Sukacita dimaklumkan bahawa Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PUBDN) kini dibuka kepada pelajar negeri Selangor yang ingin menyambung pengajian di IPTA atau IPTS.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PUBDN) ini untuk makluman bersama.
Apakah Pinjaman Boleh Ubah Negeri Selangor?
Program Peduli Siswa-Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara ini merupakan pembiayaan pendidikan tinggi dalam bentuk pinjaman tanpa faedah.
Ia merupakan program pembiayaan pendidikan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang diuruskan oleh Cawangan Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali setahun secara pengkreditan terus ke akaun Bank Muamalat peminjam.
Tarikh Permohonan PUBDN
Pelajar yang berkelayakan dialu-alukan untuk lakukan permohonan secara atas talian mulai 3 Jun hingga 31 Julai 2022.
Peringkat Pengajian
Peringkat pengajian yang layak untuk membuat permohonan PUBDN adalah seperti berikut:
- Sijil
- Diploma
- Ijazah Sarjana Muda
- Ijazah Perubatan
Kadar Pembiayaan
Kadar pembiayaan yang bakal diterima oleh pelajar yang terpilih adalah seperti berikut :
Peringkat Pengajian | IPTA/IPTS (Kadar Setahun) | UiTM, Politeknik & Kolej Komuniti (Kadar Setahun) |
Sijil | – | RM3,000.00 |
Diploma | RM4,900.00 | RM3,500.00 |
Ijazah Sarjana Muda (Pelbagai dan Veterinar) | RM6,500.00 | RM4,500.00 |
Perubatan dan Pergigian | RM 7,000.00 | RM 7,000.00 |
Baca Juga : BUDI : Bantuan Pendaftaran IPT Secara One-Off Untuk Pelajar Sabah
Pengurangan Pinjaman & Syarat-Syarat
Pembiayaan yang bakal diterima adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah di mana pengurangan bayaran balik akan diberikan mengikut pencapaian CGPA/PNGK akhir pelajar.
Selain pencapaian CGPA/PNGK, pelajar juga perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut :
- Tamat pengajian dalam tempoh seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran.
- Tidak melanggar mana-mana syarat seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Perjanjian.
- Mengemukakan salinan transkrip rasmi dan sijil senat yang telah disahkan oleh pihak Universiti kepada Urus Setia TKWBNS.
Syarat Permohonan Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara 2022
Syarat Am
Syarat am yang perlu dipenuhi oleh pelajar yang ingin memohon adalah seperti berikut:
- Pemohon dan ibu dan bapa merupakan warganegara Malaysia.
- Pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor; atau
- Pemohon telah dan sedang bermastautin lebih daripada 10 tahun di Selangor; (keutamaan diberikan kepada anak Selangor).
- Telah mendaftarkan diri bagi pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma/Ijazah Sarjana Muda/Ijazah Perubatan.
- Sedang mengikuti pengajian di IPTA seluruh Malaysia atau IPTS dalam Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang diiktiraf oleh Kerajaan secara sepenuh masa.
- Pemohon bukan pelajar tahun akhir pengajian atau diberikan lanjutan tempoh pengajian.
- Pemohon belum menerima sebarang tajaan lain (biasiswa, pinjaman atau dermasiswa) termasuk bagi Ijazah Perubatan, Pergigian dan Veterinar).
- Pendapatan isi rumah (ibu dan bapa) hendaklah tidak melebihi RM 20,000.00 sebulan (gaji pokok).
Syarat Akademik
Selain itu, pelajar juga perlu memenuhi syarat akademik yang ditetapkan:
i) Sijil
Memperolehi sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran SPM (bidang dan teknikal).
Memperolehi sekurang-kurangnya 4 kepujian dalam mana-mana pelajaran di peringkat SPM (IPTA).
ii) Diploma
Memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat SPM; atau
Memperoleh kelayakan Sijil dengan kelulusan PNGK/CGPA 2.50 ke atas.
iii) Ijazah Sarjana Muda
Memperoleh kelayakan Sijil Tahun Asas/Pra-Ijazah/Matrikulasi/Diploma dengan kelulusan PNGK/CGPA 2.50 ke atas; atau
Memperoleh sekurang-kurangnya 4 Gred C dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STPM; atau
Memperoleh sekurang-kurangnya 5 kelulusan (jayyid) dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STAM.
iv) Ijazah Perubatan
Sedang mengikuti Ijazah Perubatan dan Pembedahan/Pergigian di Universiti Awam yang disenaraikan.
Cara Memohon
Pelajar yang berkelakan boleh ikuti langkah-langkah permohonan seperti berikut :
- Layari pautan https://danapendidikan.selangor.gov.my/login.
- Klik butang ‘Daftar.’
- Isi maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Daftar Akaun.’
- Log masuk dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan.
- Isi maklumat permohonan dengan lengkap dan betul.
- Muat naik dokumen yang diperlukan.
- Hantar permohonan setelah semua maklumat diisi dan dilengkapkan.
Dokumen Yang Diperlukan
Dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik adalah seperti berikut:
- Salinan sijil lahir pemohon, salinan my kad pemohon, bapa dan ibu, salinan sijil berhenti sekolah (rendah dan menengah), salinan keputusan SPM/STPM/STAM/ Matrikulasi/Asasi/Diploma (mana yang berkaitan).
- Salinan slip gaji terkini (ibu dan bapa/penjaga). Untuk pesara, sila kepilkan salinan penyata pencen bulanan atau jika bekerja sendiri/tidak bekerja/suri rumah sila dapatkan pengesahan pendapatan (disahkan oleh ketua kampung/ADUN/Penghulu/Pengerusi Taman/Penghulu Mukim/Ketua Blok sahaja).
- Bagi pemohon dan ibubapa yang tidak lahir di Negeri Selangor perlu mengemukakan pengesahan mastautin yang disahkan oleh Ketua Kampung/ADUN/Penghulu/Pengerusi Taman/Penghulu Mukim/Ketua Blok sahaja).
- Salinan Surat Kematian dan Surat Bercerai (jika berkaitan).
- Permohonan yang tidak lengkap atau tidak disertakan dokumen yang diperlukan akan ditolak. Dokumen yang dicetak tidak perlu dihantar.
- Pemohon hendaklah membuat semakan secara talian/online dalam tempoh dua minggu selepas tarikh tutup permohonan.
Maklumat Lanjut
Untuk keterangan lanjut mengenai PUBDN, sila layari laman web https://tkwbns.selangor.gov.my/.