TARIKH HARI ARAFAH 2024, KELEBIHAN & NIAT PUASA SUNAT
Tidak lama lagi kita akan sampai ke bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam. Terdapat beberapa amalan yang sunnah dapat kita lakukan di dalam bulan Zulhijjah yang istimewa ini.
Istimewanya Bulan Zulhijjah
Antaranya adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Tiada kelebihan khusus dari hari 1 hingga 8 Zulhijjah namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.
Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.
Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
[HR al-Bukhari, hadis sahih]
Tarikh Puasa Hari Arafah Di Malaysia 2024
Mungkin ada antara kita yang teragak-agak untuk berpuasa pada Hari Arafah bagi tahun 2024 memandangkan terdapatnya perbezaan hari di Arab Saudi berbanding di Malaysia.
Puasa sunat Arafah bagi umat Islam di Malaysia jatuh pada Ahad, 16 Jun 2024 bersamaan 9 Zulhijjah 1445 Hijrah, melalui kaedah rukyah dan hisab yang diputuskan Jabatan Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata penentuan tarikh 9 Zulhijjah berbeza mengikut matla’ (permulaan terbit anak bulan) di negara masing-masing.
“Bagi Malaysia, kita menetapkan (9 Zulhijjah) berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Ini bermakna puasa sunat Arafah pada Ahad ini.
“Aidiladha yang diputuskan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 Jun 2024 (Isnin).
Beliau diminta mengulas mengenai kekeliruan umat Islam sama ada puasa hari Arafah bagi rakyat di negara ini jatuh pada 15 Jun, Sabtu mengikut ketetapan Arab Saudi atau sebaliknya mengikut ketetapan falak di tanah air.
Asmadi juga berkata, umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat dan doa pada 9 Zulhijjah yang juga bersamaan dengan Hari Wukuf di Arafah, Makkah.
“Kita memang sentiasa digalakkan berdoa pada bila-bila masa. Namun, berdoa pada waktu makbul doa adalah satu kelebihan.
“Justeru, umat Islam di negara ini (jangan keliru), kita berdoa waktu mustajab hari Arafah berdasarkan (ketetapan) di Malaysia,” katanya.
Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia adalah hari mustajab doa, menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas, selain hari keampunan serta pelepasan dari api neraka.
Sumber: JAKIM via Berita Harian
POLEMIK PENENTUAN HARI ARAFAH 2024 / 1445H YANG BERLAINAN DI NEGARA ARAB SAUDI DAN MALAYSIA
Soalan : Baru-baru ini viral satu posting berkenaan waktu doa mustajab Hari Arafah yang berlainan hari di Arab Saudi dan Malaysia.Persoalannya adakah tarikh puasa sunat hari Arafah mengikut tarikh wukuf di Arab Saudi atau mengikut tarikh di Malaysia. Mohon penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Jawapan : Polemik mengenai tarikh hari Arafah di media-media sosial, menyebabkan berlakunya kecelaruan dan kekeliruan dalam masyarakat. Perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim Hijri di Malaysia adalah menggunapakai kaedah rukyah dan hisab (hitungan falak) dengan merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan yang disebut sebagai kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) bagi penetapan 3 bulan utama (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah), dan kaedah hisab sahaja utk 9 bulan-bulan lain adapun Arab Saudi mengamalkan kaedah umm al-qura bagi menentukan awal bulan-bulan Hijri. Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim hijri di Malaysia sejak tahun 1995 lagi.
Bermula pada bulan Muharam 1443, Malaysia telah mengaplikasikan syarat kenampakan yang baharu iaitu, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada kedudukan 3° tinggi daripada ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4° ketika matahari terbenam hari ke 29 dalam setiap bulan Hijri. Syarat imkanur rukyah ini turut dipersetujui penggunaanya oleh negara-negara MABIMS seperti Indonesia, Brunei dan Singapura .
Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria imkanur rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri. Oleh itu, berkemungkinan akan berlakunya perbezaan dalam tarikh permulaan awal bulan tersebut. Dalam aspek fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu.
Data falak pada hari melihat anak bulan Zulhijjah 1445H bagi Malaysia iaitu pada 29 Zulkaedah 1445H bersamaan 7 Jun 2024M bagi Pulau Perak (lokasi paling barat) adalah:
1. Ketinggian bulan = 10° 13′ 01’’
2. Jarak lengkung = 12° 15′ 37’’
Berdasarkan penilaian dan analisa terhadap data bulan dan matahari di atas dan berpandukan kepada titik rujukan lokasi cerapan paling barat di Malaysia, data menunjukkan anak bulan Zulhijjah memenuhi syarat imkanur rukyah yang telah ditetapkan pada masa matahari terbenam pada tarikh 29 Zulkaedah 1445H. Sehubungan itu anak bulan dianggap kelihatan dan keesokannya dijangka hari bulan baru iaitu 1 Zulhijjah 1445H.
Seterusnya bagi Malaysia, hari Puasa Sunat Arafah (9 Zulhijjah 1445H) dijangka pada 16 Jun 2024M dan Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah 1445H) dijangka pada 17 Jun 2024M.
Walau apapun jangkaan yang dibuat mengenai tarikh permulaan awal Zulhijjah, namun pengisytiharan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia pada 7 Jun 2024 nanti adalah keputusan yang muktamad. Oleh itu kami ingin menasihatkan umat Islam supaya menghormati dan menerima keputusan oleh pihak berautoriti iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan satu artikel berkenaan isu ini di dalam IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-61 : https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-haji-korban/5329-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban
Kelebihan Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.
Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah ﷺ:
ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟
“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)
Kelebihan Puasa Sunat Arafah
Antara kelebihan puasa Arafah adalah:
- Puasa Arafah adalah satu jalan / ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.
- Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
- Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
- Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”
(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)
Niat Puasa Sunat Hari ‘Arafah
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”
Baca juga: Kelebihan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah & Amalan Sunnah Yang Dianjurkan
Waktu Berdoa
Apabila sebut tentang puasa arafah atau waktu wukuf 2024, tentu setiap tahun timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?
Nabi S.A.W bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”
Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.
Bilakah hari Arafah?
Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.
Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.
Sabda Nabi s.a.w:
الحج عرفة
Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”
Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.
Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.
Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.
Nabi S.A.W bersabda:
ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..
Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”
Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersusah payah untuk menyesuaikan atau convert waktu wukuf di padang Arafah dengan waktu di Malaysia kerana masing-masing ada keistimewaan masing-masing.
Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.
(Sumber: Pusat Pungutan Zakat MAIWP)
Baca juga: Tarikh Hari Raya Haji 2024 / Hari Raya Aidil Adha 1445H