30 Koleksi Pantun Nasihat Kanak-Kanak Popular & Lucu

koleksi pantun kanak-kanak
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sedar atau tidak, sejak di bangku sekolah rendah lagi kita sebenarnya sudah didedahkan dengan koleksi pantun termasuklah pantun kanak-kanak.

Pantun merupakan satu cara masyarakat Melayu tradisional pada zaman dahulu menyampaikan nasihat, pedoman, teguran, kata-kata semangat dan sebagainya.

Menurut Za’ba, perrkataan ‘pantun’ dipercayai datang hasil terbitan ‘sepantun’ yakni bermaksud ‘seperti’, ‘seumpama’ atau ‘macam’.

Selain daripada peribahasa, pantun mempunyai fungsi yang istimewa khususnya dalam memanifestasikan nilai, norma, sikap dan pemikiran serta akal budi orang Melayu.

Sejenis puisi lama yg biasanya terdiri drpd empat baris dlm tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yg selainnya mengandungi maksudnya); berbalas ~ mengucapkan pantun bersambut­-sambutan;

Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pantun Melayu menyentuh pelbagai aspek kehidupan individu; daripada kanak-kanak hingga warga tua, lelaki dan perempuan; daripada ekonomi, agama dan kepercayaan kepada budipekerti dan hubungan sosial hinggalah kepada cinta dan kasih sayang.

Pantun ialah karya seni bahasa Melayu tulen. 

Ciri-ciri Pantun

Pantun merupakan puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman-berzaman lagi.

Pantun terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima a, b, a, b dengan beberapa variasi dan pengecualian.

Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada dua, iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud.

Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Pantun kanak-kanak juga mempunyai ciri-ciri pantun yang dinyatakan di atas.l

Jenis-jenis Pantun

Pantun dapat dibahagikan kepada beberapa jenis bergantung pada jumlah kerat dan kandungannya.

Berikut merupakan antara jenis-jenis pantun:

  1. Jumlah Kerat – Pantun 2, 4, 6, 8, 10, 12, 14, 16,, 18, 20
  2. Mengikut kandungan
    • Pantun Teka-teki
    • Pantun Jenaka
    • Pantun Kasih Sayang
    • Pantun Nasihat
    • Pantun Budi
    • Pantun Nasib
    • Pantun Adat
    • Pantun Agama
    • Pantun Kanak-kanak

Artikel menarik: Contoh Ucapan, Puisi & Pantun Guru

Contoh Pantun Nasihat Kanak-kanak

Tarikan kanak-kanak kepada pantun yang dikarang khas untuk mereka ialah kata-kata dengan makna yang sesuai untuk mereka, selain rima dan irama yang sedap, maka mudah diterima dan diingat lebih-lebih lagi setelah berulang-ulang kali didendangkan ibu, pengasuh dan adik-beradik.

Berikut merupakan antara pantun kanak-kanak popular yang sesuai diajarkan buat anak-anak dan pelajar sebagai nasihat dan pedoman buat mereka.

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakitlah dahulu,
Bersenang kemudian.

Pergi ke sawah membawa peti,
Peti berisi setangkai padi,
Jadilah anak yang rendah hati,
Pasti mengerti balas budi.

Balik dari kota,
Beli tudung saji,
Baik tutur kata,
Semua orang puji.

Baju dicuci harus dibilas,
Saat dijemur, diinjak unggas,
Jadi murid tak boleh malas,
Harus kerjakan semua tugas.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baharu belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Beli kukur kelapa,
Letak atas para,
Baik tegur sapa,
Kawan lekas mesra.

Main layangan di tengah taman,
Duduk sendiri di atas tikar,
Saling sayang bersama teman,
Saat bermain jangan bertengkar.

Buah manggis di rumpan keladi,
Mari dibelah berpangsa-pangsa,
Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.

Buai tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.

Jikalau tuan mengangkat peti ,
Tolong masukkan segala barang,
Jikalau anak-anak bersatu hati ,
Kerja yang susah menjadi senang .

Hari malam gelap-gelita,
Pasang lilin jalan ke taman,
Sopan santun budaya kita,
Jadi kebanggaan zaman berzaman.

Adik ke kedai membeli halia,
Emak memesan membeli laksa,
Jadilah insan berhati mulia,
Baik hati berbudi bahasa.

Budak-budak berkejar-kejar,
Suka-suka bermain di sana,
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan berjaya.

Lompat si katak lompat,
Lompat dalam perigi,
Cepat adik cepat,
Pergi mandi cuci gigi.

Kain panjang kain batik,
Lama terpakai jadi lusu,
Ingin jadi kakak yang baik,
Adik manis mesti diasuh.

Depan rumah pohon mangga,
Sebelahnya ada pohon suji,
Jika ingin masuk syurga,
Jangan lupa untuk mengaji.

Ada awan tutupi fajar,
Bulan bintang terletak sejajar,
Ayo kawan kita belajar,
Agar cita-cita mudah dikejar.

Peta di buku tiada arahnya,
Jalan ke seberang buat latihan,
Anak yang patuh orang tuanya,
Akan disayang oleh Tuhan.

Pergi ke pantai berkacamata,
Duduk sendiri di tengah taman,
Selalu jaga perkataan kita,
Jangan sakiti perasaan teman.

Nasi dimakan terasa mentah,
Ubi dikukus bersama tebu,
Jadi anak jangan membantah,
Rajin membantu ayah dan ibu.

pantun kanak-kanak
Sumber infografik : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia

Contoh Pantun Kanak-kanak Dua Kerat

Pagi-pagi minum kopi,
Apa khabar selamat pagi.

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Emas perak tembaga suasa,
Malas gerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Periuk belaga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Saya kata itik awak kata ayam,
Sudah kena jentik baru nak diam.

Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut