanding yang lain
- Contoh jenama : Lee Kum Kee Premium Brand Oyster Sauce (Gambar ibu dan anak dalam sampan)
4. Sos Tiram Tiruan Sayuran/ Vegetarian Flavoured Oyster Sauce
- Tiada langsung ekstrak tiram dalam sos ini. Sebaliknya, ia digantikan dengan serbuk cendawan serta bahan perasa sahaja.
- Sesuai untuk pengguna vegetarian
- Contoh jenama : Sos Berperisa Tiram Sayuran Lee Kum Kee
5. Sos Berperisa Tiram Ekonomi
- Sos ekonomi mengandungi ekstrak tiram yang sangat rendah atau tiada langsung, sekadar perasa dan kicap pemekat sahaja.
- Harga sangat murah dan biasanya dijual dalam tong besar 3 kg hingga 5 kg.
- Contoh jenama : Puteri, Emos, HTH
Disebabkan kandungannya yang berbeza, harganya juga pasti berbeza. Oleh itu, anda perlulah tentukan sos tiram yang terbaik untuk dibeli mengikut bajet, citarasa dan tujuan masakan masing-masing.
Anda juga digalakkan untuk semak status halal bagi setiap produk sos tiram yang ada di pasaran. 5 jenis sos yang kami kongsikan ini semuanya adalah halal jadi anda tak perlu risau.
Seperkara lagi, anda perlulah gunakan penambah rasa ini secara berpada-pada dalam masakan.
Ini penting bagi mengekalkan nutrisi asal hidangan untuk santapan seisi keluarga.
Maklumlah, sos ini mengandungi kandungan gula, garam dan MSG yang agak tinggi.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda memilih ramuan masakan yang tepat untuk kegunaan di rumah. Selamat mencuba!
Sumber : Facebook Chef Amer
Baca Juga : Nama Lain Gula dan Tips Kawal Pengambilan Gula (KKM)