Sos Ikan : Kegunaan dan Jenama Halal Popular di Malaysia

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sos ikan merupakan antara ramuan penambah rasa yang cukup popular di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Dalam kebanyakan masa, sos ini dihasilkan daripada ikan yang ketara baunya seperti ikan bilis dan digabungkan bersama garam.

Memberikan rasa masin yang agak kuat dan mampu menyerlahkan rasa masakan, ia juga dikenali dengan nama lain seperti fish sauce, kicap ikan dan sos nampla.

Kegunaan

Fungsi utama sos yang dipopularkan oleh negara Thailand ini adalah sebagai pengganti garam atau penambah rasa dalam masakan.

Antara hidangan yang menggunakan sos ini adalah hidangan Thailand khususnya hidangan berasaskan makanan laut seperti tomyam, ikan masak steam, kerabu, ikan tiga rasa, lauk paprik dan sebagainya.

Ada juga yang menggunakan sos ini sebagai ramuan utama dalam sos pencicah seperti sos hijau Thai, sos pencicah daging harimau menangis, sos pencicah dumpling dan sos pencicah ulam-ulaman.

Pada masa yang sama, ia juga sesuai untuk digunakan bagi juadah harian yang ringkas seperti telur dadar, mi goreng dan nasi goreng.

Bagi yang pertama kali ingin mencuba penambah rasa ini dalam masakan, anda mungkin keliru untuk membuat pilihan.

Maklumlah, terdapat banyak jenama di pasaran.

Berikut kami cadangkan beberapa jenama fish sauce yang popular dan menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia.

Sumber : Katadata

1. Fish Sauce Squid Brand

Sumber ; mycs.com.my

Disebabkan sos jenama ini, sesetengah orang sudah terbiasa memanggil sos ikan sebagai kicap sotong. Ini menyebabkan ada yang menganggap bahawa sos ikan dihasilkan daripada sotong.

Padahal, ia hanyalah jenama bagi sos ikan terkenal yang satu ini.

Sos yang berasal dari Thailand ini menjadi antara pilihan utama ramai pengguna kerana rasanya yang tidak terlalu kuat dan sesuai untuk pelbagai jenis masakan, khususnya hidangan berkuah.

2. Sos Ikan Cap Puteri

Merupakan jenama pelbagai jenis sos yang tidak asing lagi di Malaysia, Puteri turut menghasilkan sos ikan berkualiti tinggi dengan menggunakan ikan bilis sebagai bahan utama.

3. Ferry Brand Fish Sauce

sos ikan
Sumber : Facebook Azlina Ina Fans

Turut memiliki sijil halal daripada The Islamic Committee of Thailand, Ferry Brand Fish Sauce juga mempunyai rasa yang tidak kurang hebatnya.

Lebih menarik lagi, jenama ini menawarkan tiga jenis sos ikan iaitu berasaskan sotong, ikan bilis dan bawal putih (silver pomfret).

4. Tiparos Fish Sauce

sos ikan

Merupakan satu lagi jenama sos ikan yang terkemuka dari Thailand, Tiparos Fish Sauce memberikan rasa dan aroma masin yang seimbang bagi menyerlahkan keenakan masakan.

Pengguna Muslim juga tidak perlu ragu kerana sos ini boleh didapati dengan cop halal daripada Central Islamic Committee Thailand.

5. Knife Thai Fish Sauce

sos ikan
Sumber : qiksmartsg.com

Bebas bahan pengawet dan pewarna tambahan, sos daripada jenama Knife ini merupakan antara jenama yang sesuai bagi yang ingin menikmati masakan dari rumah secara lebih sihat.

Sos yang dihasilkan daripada ikan bilis berkualiti ini menawarkan rasa ikan yang asli dan tidak terlalu masin.

Harganya juga cukup berpatutan untuk anda dapatkan di pasaran.

6. Sos Ikan Cap Ketereh

sos ikan
Sumber : Facebook Bin Hassan Tayyibah Mart

Siapa sangka jenama Cap Ketereh yang terkenal dengan pengeluaran budu rupanya ada produk sos ikan mereka sendiri?

Sos nombor satu dari Pantai Timur ini mempunyai rasa yang tidak terlalu kuat dan dijamin bakal memenuhi citarasa anda seisi keluarga.

7. Megachef Premium Fish Sauce

sos ikan

Bagi yang inginkan kelainan dan rasa yang lebih mewah dalam masakan, apa kata anda cuba sos ikan daripada Megachef?

Kaya dengan khasiat protein dan bebas bahan pengawet, sos ini memberikan rasa yang lebih mendalam dan kompleks berbanding sos lain di yang ada di pasaran.

Anda kenalah cuba sendiri untuk ketahui perbezaannya.

8. Sos Ikan Chef Ustazah

Sumber : Facebook Chef Ustazah

Dihasilkan oleh selebriti masakan terkenal, Chef Ustazah, sos nampla ini sesuai untuk semua pengguna khususnya Muslim.

Ia mampu menyerlah rasa hidangan dan dijadikan pengganti garam dalam pelbagai jenis masakan.

Rupanya terdapat pelbagai jenis sos ikan yang boleh dicuba di pasaran. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda memilih produk yang sesuai dengan citarasa anda seisi keluarga.

Baca Juga : Sos Tiram : Kegunaan dan Jenama Popular di Pasaran

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut