Pencen Terbitan merupakan salah satu manfaat utama yang disediakan di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi memastikan kebajikan waris penjawat awam yang telah meninggal dunia tetap terbela.
Ia bertujuan untuk memberi sokongan kewangan kepada ahli keluarga terdekat seperti pasangan atau anak-anak, agar tidak terbeban selepas pemergian penjawat awam.
Pencen Terbitan diperuntukan di bawah Seksyen 14 & 15 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 15 & 16 Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980(Akta 239)
Waris yang layak dinasihatkan untuk memahami syarat dan proses permohonan supaya bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Maksud Pencen Terbitan
Pencen Terbitan SSPA ialah bayaran bulanan yang diberikan kepada waris penjawat awam yang telah meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan atau selepas bersara.
Pencen ini merupakan kesinambungan daripada pencen perkhidmatan, dan kadar bayaran adalah bergantung kepada tempoh perkhidmatan serta gaji akhir penjawat awam tersebut.
Ia diberikan kepada waris yang layak mengikut peraturan dan syarat ditetapkan dalam SSPA.
Walau bagaimanapun, ramai keliru perbezaan antara “Pencen Terbitan” vs. “Pencen Tanggungan”
Berikut adalah perbezaan kedua-dua jenis faedah ini:
Pencen Tanggungan, ialah faedah TAMBAHAN bulanan dibayar kepada waris yang layak atas kematian penjawat awam yang kematiannya berpunca dari :
- kemalangan dalam perjalanan (yang bukan disebabkan kecuaian gemulah)
- ditimpa bencana semasa menjalankan tugas rasminya;
- penyakit yang berpunca dari tugas rasminya; dan
- mati dalam tempoh tujuh (7) tahun, dari tarikh gemulah menanggung bencana disebabkan oleh penyakit yang berpunca dari tugas rasminya.
Manakala ‘Pencen Terbitan’, ialah faedah bulanan yang dibayar kepada waris yang layak, atas kematian penjawat awam atau pesara, ‘atas apa jua sebab kematian’.
Artikel berkaitan: Pencen SSPA – Persoalan Tentang Pencen & Faedah Persaraan
Kelayakan
Secara ringkas, waris yang layak menerima pencen terbitan di bawah SSPA termasuklah:
- Isteri atau Suami Sah (tidak berkahwin semula)
- Anak-anak yang memenuhi syarat umur dan pengajian
- Ibu bapa, jika penjawat awam tidak meninggalkan pasangan atau anak-anak
- Waris sah lain, berdasarkan pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekiranya tiada waris utama
Keutamaan pemberian pencen terbitan diberikan mengikut turutan: pasangan → anak → ibu bapa → waris sah.
Tempoh Kelayakan Penerimaan Pencen Terbitan Kerana Kematian Selepas Bersara [Seksyen 15 Akta 227 / Seksyen 16 Akta 239 adalah seperti berikut:
Bil. | Kategori | Tempoh Kelayakan |
1 | Balu/duda yang sah yang dikahwini dalam perkhidmatan | Sepanjang hayat. |
2 | Pasangan yang dikahwini selepas bersara termasuk anak hasil perkahwinan tersebut | 20 tahun dari tarikh persaraan gemulah. |
3 | Anak | i. Sehingga berumur 21 tahun, dan dilanjutkan sekiranya sedang mendapat didikan di institusi pengajian tinggi sehingga tamat pengajian ijazah pertama, atau berhenti daripada melanjutkan pengajian ke ijazah pertama, atau berkahwin mana yang terdahulu; ii. Kelayakan sepanjang hayat bagi anak yang cacat otak atau hilang upaya jasmani dan secara kekal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri. |
Permohonan dan Semakan Permohonan Pencen terbitan SSPA
Orang tanggungan boleh memohon pencen terbitan dengan melengkapkan borang JPA.BP.SPT.B01d (muat turun) Permohonan Faedah Terbitan Bagi Kematian Dalam Persaraan dan mengemukakan kepada JPA/KWAP berserta dengan dokumen yang dinyatakan dalam borang tersebut.
Semakan Status Permohonan Pencen Terbitan boleh dilakukan di https://apps.jpapencen.gov.my/semakpt
Kalkulator pengiraan pencen terbitan
Formul pengiraan adalah seperti berikut:
Jumlah pencen terbitan = 1/600 x Jumlah Bulan Perkhidmatan x Gaji Akhir
Contoh; 1/600 X 350 X 1,960 = RM 1143.33 tetapi terhad kepada setengah gaji akhir = RM 980 sebulan
Bagi Perkhidmatan yang kurang 10 tahun Pencen Terbitan tidak kurang 1/5 daripada Gaji Akhir.
Untuk memudahkan pengiraan anggaran pencen terbitan, pihak JPA menyediakan Kalkulator Pencen Terbitan SSPA secara dalam talian. Pengguna hanya perlu memasukkan maklumat seperti:
- Gaji akhir penjawat awam
- Tempoh perkhidmatan
- Status kematian (dalam perkhidmatan atau selepas bersara)
Kalkulator ini memberi anggaran jumlah pencen yang akan diterima oleh waris, serta tempoh kelayakan pencen.
Ia amat berguna bagi perancangan kewangan keluarga dan pemahaman terhadap manfaat yang bakal diterima.
Kalkultor tersebut boleh diakses melalui pautan https://pencen.jpa.gov.my/kalkulator.html
Baca lagi: Kalkulator Pencen 2025 & Tarikh Pembayaran
Maklumat lanjut dan pertanyaan
Semua pertanyaan berhubongan dengan urusan faedah-faedah persaraan terbitan bolehlah dikemukakan kepada alamat-alamat berikut:
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Bahagian Pencen
Aras 2- 5, Blok C2,Parcel C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 W.P. PUTRAJAYA
Urusan memproses dan permohonan
Tel: 03-88854405 / 03-88854404
03-88854397 / 03-88854395
Faks: 03-88892193 / 03-88892196
Urusan pembayaran dan potongan
Tel: 03-88854555 / 03-88854558
03-88854742 / 03-88854746