Pinjaman LPPSA : Cara Mohon, Semakan Status & Baki Bayaran

lppsa
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sebagai penjawat awam, anda mempunyai banyak kelebihan untuk membeli rumah dengan pinjaman LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) berbanding dengan pakej yang ditawarkan bank.

Ini kerana berbanding pinjaman bank, pinjaman LPPSA sangat menguntungkan kerana ia menawarkan kadar bunga yang rendah serta margin pinjaman 100% tanpa menggunakan duit poket sendiri.

Disebabkan itu, penjawat awam amat disarankan untuk mengambil peluang ini dan membeli rumah menggunakan pinjaman LPPSA.

Berikut adalah info lanjut tentang proses permohonan Pinjaman Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Apakah LPPSA?

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam.

Penubuhan LPPSA yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan Malaysia telah berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2016.

Menurut satu kenyataan akhbar, setiap tahun LPPSA meluluskan 40,000 permohonan membabitkan pembiayaan di antara RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun.

Baca juga: Proses Tuntutan mySalam RM8,000

Kelayakan Memohon Pinjaman LPPSA

Semua penjawat awam berjawatan tetap yang telah disahkan perkhidmatan layak untuk memohon pinjaman LPPSA bagi tujuan pembelian rumah kediaman, tanah atau kerja ubah suai yang dibenarkan.

Salinan Surat Pengesahan jawatan adalah dokumen wajib yang perlu disertakan bersama permohonan pembiayaan.

I. PEMBIAYAAN PERTAMA

Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap, dan jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih.

Gaji bersih untuk semua peminjam sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

II. PEMBIAYAAN KEDUA

Ansuran bulanan tidak melebihi 50% daripada gaji pokok dan elaun tetap, dan jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih.

Gaji bersih untuk semua peminjam sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Jumlah Had Pinjaman Yang Boleh Dimohon

Kaedah pengiraan had kelayakan adalah seperti berikut:

  1. Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap, dan jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  2. Gaji bersih untuk semua peminjam sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

*Contoh pengiraan kelayakan adalah seperti di bawah:

Nota:

  • Pendapatan bersih dibawah tafsiran LPPSA merujuk kepada: Gaji Pokok + Elaun Tetap yang diambilkira – Potongan 
  • Anggaran jumlah maksimum pembiayaan boleh dikira menggunakan Kalkulator Pengiraan Kelayakan di laman sesawang LPPSA dengan memasukkan amaun hartanah dan amaun yang dimohon.

Jenis Pembiayaan Yang Ditawarkan

  1. Membeli rumah atau petak kediaman rumah yang telah siap
  2. Membina rumah di atas tanah sendiri
  3. Membeli rumah atau petak rumah kediaman dalam pembinaan
  4. Membeli tanah dengan tujuan membina rumah
  5. Menyelesaikan hutang pinjaman perumahan daripada bank / institusi kewangan
  6. Membina rumah di atas tanah yang dibeli melalui pinjaman BPP / LPPSA
  7. Membuat kerja ubah suai rumah atau petak rumah kediaman

Cara Permohonan LPPSA

proses pembiayaan lppsa

Permohonan pinjaman Perumahan LPPSA boleh dibuat secara online dengan langkah berikut:

  1. Layari laman utama Portal Permohonan Pembiayaan LPPSA di lppsa.gov.my
  2. Pengguna kali pertama Portal Permohonan Pembiayaan LPPSA dikehendaki mendaftarkan ID Pengguna.
  3. Log masuk menggunakan ID dan kata laluan yang telah didaftar dan disahkan melalui e-mel
  4. Bagi akaun yang baru didaftarkan, pengguna akan dibawa ke laman Kemaskini Butiran.
  5. Maklumat Kemaskini Butiran yang perlu dilengkapkan adalah seperti berikut :
    i. Maklumat Peribadi
    ii. Alamat Kediaman
    iii. Maklumat Keluarga
    iv. Maklumat Pekerjaan
  6. Halaman laman utama akan memaparkan pemilihan jenis pembiayaan yang boleh dipillih oleh pengguna :
    i. Permohonan Individu
    ii. Permohonan Bersama
  7. Bagi permohonan baru, pengguna akan diminta untuk memasukkan butir-butir berikut semasa permohonan pembiayaannya :
    i. Maklumat Awal Pembiayaan
    ii. Maklumat Perkhidmatan
    iii. Pendapatan dan Komitmen
    iv. Maklumat Pembiayaan
    v. Pemilihan Insurans/Takaful
    vi. Pengesahan
  8. Klik pada butang Simpan dan Hantar.

Dokumen Yang Diperlukan

Berikut adalah dokumen yang perlu dilampirkan bersama maklumat permohonan.

  1. Salinan Kad Pengenalan (MyKad) yang telah disahkan
  2. Slip Gaji Asal / e-Penyata Gaji atau Salinan Surat Pengesahan Jawatan Berpencen yang telah disahkan
  3. Surat Iringan Ketua Jabatan
  4. Borang Permohonan Pinjaman / Pembiayaan SPPB yang disahkan termasuk
    i. Borang Akuan Pemilihan Insurans / Takaful
    ii. Borang 2 – Surat Persetujuan Menyelesaikan Baki Hutang Pinjaman Perumahan Serta Faedah
  5. Salinan Sijil Nikah / Pendaftaran Perkahwinan Di Malaysia
  6. Salinan Sijil Kelahiran Anak

Kelulusan

Amaun pembiayaan  yang  diluluskan  adalah  tertakluk kepada amaun yang terendah  di antara berikut:

  • harga hartanah;
  • penilaian JPPH;
  • amaun yang dimohon; atau
  • kelayakan maksimum pemohon.

Status kelulusan akan dikemaskini di laman web dan boleh disemak oleh pengguna secara online.

Portal e-Kaunter

e-Kaunter adalah satu medium perantara secara alam maya bertujuan untuk membuat semakan mengenai pinjaman perumahan LPPSA.

e-Kaunter boleh diakses pelanggan LPPSA yang terdiri daripada peminjam, peguam, pemaju, waris, dan agensi yang berkaitan.

e-Kaunter adalah medium perantara berasaskan ‘Google-Meet’ dan boleh diakses menggunakan sebarang peranti yang mempunyai akses kamera dan mikrofon seperti telefon mudah alih, tablet dan komputer

e-Kaunter boleh diakses melalui pautan yang diberi melalui emel setelah mendapat pengesahan daripada pihak LPPSA.

Untuk makklumat lanjut, layari halaman e-Kaunter LPPSA di pautan https://services.lppsa.gov.my/e-kaunter/

Portal e-Settled

Portal e-Settled merupakan portal semakan, permohonan tuntutan lebihan bayaran balik pembiayaan dan pemulangan dodkumen hakmilik bagi pembiayaan selesai.

Berikut merupakan perkhidmatan yang ditawarkan melalui portal e-Settled:

NoPerkhidmatanKemudahan
1Semakan Status Pinjaman Yang Telah SelesaiStatus Lebihan Bayaran (Sekiranya Ada)Status Dokumen Hakmilik (Sekiranya Ada)
2Permohonan Atas TalianPermohonan Tuntutan Lebihan BayaranPermohonan Pemulangan Dokumen Hakmilik
3Semakan Status PermohonanSemakan status terkini bagi permohonanTuntutan lebihan bayaran atau pemulangan dokumen hakmilikCetakan slip maklumat kelulusan pembayaran balik lebihan bayaranSemakan dan rujukan nombor penjejakan (tracking number) bagi dokumen hakmilik yang telah dipos

Portal e-Setttled LPPSA boleh diakses melalui pautan https://services.lppsa.gov.my/e-settled/

Maklumat Lanjut

Untuk mengakses ke akaun pembiayaan anda dengan lebih mudah dan cepat, muat Turun Aplikasi Mudah Alih LPPSA ‘MyFinancing’ dari Google PlayStore: http://bit.ly/MyFinancingLPPSA

lppsa app

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berkunjung ke mana-mana cawangan atau ibu pejabat LPPSA di:

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)
Kompleks Kementerian Kewangan,
No.9,  Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62592 Putrajaya

ATAU hubungi Pusat Panggilan Utama LPPSA di talian : 03 – 8880 1600

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut