Penyakit Parkinson merupakan salah satu penyakit yang sering dihidapi oleh warga emas. Ia sering dikaitkan dengan masalah pergerakan seperti jari menggeletar dan badan bergerak perlahan.
Ini seterusnya boleh menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian pesakit.
Perkembangan penyakit serta gejala yang dialami akan berlaku secara perlahan selama bertahun-tahun.
Pada masa yang sama, perkembangan yang dialami juga tidak sama antara satu pesakit dengan yang lain.
Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2018 menganggarkan peningkatkan pesakit Parkinson sebanyak 5 kali ganda dari 2,000 kepada 120,000 menjelang tahun 2040.
Apa Itu Penyakit Parkinson?
Parkinson ialah penyakit yang berpunca daripada kemerosotan neuron yang menghasilkan dopamin di otak.
Dopamin merupakan sejenis bahan kimia penting dalam otak yang memainkan peranan dalam pergerakan tubuh.
Meskipun penyakit ini lebih sinonim dengan orang tua, namun ia juga boleh dialami oleh golongan muda seawal usia 30an.
Simptom / Gejala Parkinson
Pesakit Parkinson boleh mengalami beberapa gejala iaitu :
- Menggeletar (pada jari, rahang dan/atau muka.
- Kaku (rigid) pada beberapa anggota badan seperti tangan dan kaki
- Badan bergerak perlahan (bradykinesia)
- Langkah pendek
- Sembelit dan kurang tidur
- Mengalami masalah ketidakseimbangan postur serta kordinasi badan sehingga mengakibatkan pesakit mudah jatuh.
Rawatan
Setakat ini, tiada rawatan spesifik atau ubat khusus untuk menyembuhkan penyakit Parkinson.
Tambahan pula, penyakit ini mempunyai tahap yang berbeza bagi setiap individu.
Walau bagaimanapun, doktor boleh mencadangkan beberapa kaedah yang sesuai mengikut keperluan pesakit.
Antara kaedah rawatan yang boleh dijalankan bagi mengurangkan gejala dan memperlahankan perkembangan penyakit ini adalah :
- Pengambilan diet sihat
- Amalan senaman dan rutin yang lebih aktif secara fizikal
- Pengambilan ubat yang disyorkan
- Pembedahan untuk pesakit yang sesuai
Sokongan Untuk Pesakit Parkinson
Selain diagnosis dan pantauan daripada doktor, pesakit juga memerlukan sokongan yang kuat daripada keluarga dan orang sekeliling bagi menguruskan masalah emosi akibat penyakit Parkinson yang dialami.
Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan :
- Mengekalkan komunikasi terbuka dan jujur dengan keluarga, rakan-rakan dan penjaga
- Menyertai kumpulan sokongan bagi berkongsi pengalaman dan bebanan emosi
- Mendapatkan bantuan pekerja sosial dan kaunselor yang boleh memberikan sokongan sosial.
Hidup dengan penyakit Parkinson bukan sahaja boleh menjejaskan aktiviti harian, malah ia boleh mencetuskan pelbagai masalah emosi termasuk kemurungan, kemarahan dan kekecewaan akibat cabaran fizikal yang dialami.
Oleh itu, pesakit dan ahli keluarga terdekat perlulah memberikan sokongan moral serta bantuan dan merujuk kepada doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang sesuai.
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2), (3)
Baca Juga : Tahap Penyakit Buah Pinggang & Tanda Senyap Anda Perlu Tahu