Sayyidul Istighfar & Kelebihannya – Penghulu Segala Istighfar

Sayyidul Istighfar & Kelebihannya - Penghulu Segala Istighfar
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Apakah yang dimaksudkan dengan Sayyidul Istighfar, bacaannya serta kelebihannya? 

Sayyidul Istighfar adalah merupakan penghulu segala istighfar. Ia adalah merupakan salah satu doa atau ucapan taubat yang amat digalakkan.

Sebagai hamba Allah yang sering lalai dan melakukan dosa, kita hendaklah sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT melalui istighfar. 

Dalam sebuah hadith diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

 Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

Bagaimana pula dengan kita sebagai hamba Allah yang biasa-biasa sahaja?

Sayyidul Istighfar & Kelebihannya - Penghulu Segala Istighfar

Bacaan Sayyidul Istighfar

Berikut ialah bacaan sayyidul istighfar yang boleh kita amalkan setiap hari:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Bacaan rumi:

Allaahumma Anta Rabbii Laa ilaaha illaa Annta Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Mas-tatha’-tu Auudzu-bika Min Syarrimaa Sona’-tu Abuu-U Laka Bini’matika ‘Alayya Wa Abuu-U Bidzanmmbi, Faghfirlii Fainnahu Laa Yagh-Firudz-zunuuba Illaa Annta. 

Maksud: 

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.

BACA JUGA: Solat Taubat – Niat, Cara Menunaikannya & Doa Taubat – JAKIM

Kelebihan Sayyidul Istighfar

1. Dijanjikan Syurga

Sesiapa yang membaca Sayyidul Istighfar pada waktu pagi dan petang, Allah SWT menjanjikan syurga jika dia meninggal pada hari itu sama ada pagi atau petang.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

“Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga.

Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga.”

(riwayat Imam al-Bukhari)

2. Dijauhkan Daripada Kesempitan Hidup

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.

– Riwayat Abu Daud (1518)

3. Menolak Bala

Firman Allah SWT:

“Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka sedang engkau berada di tengah-tengah mereka. Dan tidak pula Allah mengazab mereka kerana mereka meminta ampun.”

(Surah Al-Anfal ayat 33)

Istighfar boleh menghalang murka Allah SWT sekaligus menolak bala.

4. Dimurahkan Rezeki

Daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang sentiasa membaca istighfar, nescaya Allah SWT jadikan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta kelapangan dari setiap dukacita dan Allah SWT berikan kepadanya rezeki yang tidak diperkirakan datangnya.”

— HR. Abu Daud dan Ibnu Majah

Penutup

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mengamalkan istighfar untuk memohon keampunan Allah SWT. Selain itu, kelebihan mengamalkan istighfar juga sangat banyak. 

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin.

RUJUKAN:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut