Niat Zakat Fitrah, Waktu Membayar & Hukum Bayar Zakat Online

Niat Zakat Fitrah, Waktu Membayar & Hukum Bayar Zakat Online
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Niat Zakat Fitrah, Waktu Membayar & Hukum Bayar Zakat Online

Salah satu perkara yang wajib ditunaikan semasa bulan Ramadan ialah zakat fitrah. Ia adalah satu kewajipan bagi setiap Muslim yang mampu bagi membantu saudara-saudara seiman yang memerlukan serta sebagai bentuk ketaatan kepada Allah SWT. 

Daripada Ibnu Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah iaitu satu gantang tamar atau satu gantang sya’ir pada bulan Ramadan ke atas setiap orang Islam, sama ada yang bebas atau hamba lelaki atau perempuan.

Hadis Riwayat Muslim: (984)

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Kadar Zakat Fitrah Perak 2024 & Bayaran Online

Zakat Fitrah

Niat Zakat Fitrah, Waktu Membayar & Hukum Bayar Zakat Online

Zakat Fitrah, secara harfiahnya, bermaksud zakat yang dikeluarkan semasa memulakan semula (fitrah) atau semasa berakhirnya bulan Ramadan. Ia wajib dibayar oleh setiap individu Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum matahari terbenam pada hari terakhir Ramadan.

Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah, 103)

Niat Zakat Fitrah

Niat adalah aspek penting dalam setiap amalan ibadah termasuk pembayaran zakat.

Daripada Saidina Umar al-Khattab RA Sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap perkara akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya.

Hadis Riwayat Muslim (1907)

Lafaz Niat Zakat Fitrah Untuk Diri Sendiri

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri ‘an nafsi fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk diriku sendiri fardhu kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Zakat Fitrah Untuk Isteri

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri ‘an zaujati fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk istriku fardhu kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Zakat Fitrah Untuk Anak Lelaki

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri ‘an waladi fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk anak laki-lakiku … (sebutkan nama), fardhu  kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Zakat Fitrah Untuk Anak Perempuan

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri ‘an binti fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk anak perempuanku … (sebutkan nama), fardhu  kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Untuk Diri Sendiri & Ahli Keluarga Tanggungan

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri anni wa an jami’i ma yalzimuniy nafaqatuhum syar’an fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk diriku dan seluruh orang yang nafkahnya menjadi tanggunganku fardhu kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Untuk Wakil

RUMI: Nawaytu an ukhrija zakaata al-fitri ‘an (……) fardhan lillahi ta’ala

MAKSUD: “Aku niat mengeluarkan zakat fitrah untuk … (sebutkan nama spesifik), fardhu  kerana Allah Taala.”

Syarat Wajib dan Sah Zakat

  • Muslim yang merdeka
  • Baligh
  • Berakal
  • Pemilikan harta yang cukup bilangannya (Nisab) dan cukup tempohnya (Haulnya)
  • Berniat (di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata)

Waktu Yang Sesuai Untuk Mengeluarkan Zakat Fitrah

Terdapat lima waktu dan hukum berbeza yang berkaitan dengan pembayaran zakat fitrah, iaitu:

1. Harus

Di dalam mazhab Syafie, bermulanya waktu harus bagi umat Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah adalah setelah masuknya 1 Ramadan sehingga berakhirnya bulan puasa. 

2. Wajib

Waktu wajib untuk umat Islam membayar zakat fitrah pula adalah pada hari akhir Ramadan ketika waktu senja atau terbenamnya matahari pada hari berkenaan. 

3. Afdal 

Waktu afdal ini ialah waktu pagi hari raya sebelum solat sunat hari raya ditunaikan yang mana sunat bagi umat Islam membayar pada waktu yang demikian.

4. Makruh

Makruh bagi umat Islam mengeluarkan zakat setelah selesai solat sunat hari raya. 

5. Haram

Haram mengeluarkan zakat fitrah adalah waktu setelah selesai terbenamnya matahari pada hari satu Syawal atau setelah luputnya hari pertama satu Syawal.

Hukum Bayar Zakat Fitrah Secara Online

Menurut penjelasan dalam laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, pembayaran zakat tidak disyaratkan padanya akad ijab dan kabul. Syarat sah pemberian zakat adalah mesti berniat, mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang.

Jadi, membayar zakat fitrah secara online adalah sah kerana akad yang berlaku dalam keadaan tersebut mempunyai gambaran akad secara tulisan yang dipersetujui para ulama tentang keabsahannya.

Sumber:

  1. AL-KAFI #1411: ADAKAH SAH PEMBERIAN ZAKAT TANPA MELAFAZKAN AKAD – Mufti Wilayah Persekutuan. 
  2. AL-KAFI #1793: HUKUM BAYAR ZAKAT FITRAH SECARA ONLINE – Mufti Wilayah Persekutuan. 
  3. IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-206: WAKTU-WAKTU UNTUK MEMBAYAR ZAKAT FITRAH  – Mufti Wilayah Persekutuan. 
  4. Lafaz & Niat Zakat Fitrah – https://bayarzakatmalaysia.my/lafaz-zakat-fitrah/ 
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut