Solat Sunat Isyraq – Niat, Cara Menunaikan & Kelebihannya
Terdapat pelbagai nikmat dan kurniaan Allah yang telah dianugerahkan kepada kita sebagai hambaNya.
Sebagai tanda syukur, salah satu amalan yang dianjurkan untuk dilakukan ialah melaksanakan solat sunat Isyraq.
Untuk artikel kali ini, berikut dikongsikan panduan lengkap solat Isyraq dan kelebihannya.
BACA JUGA: Niat Qada Solat – Panduan Ganti Solat Fardhu
Pengenalan
Solat Sunat Isyraq adalah solat sunat 2 rakaat yang didirikan setelah matahari terbit atau lebih tepatnya selepas waktu tahrim (waktu larangan untuk solat).
Sabda Rasulullah SAW;
Sesiapa yang melakukan Solat Subuh secara berjemaah kemudian dia duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari kemudian dia bersolat dua rakaat maka dia akan mendapat pahala seperti pahala mengerjakan haji dan umrah. Berkata Rasulullah SAW “Secara sempurna, sempurna, sempurna”
– Riwayat Tirmizi
Solat dua rakaat yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah solat sunat Isyraq dan pahala yang dijanjikan sangat besar.
Ia dinamakan dengan “Isyraq” yang bermaksud kecerahan kerana ia didirikan selepas waktu syuruk iaitu waktu matahari sedang terbit.
Solat sunat ini dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang untuk kita hidup hari seterusnya untuk bertaubat dan merasai nikmat hidup yang dianugerahkan.
Bilakah Waktu Solat Sunat Isyraq?
Anda boleh menunaikan solat sunat ini bermula setelah matahari naik pada kadar segalah iaitu lebih kurang 1.5 meter atau kira-kira 12-15 minit selepas matahari terbit.
(Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58).
Dalam perhitungan moden: 1 jam 16 minit atau 1 jam 17 minit daripada bermulanya masuk waktu subuh.
Jumlah Rakaat
Seperti beberapa jenis solat sunat lain, bilangan rakaat bagi solat sunat ini adalah dua rakaat sahaja.
Niat Solat Sunat Isyraq
Usolli sunnatal isyraqi rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat isyraq dua rakaat kerana Allah Taala
Cara Menunaikan Solat Sunat Isyraq
Cara menunaikan solat sunat ini adalah sama seperti cara menunaikan solat sunat dua rakaat yang lain.
Rujuk panduan di bawah:
- Rakaat Pertama:
- Takbiratul Ihram sambil berniat dalam hati.
- Membaca Surah Al-Fatihah diikuti dengan surah Al-Kafiirun atau mana-mana surah pilihan.
- Rukuk, iktidal, sujud dua kali dan bangun semula untuk rakaat kedua dengan menjaga toma’ninah.
- Rakaat Kedua:
- Rakaat kedua dimulakan dengan takbir intiqalat.
- Membaca Surah Al-Fatihah diikuti dengan surah Al-Ikhlas atau mana-mana surah pilihan.
- Rukuk, sujud dan tahiyyat akhir untuk rakaat kedua.
- Akhiri dengan memberi salam.
Selesai solat, sempurnakan solat dengan bacaan wirid dan doa selepas solat Isyraq.
Doa Selepas Solat Sunat Isyraq
Maksudnya:
“Segala puji kembali pada Allah, yang telah menjadikan hari ini sejahtera dan telah terbit matahari dari tempat terbitnya.
Ya Allah, berilah aku kebaikan hari ini dan jauhkan daripadaku keburukan hari ini.
Ya Allah, terangilah hatiku dengan cahaya hidayahMu sebagaimana telah Engkau terangi bumi dengan cahaya matahariMu terus-menerus dengan rahmatMu, Ya Tuhan Yang Maha Pengasih.”
Kelebihan
- Mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah.
- Menikmati waktu pagi dengan tenang beribadah kepada Allah.
- Memulakan waktu pagi dengan bersemangat.
- Mendekatkan diri kepada Allah.
- Membersihkan hati dan meningkatkan rasa syukur.
Kesimpulan
Kesimpulannya, semoga perkongsian mengenai solat sunat ini dapat memberi manfaat kepada semua. Ayuh kita cuba istiqamah melaksanakannya!
RUJUKAN: