Sayur pucuk manis sememangnya sedap dibuat hidangan terutamanya masak lemak. Ia juga dikenali dengan nama lain seperti cekur manis, sayur manis atau Ma Ni Cai.
Disebabkan ia banyak tumbuh secara liar dan ditanam di Sabah, ia juga ada kalanya digelar sebagai sayur Sabah.
Khasiat Pucuk Manis
Mungkin sayur pucuk manis tidak sepopular sayuran lain seperti bayam atau kangkung.
Namun, ia mengandungi pelbagai nutrisi yang penting untuk kesihatan tubuh seperti antioksidan, vitamin C serta lutein.
Sayuran ini juga dikatakan mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi berbanding sayuran berdaun lain.
Selain protein, ia juga mempunyai pelbagai nutrisi yang lebih tinggi berbanding bayam termasuk :
- Kalsium (4x lebih tinggi)
- Vitamin B3 (90x lebih tinggi)
- Beta-carotene (1.5x lebih tinggi)
- Vitamin E (8.5x lebih tinggi)
- Vitamin C (11x lebih tinggi)
Kegunaan Dalam Rawatan Tradisional
Sayur ini juga digunakan secara meluas di India dan Asia Tenggara sebagai ramuan rawatan tradisional untuk merawat beberapa masalah kesihatan seperti batuk, demam, darah tinggi, diabetes, ulser, sakit mata, tonsil dan perawat luka.
Di samping itu, pucuk manis juga merupakan sayuran yang popular dalam kalangan para ibu kerana ia dikatakan dapat meningkatkan penghasilan susu badan.
Kesan Sampingan
Walaupun sayur ini sedap dan tinggi kandungan khasiat, namun pucuk manis ini juga tinggi kandungan alkaloid iaitu papaverin.
Ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti mengantuk, sembelit dan pening.
Memetik Singapore Food Agency, sayuran ini juga boleh mengakibatkan masalah paru-paru yang teruk jika dimakan mentah atau tidak dimasak dengan betul.
Jadi, ia tidak sesuai untuk dijadikan ramuan di dalam jus atau smoothies.
Jangan terkejut kerana perkara ini pernah berlaku di Taiwan dan Jepun.
Segelintir wanita di sana telah menjadikan cekur manis mentah sebagai salad, jus dan smoothies untuk mengurangkan berat badan serta membanyakkan penghasilan susu.
Pengambilan pucuk manis dalam jumlah yang banyak ini telah mengakibatkan penyakit paru-paru kekal yang dikenali sebagai bronchiolitis obliterans di mana laluan udara yang sempit dalam paru-paru (bronchioles) telah terhalang oleh tisu yang keradangan.
Oleh itu, anda dinasihatkan untuk memasak sayur manis ini sepenuhnya dan makan pada sukatan yang sederhana.
Sekiranya masih ragu, anda juga boleh dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil sayur manis ini.
Bagi para ibu yang sedang mencari cara untuk banyakkan susu badan, anda mungkin boleh cuba tips lain.
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, anda juga boleh cuba beberapa tips diet yang lebih selamat dan berkesan.
Sumber : Research Gate, Singapore Food Agency, Facebook Dr Suri Roowi
Baca Juga : Daun Senna : Kelebihan Untuk Perut dan Kesan Sampingannya