Skizofrenia adalah gangguan mental kronik yang mempengaruhi kira-kira 1% populasi global, atau lebih kurang 24 juta orang menurut data terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Gangguan ini sering pada akhir usia remaja hingga awal dewasa, dengan impak yang besar terhadap kehidupan sosial, pekerjaan, dan keluarga penghidap.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan latar belakang penyakit skizofrenia, punca, simptom penyakit serta rawatan yang boleh ada dapatkan.
Baca juga:
- Tanda Burnout: Maksud, Punca, & Cara Atasi Burnout
- Ujian Saringan Minda Sihat (DASS) : Semakan Kesihatan Mental KKM
- Kesan Buli dan Impak Jangka Masa Panjang Pada Mangsa
Apa itu Penyakit Skizofrenia ?
Skizofrenia berasal dari perkataan Yunani “schizo” bermaksud “terbelah” dan “phren” bermaksud “minda”. Walau bagaimanapun, istilah ini tidak merujuk kepada personaliti yang terbelah tetapi lebih kepada gangguan dan fungsi mental yang menyebabkan pesakit sukar membezakan antara realiti dan fantasi.
Penyakit mental ini biasanya muncul pada awal dewasa, iaitu sekitar umur 16 hingga 30 tahun, dan boleh memberi kesan kepada lelaki dan wanita.
Punca Skizofrenia
Punca sebenar skizofrenia masih belum diketahui sepenuhnya, tetapi penyelidik percaya ia melibatkan kombinasi faktor genetik, biologi, dan persekitaran:
1. Faktor Genetik
Risiko penyakit mental ini lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menghidapnya. Kajian menunjukkan bahawa jika salah seorang ibu bapa mempunyai skizofrenia, risiko anak untuk menghidanya adalah sekitar 10%.
2. Ketidakseimbangan Kimia Otak
Ketidakseimbangan neurotransmiter seperti dopamin dan glutamat dikaitkan dengan skizofrenia. Ia mempengaruhi komunikasi antara sel otak, yang seterusnya mengganggu pemikiran dan tingkah laku.
3. Tekanan dan Trauma
Pengalaman trauma, seperti penderaan atau kehilangan yang besar boleh mencetuskan skizofrenia pada individu yang terdedah kepada faktor risiko.
4. Komplikasi Semasa Kelahiran
Masalah semasa kelahiran, seperti kekurangan oksigen atau jangkitan pada ibu semasa mengandung, dikaitkan dengan risiko skizofrenia pada masa depan.
5. Penggunaan Dadah
Penggunaan bahan seperti ganja atau amfetamin pada usia muda meningkatkan risiko skizofrenia, terutamanya jika terdapat predisposisi genetik.
Simptom dan Gejala
Orang dengan skizofrenia biasanya didiagnosis antara umur 16 hingga 30 tahun, selepas mereka mengalami episod psikosis pertama.
Episod ini mungkin melibatkan halusinasi atau delusi. Rawatan awal selepas episod pertama adalah sangat penting untuk membantu proses pemulihan. Namun, sebelum episod ini berlaku, mungkin ada perubahan perlahan pada cara seseorang berfikir, mood, dan fungsi sosial. Skizofrenia jarang berlaku pada kanak-kanak kecil.
Gejala skizofrenia berbeza bagi setiap individu, tetapi secara umum terbahagi kepada tiga kategori utama:
1. Gejala Psikotik
Ini melibatkan perubahan dalam cara seseorang melihat dunia dan realiti. Contohnya:
- Halusinasi: Melihat, mendengar, atau merasakan sesuatu yang tidak wujud. Contoh biasa ialah mendengar suara yang orang lain tidak dengar.
- Delusi: Mempercayai perkara yang tidak benar atau tidak logik, seperti berfikir ada orang cuba menyakiti mereka.
- Gangguan Pemikiran: Cara bercakap atau berfikir yang tidak tersusun. Contohnya, melompat dari satu topik ke topik lain tanpa kaitan.
- Gangguan Pergerakan: Pergerakan badan yang ganjil atau berulang-ulang.
2. Gejala Negatif
Gejala ini melibatkan kekurangan emosi dan motivasi. Contohnya:
- Hilang minat dalam aktiviti harian atau hobi.
- Sukar menunjukkan emosi atau bercakap dengan ekspresi muka yang neutral.
- Mengelak daripada bersosial atau berinteraksi dengan cara yang sukar difahami.
- Sangat letih dan menghabiskan banyak masa dengan aktiviti pasif. Dalam kes jarang, seseorang boleh berhenti bergerak atau bercakap, yang dikenali sebagai katatonia. Gejala ini sering disalah anggap sebagai kemurungan.
3. Gejala Kognitif
Gejala ini melibatkan masalah dalam ingatan, perhatian, dan keupayaan membuat keputusan. Contohnya:
- Sukar untuk memahami dan membuat keputusan berdasarkan maklumat.
- Lupa perkara yang baru dipelajari.
- Sukar memberi tumpuan dalam perbualan atau tugas. Masalah kognitif ini boleh menjejaskan kemampuan seseorang menjalani kehidupan harian.
Rawatan Skizofrenia
Rawatan skizofrenia bertujuan untuk mengurangkan simptom, meningkatkan kualiti hidup, dan mencegah episod berulang. Ia melibatkan kombinasi terapi perubatan dan psikososial:
1. Ubat-ubatan
Ubat antipsikotik digunakan untuk mengawal simptom skizofrenia, terutamanya halusinasi dan delusi. Contoh ubat-ubatan termasuk risperidone, olanzapine, dan aripiprazole.
Walau bagaimanapun, kesan sampinhan seperti kenaikan berat badan, mengantuk, atau masalah pergerakan mungkin berlaku. Doktor akan menyesuaikan dos atau menukar ubat jika perlu bagi memastikan keselesaan pesakit.
2. Psikoterapi
Terapi kognitif-perilaku (CBT) adalah salah satu pendekatan utama dalam membantu pesakit skizofrenia mengenal pasti dan mengubah pemikiran yang tidak rasional.
Selain itu, terapi keluarga juga penting untuk mendidik ahli keluarga tentang cara menyokong pesakit dengan lebih baik dan mengurangkan tekanan dalam persekitaran keluarga.
3. Pemulihan Psikososial
Pemulihan psikososial melibatkan latihan kemahiran hidup, seperti menguruskan kewangan, mencari pekerjaan, dan membina hubungan sosial.
Program sokongan komuniti, seperti rumah perlindungan atau kumpulan sokongan, memainkan peranan penting dalam membantu pesakit menyesuaikan diri dengan kehidupan harian.
4. Rawatan Hospital
Dalam kes yang teruk, pesakit mungkin memerlukan rawatan di hospital untuk memastikan keselamatan mereka dan orang di sekeliling. Rawatan ini memberi peluang kepada doktor untuk menstabilkan keadaan pesakit sebelum mereka kembali ke komuniti.
Bila Saya Harus Berjumpa Doktor?
Anda harus berjumpa doktor secepat mungkin jika anda atau orang di sekeliling anda menunjukkan tanda-tanda awal yang mungkin berkaitan dengan skizofrenia atau gangguan mental lain.
Soalan Lazim Berkaitan Skizofrenia
1. Apakah itu skizofrenia?
Skizofrenia ialah gangguan mental kronik yang menjejaskan cara seseorang berfikir, merasa, dan berkelakuan. Individu dengan skizofrenia mungkin mengalami halusinasi (mendengar suara atau melihat sesuatu yang tidak wujud), delusi ((kepercayaan palsu), dan pemikiran yang tidak teratur.
2. Bagaimana skizofrenia didiagnosis?
Penyakit ini didiagnosis melalui penilaian klinikal oleh pakar psikiatri berdasarkan simptom dan sejarah perubatan. Tiada ujian makmal khusus untuk skizofrenia, tetapi ujian lain mungkin dilakukan untuk menolak dilakukan untuk menolak kemungkinan keadaan perubatan lain.
3. Siapakah yang berisiko mendapat skizofrenia?
Individu dengan sejarah keluarga skizofrenia mempunyai risiko yang lebih tinggi. Faktor lain termasuk pengalaman trauma semasa kecil, komplikasi semasa kelahiran, atau pendedahan kepada bahan toksik seperti ganja pada usia muda.
4. Adakah skizofrenia boleh disembuhkan?
Skizofrenia tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, tetapi ia boleh dikawal melalui rawatan yang berkesan seperti pengambilan ubat antipsikotik, terapi psikososial, dan sokongan komuniti.
5. Adakah skizofrenia menyebabkan keganasan?
Tidak semestinya. Individu dengan skizofrenia jarang bertindak ganas. Kebanyakan kes melibatkan keganasan berlaku apabila individu tersebut tidak menerima rawatan yang sesuai atau terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.
6. Bagaimana cara menyokong individu dengan skizofrenia?
- Berikan sokongan emosi dan pemahaman
- Galakkan mereka mendapatkan rawaran profesional
- Fahami simptom dan keperluan mereka
- Hindari stigma dan diskriminasi
7. Bolehkah seseorang dengan skizofrenia menjalani kehidupan normal?
Ya, dengan rawatan yang sesuai dan sokongan yang mencukupi, individu dengan skizofrenia boleh menjalani kehidupan yang bermakna, termasuk bekerja, bersosial, dan membina hubungan yang sihat.
Kesimpulan
Kesimpulannya, skizofrenia bukanlah satu hukuman seumur hidup. Dengan diagnosis awal, rawatan yang sesuai, dan sokongan yang berterusan, pesakit dapat menjalani kehidupan yang bermakna. Penting untuk menghapuskan stigma terhadap penyakit mental ini dan memberikan sokongan kepada mereka yang mengalaminya.
Jika anda ada lagi soalan atau memerlukan maklumat tambahan, berbincanglah dengan pakar kesihatan mental. Awareness dan sokongan adalah langkah penting untuk menangani skizofrenia.
Sumber:
- Skizofrenia. Jabatan Kesihatan Negeri Johor (Hospital Bahagia Ulu Kinta)
- Schizophrenia. National Institute of Mental Health