Fakta Tentang Semut Charlie Yang Ramai Tak Tahu

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Anda pernah digigit dengan semut Charlie? Hanya yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu betapa pedihnya bisa yang ditinggalkan pada kulit.

Dalam sesetengah kes, ia juga boleh menyebabkan parut yang cukup ketara di kulit selama beberapa minggu.

Apakah cara untuk kenali serangga ini dan bagaimana untuk kenalinya? Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Apa Itu Semut Charlie?

Serangga berbadan belang jingga dan perang ini sebenarnya adalah sejenis kumbang yang dikenali sebagai Rove Beetle.

Selain popular dengan gelaran Semut Charlie, ada juga yang memanggilnya sebagai semut semai atau semut kayap.

Pergerakannya yang merangkak juga mirip dengan spesis semut, namun ia sebenarnya adalah sejenis kumbang dengan sayap yang tersembunyi.

Serangga dengan panjang kira-kira 7 mm ini mempunyai kepala dan hujung abdomen berwarna hitam.  

semut charlie
Sumber : Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Kawasan Berisiko

Mungkin ramai yang belum tahu bahawa serangga ini mempunyai habitat dan kelakuan tersendiri.

Ini membuatkan kawasan kediaman tertentu lebih berisiko untuk diserang Charlie berbanding kawasan lain.

Serangga ini banyak ditemui di sawah padi dan kawasan berumput.

Kajian juga membuktikan bahawa penduduk yang tinggal di aras yang lebih tinggi berisiko untuk terkena serangan Charlie kerana ia akan terbang ke kawasan yang lebih tinggi apabila habitat asalnya diganggu.

Sumber : Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Apa Akan Berlaku Pada Kulit Jika Diserang Charlie?

Kebanyakan orang menganggap serangga ini menggigit. Hakikatnya, ia hanya merembeskan cecair berbisa.

Namun, kesannya dipercayai lebih kuat/poten daripada bisa ular tedung.

Sekiranya kulit terdedah kepada bisa ini, ia boleh mengakibatkan radang kulit serius yang dikenali sebagai Paederus dermatitis.

Pada awalnya, kulit mungkin tidak akan menunjukkan sebarang perubahan. Hanyalah selepas 12 ke 36 jam kemudian, kulit akan menunjukkan beberapa simptom seperti melepuh, gatal dan kemerahan.

Biasanya, radang kulit ini akan mengambil masa selama beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya.

semut charlie
Kesan serangan semut Charlie tidak mengenal usia. Sumber : Public Health Malaysia

Cara Mencegah Semut Charlie

Setakat ini, masih belum ada kaedah pencegahan khusus untuk bagi semut Charlie. Walau bagaimana pun, anda boleh ambil beberapa langkah seperti berikut :

  •  Masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan untuk menutup pintu serta tingkap terutamanya pada waktu malam.
  • Anda digalakkan untuk kurangkan penggunaan lampu di dalam rumah memandangkan ia tertarik dengan cahaya lampu di malam hari. Penggunaan lampu LED Warm White juga sangat digalakkan bagi mengurangkan tarikan Charlie.
  • Elakkan untuk memukul, memicit, atau menggosok serangga ini sekiranya ia hinggap di permukaan kulit. Hembus secara perlahan bagi mengelakkan Charlie merasa terancam.
  • Jika kulit anda terdedah kepada serangan semut Charlie, basuh permukaan kulit dengan air bersih dan sabun.
  • Sekiranya cadar dicemari oleh serangga ini, anda juga perlu basuhnya menggunakan sabun dan air panas sebelum digunakan semula.
  • Anda juga perlu dapatkan rawatan segera dan mungkin memerlukan krim sapuan antibiotik bagi mengelakkan risiko jangkitan bakteria.

Jika kawasan kediaman anda diserang semut Charlie, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Majlis Daerah/ Perbandaran untuk tindakan kawalan pencegahan.

Bila anda sudah tahu fakta mengenai serangga ini, maka lebih mudahlah untuk anda mengecamnya dan elakkan serangan pada masa akan datang.

Walaupun tiada langkah pencegahan khas, namun anda boleh ambil beberapa langkah pencegahan seperti yang kami kongsikan.

Sumber : Public Health Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut