Puasa Syaaban – Niat, Hukum & Kelebihan

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Puasa Syaaban mempunyai kelebihannya tersendiri. Berdasarkan kalendar Hijriah 1447H, bulan Syaaban dijangka bermula pada 20 Januari 2026. Untuk mengetahui tarikh-tarikh penting dalam Islam 2026, sila rujuk takwim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di pautan berikut: https://www.e-solat.gov.my/

Manakala, Malam Nisfu Syaaban jatuh pada 2 Februari 2026 dan puasa Nisfu Syaaban boleh dilakukan pada 3 Februari 2026 (Selasa).

Bagi anda yang ingin merancang jadual ibadah, berikut adalah panduan lengkap mengenai Puasa Syaaban 2026/1447 H di Malaysia, merangkumi tarikh-tarikh penting dan amalan yang disyorkan.

Pengenalan Bulan Syaaban

Bulan Sya’ban atau Syaaban adalah bulan ke-8 mengikut kalendar Hijriah. Ia menandakan bahawa berbaki satu Bulan lagi umat Islam bakal menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Pada pertengahan Bulan Sya’aban, terdapat hari yang dipanggil Nisfu Sya’aban. Malamnya adalah antara malam yang dinantikan oleh umat Islam berikutan terdapat dalam hadis (hadith) riwayat mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Sya’aban.

Umat Islam digalakkan untuk sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti puasa, sedekah, berdoa dan menghidupkan malam pertengahan Sya’ban (Nisfu Sya’ban) seperti yang disarankan oleh Nabi S.A.W.

Rasulullah SAW bersabda:

للَّهُمَّ بَارِكْ لَــنَا فـِىْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

(HR Ahmad dan At Tabrani)

Tarikh Masuk Bulan Sya’ban & Nisfu Sya’ban 1447H

Awal Syaaban (1 Syaaban) = 20 Januari 2026 (Selasa) * Insha Allah kita akan menyambut kedatangan 1 Syaaban setelah masuk waktu Maghrib19 Januari 2026 (Isnin).

15 Syaaban (Nisfu Syaaban) = 3 Februari 2026 (Selasa) *Ini bermaksud, tarikh malam Nisfu Sya’ban akan disambut pada malam 2 Februari 2026 (Isnin), selepas masuk waktu Maghrib.

Sila rujuk Takwim 2025 Miladiah / 1446 – 1447 Hijriah yang dikeluarkan oleh JAKIM bagi Malaysia dalam lampiran berikut :

Bilakah Tarikh Mula Puasa Syaaban 2026?

Umat Islam boleh mula berpuasa sunat Syaaban bermula 1 Syaaban (20 Januari 2026). Nisfu Syaaban (15 Syaaban) jatuh pada Selasa, 3 Februari 2026, dengan malamnya bermula selepas Maghrib pada Isnin, 2 Februari 2026.

Puasa sunat Nisfu Syaaban dianjurkan pada 3 Februari 2026.

Bulan Syaaban adalah bulan di mana Rasulullah SAW paling banyak melakukan puasa sunat berbanding bulan-bulan lain. Anda boleh memilih untuk berpuasa pada tarikh-tarikh istimewa berikut:

  • Puasa Isnin & Khamis: Sepanjang bulan Syaaban (cth: 22, 26, 29 Januari & 2, 5, 9, 12, 16 Februari).
  • Puasa Ayyamul Bidh (13, 14, 15 Syaaban): Jatuh pada 1, 2, dan 3 Februari 2026.
  • Puasa Nisfu Syaaban: Jatuh pada 3 Februari 2026 (Selasa).

Kelebihan Bulan Sya’ban & Malam Nisfu Syaaban

Menurut info dari JAKIM, malam bulan Syaaban ini amalan tahunan kita diangkat malaikat kepada Allah SWT.

Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyak amalan soleh, berpuasa serta memohon keampunan kepada Allah SWT.

Kelebihan Puasa Sunat Bulan Syaaban

Umat Islam digalakkan untuk memperbanyak puasa sunat dalam bulan Syaaban.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis :

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

“Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W;

“Wahai Rasulullah S.A.W, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban.

Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rabb semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”.”

(Hadis Riwayat an-Nasai No: 2317) Status: Hasan

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

“Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.”

niat puasa sunat syaaban
Sumber infografik: JAKIM

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]

niat puasa sunat syaaban

Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban antaranya berpuasa sunat.

Niat Puasa Sunat Sya’ban :

نويت صوم شهر شعبان سنة لله تعالى

“Nawaitu sauma syahri sya’ban sunnatan lillahi Ta’ala.”

Maksudnya : Sahaja aku niat puasa sunat bulan Sya’ban kerana Allah Ta’ala.

Puasa Sunat Nisfu Syaban

Adakah benar bahawa pada hari Nisfu Sya’ban disunatkan untuk berpuasa?

Menurut carian kami di laman web Maktabah Al-Bakri, DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI menjelaskan seperti berikut:

Terdapat sebuah hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman berkenaan puasa Nisfu Syaaban. Hadith ini dinilai sebagai palsu oleh kebanyakan ulama’ hadith. Hal ini kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abi Sabrah. 

Ibn Majah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا

Maksudnya: “Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…”

[Riwayat Ibn Majah (1388) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3542)]

Walaubagaimanapun, Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Lataif al-Maarif menekankan bahawa puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hari-hari putih. (Lihat Lata’if al-Maarif, hlm. 151)

Justeru, walaupun hadith “Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan puasalah pada siang harinya…” merupakan hadith palsu, namun puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hadith galakan berpuasa pada hari putih.

Bahkan bulan Sya’ban merupakan bulan yang paling digalakkan untuk berpuasa sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW berpuasa, kami merasakan Baginda tidak akan berbuka (kerana Baginda puasa secara berterusan), dan apabila Baginda tidak berpuasa kami merasakan Baginda tidak akan berpuasa lagi. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding pada bulan Sya’ban.”

*Sumber rujukan: https://maktabahalbakri.com/

Doa Bulan Syaaban

Jom kita sama-sama memperbanyakkan doa-doa ini ketika di bulan Rejab dan Syaaban, semoga Allah swt kurniakan buat kita kekuatan dan kembalikan semula penghayatan kita untuk lebih giat beribadah nanti di bulan ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi, in Shaa Allah.

Doa-doanya ialah:

DOA 1

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kami dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.”

DOA 2

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksdunya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan Ramadhan itu).”

Mintalah juga pada Allah swt agar kita diberi kesihatan yang baik dan berterusan, agar dapat beribadah pada Allah swt pada setiap masa, khususnya pada bulan Ramadhan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima Allah swt.

puasa syaaban NISFU sya'ban
Sumber infografik : JAKIM Sabah

NISFU SYA’BAN TERMASUK 5 MALAM MUSTAJAB DOA – IMAM AS-SYAFI’E RA

قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.

Imam asy-Syafie berkata : “Doa itu mustajab pada lima malam; malam jumaat, malam raya adha, malam raya fitri, malam awal bulan rejab dan malam pertengahan / nisfu sya’ban.”

Sumber infografik : IKIM

Tarikh-tarikh Penting Dalam Islam 2026

Berdasarkan kalendar Islam (Takwim Hijri) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berikut adalah tarikh-tarikh penting bagi hari kebesaran Islam di Malaysia untuk tahun 2026 (1447H – 1448H):

NOTA:

Tarikh bagi Awal Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, dan Hari Raya Aidiladha adalah tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas aktiviti cerapan anak bulan (rukyah).

Cuti Umum:

  • Awal Muharram & Maulidur Rasul: Cuti umum kebangsaan.
  • Awal Ramadan: Cuti umum bagi negeri Johor, Kedah, dan Melaka.
  • Nuzul Al-Quran: Cuti umum bagi kebanyakan negeri kecuali Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, dan Sarawak.
  • Aidilfitri & Aidiladha: Merupakan cuti umum kebangsaan (seluruh Malaysia).

Soalan Lazim Puasa Syaaban 2026

Bila tarikh puasa Syaaban 2026?

Bulan Syaaban 1447 H bermula 20 Januari 2026 (1 Syaaban), manakala Nisfu Syaaban pada 3 Februari 2026 (15 Syaaban).

Bolehkah saya menggabungkan (niat jamak) puasa qada Ramadan dengan puasa sunat Syaaban?

Boleh. Menurut pandangan kebanyakan ulama dalam mazhab Syafi’i, anda dibenarkan untuk melakukan puasa qada (ganti) di bulan Syaaban dan pada masa yang sama mendapat pahala puasa sunat Syaaban. Walau bagaimanapun, niat utama mestilah diletakkan pada puasa qada tersebut.

Bila malam Nisfu Syaaban 2026?

Malam Nisfu Syaaban jatuh selepas Maghrib pada 2 Februari 2026 (Isnin malam Selasa).

Bagaimana niat puasa sunat Syaaban?

Niat: “Nawaitu shauma syahri sya’ban sunnatan lillahi ta’ala” (dibaca malam sebelumnya).

Adakah puasa Nisfu Syaaban sunat?

Ya, digalakkan kerana termasuk puasa hari putih (13-15 Syaaban), walaupun hadis khususnya lemah.

Apakah hukum berpuasa pada hari Nisfu Syaaban?

Hukumnya adalah sunat. Ia termasuk dalam amalan Ayyamul Bidh (hari-hari putih) iaitu 13, 14, dan 15 haribulan dalam kalendar Hijriah yang sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa.

Bagaimana jika saya masih belum habis ganti puasa Ramadan tahun lalu sehingga masuk bulan Syaaban?

Anda sangat dituntut untuk menghabiskan qada puasa tersebut dengan segera di dalam bulan Syaaban sebelum masuknya 1 Ramadan 2026. Jika sengaja melewatkan qada sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya, anda wajib mengganti puasa tersebut dan membayar fidyah.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut