Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mendapat kelas pertama dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda dikecualikan bayaran balik pinjaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keistimewaan itu akan diberikan kepada peminjam tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
Menurutnya, pengecualian bayaran balik pinjaman itu diberikan kepada peminjam PTPTN yang tamat ijazah bermula 2019.
“Ini sebagai dorongan kepada anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.
“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terbabit,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi PTPTN Apli Yusoff.
Dalam ucapan sama, Ismail Sabri berkata, 3.67 juta peminjam dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM 66.8 bilion sehingga kini.
Beliau berkata, tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat penting bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara.
“Kerajaan melalui PTPTN menyediakan peruntukan lebih RM 3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu.
“Bagaimanapun, timbul kebimbangan kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan setelah menamatkan pengajian.
“Justeru, kerajaan mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan tidak terbeban di kemudian hari,” katanya.
Baca juga: Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN (Ijazah Kelas Pertama)
Maklumat lanjut, layari https://www.ptptn.gov.my