Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan sistem pentaksiran berterusan yang digunakan di sekolah-sekolah Malaysia untuk menilai perkembangan dan pencapaian pelajar.
Pentaksiran ini bertujuan membantu guru menilai prestasi pelajar secara menyeluruh serta memberi maklum balas yang berkesan untuk meningkatkan pembelajaran.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
Apakah Itu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses yang berterusan dalam sesi PdP bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian/penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan.
Semua maklumat yang diperoleh dari pentaksiran bukanlah bertujuan untuk perbandingan atau persaingan antara murid.
Sebaliknya maklumat tersebut hendaklah digunakan untuk membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk merancang tindakan susulan ke arah menambah baik penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran.
Mengapa PBG Penting?
PBD dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang pengajaran guru.
Melalui PBD, guru dapat:
- Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
- Merancang dan mengubahsuai kaedah pengajaran
- Mengambil tindakan susulan
- Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
Melalui PBD, murid dapat: (Melalui pentaksiran kendiri dan rakan sebaya):
- Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran
- Mengesan perkembangan diri
- Meningkatkan pencapaian pembelajaran
Bagaimana PBD Dilaksanakan?
Guru memainkan peranan penting dalam melaksanakan PBD dengan menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran yang hendak ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melapor dan membuat tindakan susulan.
PBD bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif, iaitu:
- Pentaksiran Untuk Pembelajaran (Assessment For Learning)
- Pentaksiran Sebagai Pembelajaran (Assessment As Learning)
Namun begitu PBD juga boleh berlaku untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid selepas sesuatu tempoh yang bersesuaian, melalui pentaksiran sumatif.
Pentaksiran Formatif
>> Pentaksiran untuk pembelajaran: Tugasan mingguan, Latihan Harian, Soal-Jawab semasa PdP
Pentaksiran untuk pembelajaran juga dirujuk sebagai pentaksiran formatif. Pentaksiran untuk pembelajaran merupakan sebahagian daripada proses PdP.
Maklumat yang diperoleh daripada pentaksiran ini boleh digunakan untuk merancang strategi atau langkah seterusnya dalam pengajaran ke arah meningkatkan pembelajaran murid dan tahap penguasaan mereka. Berdasarkan tujuan ini, pentaksiran ini juga dikenali sebagai pentaksiran diagnostik.
Satu contoh pentaksiran untuk pembelajaran ialah aktiviti soal-jawab yang dijalankan oleh guru semasa sesuatu pengajaran dijalankan. Tujuan soal-jawab itu adalah untuk mengenal pasti pengetahuan, kemahiran dan nilai murid. Maklumat yang diperoleh dari aktiviti soal-jawab itu membantu guru meneruskan PdP dan merancang pelaksanaan PdP seterusnya.
>> Pentaksiran sebagai pembelajaran: Diari mingguan murid, Portfolio
Pentaksiran sebagai pembelajaran berlaku apabila murid membuat refleksi dan menilai perkembangan pembelajaran masing-masing. Ini membolehkan mereka memahami tujuan mereka belajar dan menyedari apa yang mereka patut lakukan bagi menguasai sesuatu objektif pembelajaran.
Pentaksiran sebagai pembelajaran terdiri daripada pentaksiran kendiri dan pentaksiran rakan sebaya. Maklumat dari pentaksiran ini memberi petunjuk kepada murid tentang tahap penguasaan mereka dalam pembelajaran.
Contoh pentaksiran sebagai pembelajaran ialah murid membina peta konsep tentang apa yang telah dipelajari bagi mempamerkan pemahaman dan hubungannya dengan pengetahuan semasa. Ini membolehkan mereka memahami apa yang perlu dicapai dan apa yang patut dilakukan bagi mencapainya.
Pentaksiran sebagai pembelajaran menggalakkan pemikiran metakognisi iaitu memberi peluang kepada murid belajar dan memikirkan cara mereka belajar.
Pentaksiran Sumatif
>> Pentaksiran tentang pembelajaran: Ujian, Kuiz
Pentaksiran tentang pembelajaran berlaku pada akhir sesuatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran. Lazimnya pentaksiran tersebut berlaku dalam bentuk ujian sumatif. Pentaksiran tentang pembelajaran juga boleh berlaku dalam bentuk pembentangan hasil projek.
Maklumat dan data yang diperoleh dari ujian sumatif atau pentaksiran tentang pembelajaran ini seharusnya ditangani secara positif dalam proses pembelajaran murid. Semua data pentaksiran bukan bertujuan untuk perbandingan antara murid.
Tujuan data atau skor ujian sumatif ini perlu digunakan untuk membantu guru, ibu bapa dan pihak sekolah untuk meningkatkan tahap penguasaan murid.
Di samping itu, guru juga menggunakan data untuk merancang dan melaksanakan strategi yang lebih konstruktif dan bermakna dalam menggalakkan penglibatan aktif murid dalam pembelajaran, memajukan pembelajaran mereka pada masa hadapan, seterusnya meningkatkan penguasaan dan pencapaian mereka dalam pembelajaran.
Ianya bukan bertujuan untuk perbandingan antara murid. Maklumat dan data dari pentaksiran sumatif ini juga boleh menjadi petunjuk asas kepada pencapaian murid terhadap sesuatu tajuk sebelum beralih kepada tajuk atau pelajaran seterusnya.
Pentaksiran ini akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:
- Lisan
- Pemerhatian
- Penulisan
Pelaporan PBD
Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) adalah proses penyampaian maklumat pentaksiran tentang perkembangan dan kemajuan murid dari masa ke semasa. Tujuan pelaporan dilakukan adalah untuk mengesan kemajuan murid.
Pelaporan dilakukan dengan cara melaporkan dalam bentuk Tahap Penguasaan (TP) menggunakan templat pelaporan.
Rujuk artikel Pelaporan PBD (Pentaksiran Bilik Darjah), Format & Templat Terkini untuk info lanjut.
Tahap Penguasaan PBD
Tahap penguasaan murid akan direkodkan menerusi tahap berikut:
Tahap Penguasaan | Tafsiran |
Tahap 1 | Murid tahu perkara asas atau boleh melakukan kemahiran asasatau memberi respons terhadap perkara yang asas |
Tahap 2 | Murid menunjukkan kefahaman dengan menjelaskan sesuatuperkara yang dipelajari dalam bentuk komunikasi |
Tahap 3 | Murid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatukemahiran atau tugasan pada suatu situasi |
Tahap 4 | Murid menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatukemahiran atau tugasan iaitu mengikut prosedur atau secaraanalitik dan sistematik |
Tahap 5 | Murid menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatukemahiran atau tugasan pada situasi baharu dengan mengikutprosedur atau secara analitik dan sistematik serta tekal danbersikap positif |
Tahap 6 | Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baharu secara analitik, sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif dalam penghasilanidea baharu serta boleh dicontohi |
Rujuk artikel Tahap Penguasaan PBD untuk info lanjut.
Maklumat Lanjut
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila rujuk/layari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Anda juga boleh muat turun dan rujuk Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah di bawah: