Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) 2023

Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau singkatannya PBS adalah satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Sejak pemansuhan UPSR dan PT3, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menumpukan kepada pemerkasaan PBS di mana PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah.

PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

Pengenalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah  yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani).

Dalam konteks PBD, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan setiap murid dalam proses pembelajaran mereka termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Dengan ini, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka,

Komponen PBS

Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik seperti yang berikut:

  • Kategori Akademik
    • Pentaksiran Pusat (PP)
    • Pentaksiran Sekolah (PS)
  • Kategori bukan akademik 
    • Pentaksiran Aktivaiti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)
    • Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

1. Pentaksiran Pusat (PP)

PP dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pperiksaan dalam tempoh tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berasaskan standard prestasi

2. Pentaksiran Sekolah (PS)

Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Pentaksiran Sekolah telah dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai hujung tahun 2016.

PBD mengekalkan semua konsep Pentaksiran Sekolah dan melibatkan penentuan tahap penguasaan murid dalam setiap mata pelajaran.

Tahap penguasaan ini dinyatakan dalam Standard Prestasi seperti terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) semua mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Kelas Peralihan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Baca lagi: Pelaporan PBD (Pentaksiran Bilik Darjah), Format & Templat Terkini

3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) 

Dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.

4. Pentaksiran Psikometrik

Dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

komponen pbs

Objektif Pelaksanaan PBS

Objektif perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah untuk:

  • Mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
  • Memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
  • Membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu

Rujuk video pelaksanaan PBS : https://www.moe.gov.my/menumedia/media-elektronik/galeri/

Apakah perbezaan PBD dan PBS?

  • PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
  • PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

Cara Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS 2023)

Bagi memastikan kelicinan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), guru seharusnya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid.

Guru diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun.

Konvensyen Libat Urus Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS) Tahun 2023 telah diadakan secara bersemuka di Hotel Wyndham Acmar, Klang selama 2 hari iaitu pada 6 dan 7 Jun melibatkan guru, ibu bapa, pemegang taruh dan masyarakat umum untuk membincangkan isu dan perkara berkaitan PBS secara lebih terbuka.

RESOLUSI KONVENSYEN LIBAT URUS PBS 2023

Konvensyen ini telah berjaya menghasilkan 12 resolusi yang dipersetujui.

1. PBS diteruskan dengan penambahbaikan.

2. Latihan dalam pentaksiran perlu diberikan kepada pelaksana dan bakal pelaksana pentaksiran bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran dalam mentadbir,

mengurus, mentaksir dan melaksanakan intervensi.

3. Meningkatkan kapasiti dan keupayaan teknologi terkini dalam pentaksiran.

4. Kaedah dan pelaksanaan pentaksiran psikometrik perlu ditambah baik supaya data dan maklumat yang diperoleh adalah tepat,

bermakna dan boleh dimanfaatkan untuk peningkatan perkembangan murid.

5. Menempatkan guru kaunseling sepenuh masa di semua sekolah.

6. Penglibatan murid dalam semua peringkat aktiviti dalam dan luar

negara diberi pengiktirafan dalam PAJSK.

7. Autonomi diberikan kepada pihak sekolah dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara fleksibel.

8. Meningkatkan kefahaman ibu bapa/penjaga dalam pelaksanaan PBS.

9. Sekolah perlu mempunyai pakar rujuk pentaksiran yang diktiraf oleh badan yang mempunyai autoriti dalam pentaksiran.

10.Ujian Akhir Sesi Akademik dimansuhkan dan sekolah terus diberi autonomi dalam pelaksanaan pentaksiran sumatif.

11. Perkara yang ditaksir dalam PBS adalah konstruk yang berkaitan dengan perkembangan potensi sebagai mana hasrat FPK dan seiring konsep Anak Baik lagi Cerdik, Karamah Insaniah dan objektif serta matlamat pembelajaran abad ke 21.

12. Untuk memperkasa PBS perkara-perkara berikut hendaklah direalisasikan:

I) Pemastian siapa, mengapa dan apa yang ditaksir harus dilakukan pada PBS;

II) Penjagaan ciri-ciri Psikometrik, Insanometrik dan kerangka

III) Pensejajaran PBS dengan Incheon Declaration: Education 2030

IV) The Characteristics of the 21st Century Assessment,

V) Pensejajaran PBS dengan Assessment Trends in Education A Shift to Assessment For Learning

VI) Pensejajaran PBS dengan Declarations 2050 – Learning To Become

VII) Membangunkan Ekosistem Pentaksiran

VIII) Lembaga Peperiksaan menyediakan tangga keprofesionalan pentaksiran

IX) KPM membangunkan makmal pentaksiran

X) Lembaga Peperiksaan sebagai Autoriti Pentaksiran (Amalan, Agensi & Pengamal)

Sumber : https://www.youtube.com/watch?v=wTpWL9kTdGI

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!