Rukun Wuduk, Niat & Doa Selepas Wuduk

Rukun Wuduk adalah satu rukun atau proses yang perlu dipatuhi oleh umat Islam bagi menyucikan diri mereka sebelum melakukan ibadah solat.

Jika tidak melaksanakan rukun wuduk ini dengan sempurna, ibadah solat yang bakal dilakukan adalah tidak sah sama sekali.

Oleh itu, untuk mengetahui cara melaksanakan wuduk dengan sempurna, pastikan anda terus membaca artikel ini sehingga ke penghujung artikel.

Pengertian Wuduk

Wuduk atau Wudhu’ secara ringkasnya membawa maksud kebaikan dan kebersihan. Dari sudut syarak pula, wudhu’ ini adalah perbuatan membasuh atau menyapu anggota tertentu yang dimulakan dengan niat.

Wuduk ini dilakukan oleh umat Islam sebagai cara menyucikan diri sebelum mereka laksanakan ibadah solat seperti yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T di bawah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًۭا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌۭ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءًۭ فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًۭا طَيِّبًۭا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍۢ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Makna: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.  dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

Surah Al-Ma’idah: Ayat 6

Rukun Wuduk

Rukun Wuduk ini berbeza mengikut mazhab, namun begitu, di Malaysia kita digalakkan untuk untuk mengikut mazhab Syafie kerana ia merupakan mazhab rasmi  untuk amalan fatwa dan mahkamah di negara kita.

Dalam mazhab Syafie ini telah ditekankan bahawa rukun wuduk yang perlu dipenuhi oleh umat Islam ada enam rukun, iaitu:

  1. Niat (Niat di dalam hati ketika mula membasuh muka)
  2. Membasuh muka (Basuh seluruh muka dari tempat tumbuh rambut sehingga bawah dagu dan dari anak telinga kanan ke kiri)
  3. Membasuh kedua belah tangan hingga ke siku
  4. Menyapu sebahagian kepala
  5. Membasuh kedua belah kaki hingga buku lali
  6. Tertib (Membasuh anggota-anggota tadi mengikut urutan rukun yang dinyatakan)
rukun wuduk
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

*NOTA: Tidak sah wudhu’ seseorang daripada kita jika tertinggalnya salah satu rukun ini. Oleh itu pastikan anda mengikut dengan tertib panduan ini sehingga selesai melaksanakan wudhu’ anda.

Niat Wuduk

Niat wuduk juga merupakan perkara yang amat penting untuk dipelajari sebagai umat Islam, kerana tanpa niat, wuduk anda tidak sah kerana niat merupakan salah satu rukun wuduk yang perlu dipenuhi.

Berikut merupakan niat beserta bacaan rumi sebagai panduan anda:

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ اللَّهِ تَعَالَى

Nawaitu Wudhua Lillahi Taala

Makna: Sahaja aku mengambil wudhu’ kerana Allah Taala

Doa’ Selepas Wudhu’

Setelah selesai mengambil wuduk, anda disunatkan membaca doa selepas wuduk ini bagi mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda :

أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ. سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ.

Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.Allahummaj-’alni Minat Tauwabin,Waj-’alni Minal Mutatahhirin. Waj-’alni Min ‘ibadikas-solihin. 

Makna Doa:

Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah yang esa , tiada sekutu bagi-Nya . dan saya bersaksi bahwa nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya . Ya Allah jadikanlah aku orang yang ahli taubat , dan jadikanlah aku orang yang suci , dan jadikanlah aku dari golongan hamba-hamba Mu yang soleh.

kelebihan doa selepas wuduk
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Perkara Yang Membatalkan Wuduk

Berikut merupakan beberapa perkara yang mampu membatalkan wudhu anda. Jika anda melakukan perkara-perkara berikut sebelum atau semasa melakukan ibadah, anda perlu berhenti dan mengambil semula wudhu anda.

  1. Keluar sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur).
  2. Hilang akal, sama ada sementara atau kekal.
  3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
  4. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan telapak tangan.
  5. Tidur, kecuali apabila dalam keadaan duduk dan tidak berubah kedudukannya.
  6. Murtad

Kelebihan Berwuduk

Selain menyucikan diri, wudhu’ ini mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan jika diamalkan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W seperti dalam hadis berikut:

“Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik, dosa-dosanya keluar dari badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya.”

Hadis Riwayat Muslim(361)

Antara kelebihan berwuduk ini ialah:

  1. Menghilangkan segala kotoran badan terutama anggota wuduk.
  2. Mengembalikan kesegaran pada tubuh dan semangat beribadat.
  3. Dapat menghadap Allah S.W.T dalam keadaan suci, bersih dan sempurna.
  4. Menzahirkan kesopanan hamba sewaktu menghadap penciptanya.
  5. Membersihkan jiwa dan tingkah laku daripada sifat-sifat buruk.
  6. Menghilangkan rasa letih dan malas.
  7. Menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh anggota wuduk.

Baca juga: 13 Rukun Solat & Perkara-Perkara Membatalkan Solat

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!