Siput Babi : Nama Saintifik dan Hukum Makan Siput Menurut Islam

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Siput babi merupakan antara haiwan perosak yang biasa dijumpai di sekitar rumah dan kawasan lembap.

Selain lintah, siput babi merupakan haiwan invertebrate kedua terbanyak di dunia selepas serangga.

Terdapat kira-kira 800 ke 1,000 spesis siput babi di Malaysia.

Selain sifatnya yang berlendir dan pergerakan yang lambat, pasti ada yang belum kenali haiwan kecil yang sering dijumpai di perkarangan rumah ini.

Oleh itu, ayuh kita kenalinya bersama.

siput babi
Sumber : bobo.id

Nama Saintifik Siput Babi

Nama saintifik siput babi adalah Achatina fulica. Sesetengah sumber turut merujuk haiwan ini dengan nama saintifik lain iaitu Lissachatina fulica.

Cengkerangnya boleh membesar sehingga 15 ke 20 cm, namun siput yang sering dijumpai di persekitaran luar rumah adalah lebih kecil.

Ia juga boleh dikenalpasti dengan cengkerang corak belang berwarna perang.

Di samping menjadi haiwan yang sering ditemui di kebun dan kawasan perkarangan rumah, haiwan ini juga terkenal di beberapa habitat semulajadi antaranya hutan hujan dan gua batu kapur.  

Pada masa yang sama, siput yang dikenali sebagai African Garden Snail ini juga boleh dijumpai di kawasan yang redup dan basah seperti di bawah batu, di sebalik pasu tanaman dan di timbunan daun gugur.

Sering aktif pada waktu malam, siput babi merupakan antara haiwan perosak yang boleh menjejaskan tanaman. Antara sumber makanan utamanya ialah daun, buah gugur dan sayur-sayuran.

siput babi
Sumber : bisatani.com

Seperti cacing tanah dan ulat, haiwan kecil ini juga tergolong sebagai haiwan detritivore, iaitu kumpulan haiwan yang bergantung kepada bahan organik yang berasal dari tumbuhan reput.

A. fulica juga telah disenaraikan sebagai Spesis Asing Invasif (Invasive Alien Species) oleh The World Conservation Union (IUCN).

Bolehkah Orang Islam Makan Siput Babi?

Berasal dari Afrika Timur, haiwan ini tersebar ke negara lain sebagai sumber makanan termasuk untuk manusia dan haiwan ternakan.

Sesetengah penggemar haiwan turut membela siput babi sebagai haiwan peliharaan.  

Mungkin ada saudara Islam yang menganggap siput ini boleh dimakan seperti siput sedut. Walau bagaimanapun, ia tidak halal oleh umat Islam.

Berikut merupakan penjelasan yang dikongsikan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara ini.

 Memetik firman Allah SWT :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Maidah : 96)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa orang Islam dihalalkan untuk makan haiwan buruan laut iaitu apa yang diburu daripadanya ketika masih hidup dan yang didapati dari laut iaitu yang telah mati sebagai makanan.

Jika kita lihat pada siput sedut atau nama saintifiknya Cerithidea obtuse, ia merupakan salah satu spesis siput air dari kelas gastropoda.

Perbezaan ketara antara siput babi dan siput sedut ialah siput babi merupakan hidupan darat manakala siput sedut merupakan siput akuatik (hidupan air).

Haiwan laut (air) ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalamnya, apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150.

Hukum Makan Siput Sedut

Kesimpulannya, siput akuatik iaitu siput sedut adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih kerana termasuk di dalam umum firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 96.

Rasulullah SAW turut bersabda :

هو الطهور ماؤه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59)

Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafie bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan ialah semuanya halal dimakan tanpa perlu disembelih.

Walau bagaimanapun, para ulama mempunyai pandangan berbeza mengenai siput daratan seperti siput babi atau escargot.

Pendapat yang pertama siput darat haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya.

Pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik (kotor) dan tabiat semulajadi manusia menjauhinya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793) Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa :

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا حَرَامٌ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد

Maksudnya : “Menurut mazhab kami (Syafie) ia adalah haram (dimakan). Ini juga adalah merupakan pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Daud.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Ibn Hazm al-Zahiri juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam kategorinya kerana haiwan-haiwan tersebut tidak boleh disembelih.

Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada (haiwan tersebut) sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya.

Oleh itu, ia adalah haram (dimakan) kerana terdapatnya halangan untuk memakannya (tidak boleh disembelih) kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)

siput babi
Sumber : kompas.com

Manakala pendapat yang kedua, semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan.

Ini adalah merupakan pendapat Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16) Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi R.A, katanya :

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya : “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).” Riwayat Abu Daud (3798)

Di dalam al-Mudawwanah ada menyebutkan bahawa Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan? Beliau menjawab : “Aku berpendapat hukumnya adalah seperti belalang. Sekiranya ia masih hidup, kemudian (ia dimatikan) dengan cara direbus atau dipanggang, maka aku berpandangan tidak mengapa memakannya. Sekiranya ia telah mati (menjadi bangkai), maka tidak boleh dimakan.” (Lihat al-Mudawwanah, 1/542)

Abu al-Walid al-Baji menyatakan bahawa :

فَحُكْمُ الْحَلَزُونِ حُكْمُ الْجَرَادِ قَالَ مَالِكٌ: ذَكَاتُهُ بِالسَّلْقِ أَوْ يُغْرَزُ بِالشَّوْكِ وَالْإِبَرِ حَتَّى يَمُوتَ مِنْ ذَلِكَ وَيُسَمَّى اللَّهُ تَعَالَى عِنْدَ ذَلِكَ كَمَا يُسَمَّى عِنْدَ قَطْفِ رُءُوسِ الْجَرَادِ

Maksudnya : “Hukum siput adalah sebagaimana hukum belalang. Imam Malik berkata : Sembelihannya adalah dengan merebusnya atau mencucuknya dengan duri atau jarum sehingga mati sambil disebutkan nama Allah (basmalah) sebagaimana disebutkan juga (basmalah) ketika mencabut kepala belalang.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 3/110)

Sumber : Che Nom

Berdasarkan penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa semua siput akuatik seperti siput sedut adalah halal dimakan sebagaimana tidak memudaratkan.

Manakala, siput dataran seperti siput babi, escargot dan lain-lain, mazhab yang kita pegangi iaitu Mazhab Syafie cenderung kepada pendapat yang mengharamkannya sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor serta tabiat manusia semulajadinya akan menjauhi perkara-perkara tersebut.

Begitulah serba sedikit perkongsian mengenai siput babi, cara hidupnya serta hukum memakannya dari sudut Islam. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.

Sumber : mybis.gov.my, ubi-my.com, cabidigitallibrary.org, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca Juga : Lintah Bulan – Fakta Menarik & Cara Lindungi Tanaman Anda

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut