PANDUAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI – JAKIM
Solat hari raya Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.
Hukum
Solat sunat hari raya ialah sunat muakkad.
Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.
Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Berdasarkan hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.
Imam Al-Nawawi berkata :
الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ فِي الْكُتُبِ الْجَدِيدَةِ كُلِّهَا، أَنَّ صَلَاةَ الْعِيدِ تُشْرَعُ لِلْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ غَيْرِهِ
Maksudnya : Pendapat mazhab seperti yang dinaskan di dalam kitab-kitab yang baharu kesemuanya menyatakan bahawa solat hari raya disyariatkan bagi seorang individu di rumahnya atau di tempat selainnya.
Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (2/70)
Maka berdasarkan kenyataan di atas, antara faedah yang boleh diambil adalah dua perkara iaitu :
- Dibolehkah bagi seseorang itu untuk melaksanakan solat hari raya secara seorang diri.
- Demikian juga dibolehkan untuk dilakukan solat hari raya itu di rumah atau di tempat-tempat yang lain.
Waktu Menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri
Waktu solat hari raya adalah antara tempoh terbitnya matahari sehinggalah kepada tergelincirnya matahari atau secara mudahnya jam 8.00 pagi ke atas sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.
Niat Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri
Lafaz niat
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatan idilfitri rak’ataini makmuman lillahi taala
Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
Lafaz Tasbih
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالله
Ertinya:
Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar
Dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
CARA SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI – Panduan Oleh JAKIM
Berikut dikongsikan panduan melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah atau berseorangan di masjid, surau atau di rumah.
Rakaat Pertama
1. Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatan idilfitri rak’ataini makmuman lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
2. Membaca doa iftitah
3. Lafaz takbir tujuh kali diselang-selikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالله
4. Membaca surah al-Fatihah
5. Membaca surah al-Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)
Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
Rakaat kedua
1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
2. Lafaz takbir lima kali di selang-selikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar)
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالله
3. Membaca surah al-Fatihah
4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)
5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
6. Memberi salam
PANDUAN VIDEO
Nak lebih mudah? Boleh rujuk video pelaksanaan solat sunat aidilfitri yang ditunjukkan oleh Ustaz Kazim di bawah:
Anda juga boleh merujuk infografik di bawah atau muat turun dan simpan di telefon bimbit anda untuk memudahkan rujukan:
Baca juga: Doa Ketika Dapat Gaji, Agar Bertambah Rezeki – JAKIM
KHUTBAH RAYA AIDILFITRI
Khutbah Aidilfitri sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Klik di sini untuk memuat turun Khutbah Aidilfitri 2024 oleh JAKIM : Teks Khutbah Aidilfitri 1445h – Hakikat Kemenangan
TAKBIR RAYA AIDILFITRI
Umat Islam digalakkan untuk bertakbir bagi hari raya puasa (Aidil Fitri) bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehinggalah ketika imam keluar untuk mendirikan solat hari raya.
Imam Al-Syafi’e berkata :
يُكَبِّرُ النَّاسُ فِي الْفِطْرِ حِينَ تَغِيبُ الشَّمْسُ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فُرَادَى، وَجَمَاعَةً فِي كُلِّ حَالٍ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ لِصَلَاةِ الْعِيدِ ثُمَّ يَقْطَعُونَ التَّكْبِيرَ
Maksudnya : Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir.
Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/275)
Manakala sighah (bentuk) takbir hari raya pula adalah seperti yang diketahui umum iaitu seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi :
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَر
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا
وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعَدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/31)
Sumber: JAKIM, JAWI