Sistem Peredaran Darah : Fungsi, Komponen dan Proses

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sistem peredaran darah merupakan salah satu komponen penting dalam tubuh. Ia membawa nutrisi, oksigen, hormon dan antibodi ke seluruh badan.

Juga dikenali sebagai sistem kardiovaskular, ia turut mengangkut buangan seperti karbon dioksida dan urea untuk dikeluarkan dari tubuh.

Fungsi Sistem Peredaran Darah

Sistem peredaran darah mempunyai beberapa fungsi penting dalam tubuh iaitu :

  • Membekalkan oksigen ke dalam seluruh badan dan menyingkirkan gas karbon dioksida dari badan.
  • Membawa nutrien dari sistem pencernaan kepada seluruh tubuh
  • Menyingkirkan bahan buangan daripada tubuh seperti urea dan karbon dioksida.
  • Menyokong proses pemulihan luka.
  • Mengawal kestabilan suhu dan pH.

Komponen Sistem Peredaran Darah

Sistem peredaran darah terdiri daripada jantung, saluran darah serta darah.

1.Jantung

        Merupakan organ utama dan berfungsi untuk mengepam darah. Ia terdiri daripada empat ruang iaitu dua atrium (atas) dan dua ventrikel (bawah). Keempat-empat ruang ini bekerjasama untuk mengepam darah ke seluruh badan.

        sistem peredaran darah

        2. Saluran Darah

        Terdiri daripada arteri, vena dan kapilari. Arteri membawa darah yang tinggi kandungan oksigen dari jantung ke seluruh tubuh.

        Sementara itu, vena akan membawa darah yang kekurangan oksigen kembali ke jantung.

        Kapilari iaitu salur darah yang halus menghubungkan arteri dan vena bagi menghubungkan pertukaran oksigen, nutrien serta bahan buangan.

        sistem peredaran darah
        Sumber : Facebook Syoknya Sains

        3. Darah

        Memainkan peranan dalam membawa oksigen, nutrien, hormon serta bahan kimia penting lain kepada sel dan tisu serta mengangkut bahan buangan ke organ untuk dikeluarkan.

        Di samping itu, darah turut membantu dalam melawan jangkitan serta mengekalkan kekuatan sistem pertahanan tubuh.

        Proses Peredaran Darah

        Proses peredaran darah melibatkan dua jenis aliran darah iaitu :

        Peredaran Pulmonari

        Melibatkan peredaran darah dari jantung ke paru-paru untuk menerima oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida.

        Darah yang tinggi oksigen akan kembali ke jantung.

        Peredaran Sistemik

        Setelah darah yang tinggi kandungan oksigen kembali ke jantung, ia akan dipam ke seluruh tubuh melalui peredaran sistemik.

        Oksigen dalam darah akan diserap oleh tisu dan darah yang kekurangan oksigen akan kembali ke jantung.

        Sumber : Facebook Syoknya Sains

        Komplikasi terhadap sistem peredaran darah boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, strok dan sakit jantung.

        Berdasarkan perkongsian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit berkaitan jantung dan peredaran darah menyumbang kadar kematian tertinggi di negara ini sejak tahun 1999.

        Antara punca yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung adalah pemakanan dan amalan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, pengambilan alkohol serta stres.

        Jadi, adalah penting untuk kita menjaga kesihatan tubuh dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencegah diri daripada penyakit kronik.

        Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, scribd.com, Harian Metro, Facebook Syoknya Sains

        Follow eCentral di WhatsApp Channel
        Ikut