Sakit tekak merupakan masalah kesihatan yang sering dialami kanak-kanak yang mampu menyebabkan mereka merasa tidak selesa. Walaupun selalunya penyakit ini tidak serius, tetapi ia masih boleh mengganggu aktiviti harian anak-anak anda.
Pada artikel kali ini, kami akan terangkan kepada anda tentang penyebab berlakunya masalah ini dalam kalangan kanak-kanak dan cara merawatnya. Untuk mengetahui lebih lagi pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.
Apa itu Sakit Tekak?
Sakit tekak merupakan keadaan di mana tekak seseorang individu itu terasa sakit, kering, gatal, atau perit, terutamanya ketika menelan. Ia adalah salah satu simptom yang sangat biasa dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, dari jangkitan virus hingga keadaan persekitaran.
Namun begitu, apabila penyakit ini menyerang kanak-kanak, ia boleh menyebabkan gangguan dalam aktiviti harian anak-anak anda. Rasa tidak selesa, mungkin akan menyebabkan anak anda tantrum, murung (moody) dan sebagainya.
Selain itu, walaupun penyakit atau masalah ini dikira sebagai masalah ringan, jika ia berterusan anda perlu segera membawa anak anda berjumpa pakar. Hal ini demikian kerana, sakit yang berpanjangan mungkin disebabkan komplikasi yang lebih teruk.
Faktor Penyebab Sakit Tekak
Bagi ibu bapa yang tidak tahu akan punca anak-anak anda mengalami sakit tekat, berikut merupakan beberapa faktor masalah ini berlaku:
- Jangkitan Virus
- Jangkitan virus seperti selesema, influenza, atau virus Epstein-Barr (penyebab mononucleosis) adalah punca utama sakit tekak.
- Virus ini merebak melalui sentuhan, titisan udara, atau perkongsian barang. Selalunya, gejala lain seperti demam, hidung berair, atau batuk sering turut muncul.
- Jangkitan Bakteria
- Bakteria seperti Streptococcus pyogenes menyebabkan jangkitan streptokokus tekak, yang lebih dikenali sebagai “strep throat”.
- Kanak-kanak dengan strep throat biasanya mengalami sakit tekak teruk, demam tinggi, dan kadang-kadang tompok putih pada tonsil. Jangkitan ini memerlukan rawatan antibiotik.
- Alergi dan Pencemaran
- Alergi terhadap debunga, habuk, atau bulu haiwan boleh menyebabkan kerengsaan tekak.
- Pencemaran udara atau pendedahan kepada asap rokok juga boleh mencetuskan sakit tekak, terutama pada kanak-kanak dengan saluran pernafasan sensitif.
- Faktor Lain
- Teriakan berlebihan, udara kering, atau dehidrasi juga boleh menyebabkan tekak kering dan sakit.
- Kanak-kanak yang minum air kurang atau terdedah kepada cuaca sejuk kering juga lebih berisiko mendapat masalah ini.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Simptom Penyakit
Simptom sakit tekak berbeza bergantung pada punca, tetapi berikut adalah tanda-tanda biasa yang perlu diberi perhatian:
- Sakit atau ketidakselesaan di tekak: Kanak-kanak mungkin mengadu tekak mereka terasa gatal, pedih, atau sakit semasa menelan.
- Kesukaran menelan: Kanak-kanak mungkin enggan makan atau minum kerana kesakitan.
- Demam: Demam tinggi sering dikaitkan dengan jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan sakit tekak.
- Tonsil merah atau bengkak: Tonsil yang kelihatan merah, bengkak, atau mempunyai tompok putih (nanah) mungkin menunjukkan jangkitan yang menyebabkan sakit tekak.
- Air liur meleleh secara berlebihan: Bagi bayi dan anak-anak kecil yang sukar menyatakan kesakitan mereka, ini merupakan tanda atau simptom penting yang boleh membantu anda mengenal pasti masalah sakit tekak ini.
Cara Hilangkan Sakit Tekak Kanak-Kanak
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengalami masalah ini, anda boleh cuba merawat anak-anak anda dengan cara berikut:
- Perbanyakkan minum air suam.
- Pastikan anak anda mendapatkan jumlah air secukupnya iaitu sekurang-kurang 8 gelas sehari.
- Makan-makanan lembut
- Makan-makanan lembut seperti sup dan bubur bagi mengurangkan bengkak atau rasa sakit di kawasan tekak.
- Madu
- Jika anak anda sudah berada pada usia setahun dan ke atas, anda boleh cuba berikan madu dengan mencampurkannya dalam air suam atau begitu saja. Hal ini demikian kerana, madu mempunyai sifat antimikrob dan boleh melegakan batuk.
- JANGAN berikan madu pada anak-anak bawah usia satu tahun kerana risiko botulisme.
- Kumur air garam
- Untuk kanak-kanak yang berusia 6 tahun ke atas, anda boleh suruh mereka kumur dengan air garam (1 sudu teh garam:1 cawan air) bagi mengurangkan keradangan dan membersihkan tekak.
- Ubat-ubatan
- Ubat seperti paracetamol atau ibuprofen boleh digunakan untuk mengurangkan demam dan kesakitan, tetapi pastikan dos yang diberikan sesuai dengan umur dan berat kanak-kanak.
- Berjumpa Doktor
- Jika anak-anak anda mengalami sakit tekak berpanjangan iaitu melebihi tempoh 3 hingga 5 hari, anda sangat digalakkan untuk berjumpa dengan doktor, bagi mendapatkan rawatan sepatutnya.
- Anda juga perlu mendapatkan rawatan doktor jika sakit tersebut diiringi dengan penyakit atau masalah lain seperti:
- Demam panas berpanjangan
- Kesukaran bernafas
- Ruam atau pembengkakan kelenjar yang teruk.
Baca juga: 6 Ubat Sakit Tekak Yang Anda Boleh Cuba Untuk Kelegaan Segera
Langkah Pencegahan
Bagi anda yang mempunyai anak-anak kecil berikut merupakan langkah pencegahan dalam mengurangkan risiko sakit tekak, yang boleh anda ambil:
- Jaga Kebersihan
- Ajar anak-anak anda untuk sentiasa mencuci tangan dengan kerap, terutamanya sebelum makan atau selepas bersin/batuk.
- Pastikan pakaian, tempat tidur dan kawasan perumahan anda juga bersih dari debu atau habuk yang boleh menyebabkan alahan atau pembiakan bakteria.
- Pakai Pelitup Muka
- Hadkan pendedahan anak-anak kepada orang yang sakit dengan memakai pelitup muka sewaktu berada di luar kawasan rumah
- Kekalkan Kelembapan Udara
- Gunakan humidifier di rumah bagi menjaga kualiti udara anak-anak anda.
- Vaksinasi
- Salah satu langkah utama yang boleh anda lakukan adalah dengan memastikan anak-anak anda mendapat vaksinasi sepatutnya bagi memastikan langkah pencegahan awal dapat di ambil.