Sebagai Muslim, adalah kewajipan buat kita mengambil makanan dan produk daripada sumber yang halal dan bersih.
Kita juga sudah dididik sejak dahulu agar berhati-hati supaya tidak mengambil makanan yang berasaskan babi serta bahan haram yang lain.
Meskipun begitu, mungkin agak sukar untuk kita kenalpasti sumber haram yang berasaskan babi disebabkan ia ‘berselindung’ menggunakan nama-nama lain.
Antara contoh yang boleh kita ambil adalah daripada kes hangat di media sosial baru-baru ini di mana sebuah premis 24 jam didapati menjual sandwich ‘Ham & Cheese’ namun didakwa mempunyai logo halal.
Setelah disemak, cop halal yang digunakan adalah palsu dan merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan udang-undang.
Melalui isu ini, kita boleh dapati terdapat dua perkara yang umat Islam perlu cakna iaitu kandungan bahan dalam sesuatu produk dan cop sijil halal yang asli.
Oleh itu, kita sebagai pengguna perlulah bijak untuk kenalpasti nama lain babi serta peka dalam membuat semakan status halal pada premis makanan yang dilawati atau produk yang dibeli.
Jadi, dalam artikel ini kita akan berkongsikan beberapa nama lain babi yang mungkin anda tidak tahu.
Nama Lain Babi Yang Anda Wajib Tahu
Antara istilah yang biasa digunakan bagi merujuk kepada babi adalah :
- Pork – daging babi di dalam masakan
- Swine – Untuk keseluruhan spesis babi
- Hog – Babi dewasa dengan berat melebihi 50kg
- Boar – Babi hutan/liar
- Lard – Lemak babi
- Bacon – Daging babi salai
- Ham – Daging bahagian peha babi
- Sow – Babi betina dewasa
- Porcine – Sesuatu yang berasal dari babi dan selalu digunakan bagi istilah saintifik
- Char Siu – Istilah hidangan daging babi salai dalam bahasa Cina
- Dwaeji – Nama babi dalam bahasa Korea
- Nibuta/ Yakibuta – Nama babi dalam bahasa Jepun
Cara Semak Status Halal Secara Online
Orang ramai khususnya pelanggan beragama Islam disarankan untuk sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia di laman web https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php
Selain itu, anda juga boleh muat turun aplikasi Verify Halal yang dibangunkan oleh JAKIM.
Berikut adalah pautan untuk anda memuat turun aplikasi Verify Halal secara percuma :
- Google Play Store: https://play.google.com/store/verifyhalal
- Apps Store: https://apps.apple.com/my/app/verify-halal/id1256351297
Sebelum anda gunakan sesuatu produk atau mencuba makanan, jangan lupa untuk semak label kandungan dan status halalnya.
Manalah tahu jika terdapat ramuan tidak halal yang digunakan.
Namun, dengan adanya kemudahan semakan atas talian, anda kini boleh membeli produk atau nikmati makanan tanpa rasa was-was.
Tambahan pula, anda kini sudah ketahui nama lain babi. Jadi, anda bolehlah lebih berhati-hati ketika membeli-belah. Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber : Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM, Facebook Jabatan Agama Islam Selangor – Official