Muzium Penjara Melaka – Tarikan Utama & Harga Tiket Masuk
Cuti sekolah tak tahu nak pergi mana? Haa, apa kata, cuti kali ini, anda bawa anak-anak untuk berkunjung ke Muzium Penjara Melaka!
Muzium Penjara Melaka adalah destinasi menarik yang menawarkan pengalaman unik serta mendidik terutamanya untuk anak-anak remaja.
Muzium ini menyimpan banyak cerita tentang sejarah dan kisah-kisah kehidupan di sebalik jeriji besi yang boleh dijadikan sebagai pengajaran.
Jom ketahui lebih lanjut apa yang menarik mengenai muzium ini melalui perkongsian di bawah.
Muzium Penjara Melaka – Pengenalan
Muzium Penjara Melaka atau dikenali sebagai Muzium Penjara Malaysia telah dibuka secara rasmi pada 20 November 2014, kira-kira sepuluh tahun yang lepas.
Muzium ini terletak di bangunan yang dahulunya merupakan penjara sebenar (penjara pertama di Malaysia!), yang dibina pada tahun 1860.
Selepas penjara ditutup pada tahun 1992, bangunan ini diubahsuai menjadi muzium untuk memelihara dan memaparkan sejarah serta serba-serbi mengenai kehidupan di dalam penjara.
Dengan berkunjung ke sini, pengunjung berpeluang untuk memahami lebih dalam tentang kehidupan tahanan, sistem perundangan, serta perkembangan sistem penjara di Malaysia. Selain itu, banyak pengajaran hidup yang boleh dikutip di muzium ini.
Pengunjung juga dapat melihat pelbagai koleksi seperti barang-barang yang digunakan oleh banduan, alat-alat penyiksaan zaman dahulu, serta rekod-rekod penting yang memberi gambaran tentang kehidupan di dalam penjara zaman silam.
Pameran-pameran ini menyentuh aspek kemanusiaan, perundangan, dan keadilan yang sering dipandang sepi oleh masyarakat.
Waktu Operasi
Muzium Penjara Melaka dibuka setiap hari kecuali hari Isnin. Waktu operasinya adalah dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Terdapat satu program khas yang dikenali sebagai Melaka Bila Larut Malam Di Muzium Penjara Malaysia, yang membolehkan pengunjung melawat muzium pada waktu malam, bermula 1 Jun 2024 yang lepas.
Pengunjung boleh mengalami sendiri pengalaman suasana Sel Banduan pada waktu malam selain mendalami skop tugas dan pengalaman sebagai Pegawai Penjara yang bertugas pada waktu malam, pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan, dari jam 11 malam hingga 2 pagi dengan bayaran tiket yang berpatutan.
- Setiap hari kecuali Hari Isnin, 9 pagi – 5 petang.
- Sabtu minggu pertama (setiap bulan) – 11 malam sehingga 2 pagi.
Lokasi dan Cara Ke Sana
Alamat: Jln Parameswara, Kampung Bandar Hilir, 75000 Melaka, Malaysia
Muzium Penjara Melaka terletak di Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir, Melaka. Lokasinya tidak jauh dari pusat bandar dan berdekatan dengan beberapa tarikan pelancongan utama yang popular di Melaka.
Lokasinya yang strategik menjadikannya mudah diakses terutamanya dengan pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Jika anda memandu sendiri, terdapat ruang letak kereta yang disediakan berhampiran muzium.
Anda juga boleh berjalan kaki dari Dataran Pahlawan,i sekitar 10-15 minit untuk tiba di muzium ini. Nak pergi ke tempat menarik yang lain pun mudah sahaja dari muzium ini.
Harga Tiket Masuk & Cara Beli
Harga tiket masuk ke Muzium Penjara Melaka untuk dewasa adalah RM3, manakala untuk kanak-kanak dan pelajar, tiket dijual pada harga RM1. agi warga emas dan pengunjung yang memiliki kad OKU, tiket masuk adalah percuma.
Dengan harga yang rendah ini, anda boleh merasai pengalaman unik dan mendidik lagi menginsafkan di sini tanpa perlu pergi jauh-jauh dan tidak memerlukan bajet yang besar. Memang berbaloi sangat!
Untuk membeli tiket ke Muzium Penjara Melaka, anda boleh melakukan pembelian di kaunter tiket muzium.
Tiada pilihan untuk membeli tiket secara dalam talian, jadi pastikan anda hadir ke lokasi untuk mendapatkan tiket.
Apa yang Menarik di Muzium Penjara Melaka?
Muzium Penjara Melaka menawarkan pengalaman yang luar biasa dan berbeza, memaparkan aspek sejarah yang jarang didedahkan kepada umum.
Berikut adalah beberapa tarikan menarik yang menjadikan muzium ini unik dan wajib dikunjungi:
1. Sel Penjara Asal
Pengunjung boleh melangkah masuk ke dalam sel penjara yang asal, memberikan gambaran sebenar tentang kehidupan tahanan pada zaman dahulu.
Dengan ruang yang sempit, gelap, dan kurang pengudaraan, anda dapat merasai sendiri bagaimana keadaan hidup banduan pada waktu itu.
Setiap sel dilengkapi dengan penerangan yang memberi konteks tentang siapa yang pernah ditempatkan di situ dan bagaimana kehidupan harian mereka dijalani.
2. Koleksi Alat Hukuman dan Penyiksaan
Koleksi alat hukuman dan penyiksaan yang digunakan semasa zaman penjajahan juga dipamerkan di muzium ini. Tengok je pun rasa dah seram sejuk, apalagi yang merasainya.
Koleksi-koleksi pameran yang ada di sinig sangat memberi perspektif mendalam tentang realiti kehidupan banduan dan pengajaran mengenai keadilan.
3. Sejarah Penjara dan Sistem Perundangan
Muzium ini turut menyediakan paparan lengkap mengenai sejarah perkembangan sistem penjara di Malaysia, bermula dari zaman penjajahan British hingga kepada era moden.
Informasi ini disusun dalam bentuk kronologi dan disertai dengan gambar, dokumen asal, serta video interaktif. Baca sekali dah boleh faham.
Melalui informasi tersebut, pengunjung dapat memahami bagaimana sistem perundangan dan pemulihan banduan telah berubah dari masa ke semasa.
4. Kisah Banduan
Salah satu bahagian yang menarik perhatian ialah pameran mengenai banduan yang pernah dipenjarakan di sini.
Kisah mereka dipaparkan dengan penuh detail, termasuk latar belakang, kesalahan yang dilakukan, serta bagaimana mereka melalui kehidupan di penjara. Ini termasuk kisah-kisah dramatik yang memberi pengajaran tentang kehidupan dan kesan tindakan jenayah.
5. Aktiviti Interaktif dan Pameran Moden
Untuk menjadikan lawatan lebih menarik, Muzium Penjara Melaka juga menyediakan aktiviti interaktif seperti simulasi tugas seorang warden penjara.
Anda boleh mencuba pakaian banduan atau warden dan bergambar sebagai kenangan. Selain itu, terdapat skrin digital yang memaparkan video dokumentari dan kisah-kisah sejarah, menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
6. Pameran Seni Banduan
Satu lagi satu tarikan unik di muzium ini ialah pameran hasil seni dan kraf tangan yang dibuat oleh banduan sendiri semasa mereka berada dalam tahanan penjara.
‘Hasil seni’ ini memaparkan kreativiti mereka dan bagaimana seni digunakan sebagai medium pemulihan serta refleksi diri.
7. Seni Bina Menarik & Suasana Macam Penjara Sebenar
Selain apa yang ada di sini, seni bina kolonial muzium yang masih terjaga ini sendiri juga merupakan salah satu daya tarikan yang membuatkan pengunjung tertarik untuk datang ke sini.
Bukan itu sahaja, suasana sunyi dan tembok batu tinggi membuatkan pengunjung benar-benar merasai pengalaman berada dalam sebuah penjara. Memang rasa ‘real’ betul!
Penutup
Muzium Penjara Melaka adalah destinasi wajib dikunjungi bagi sesiapa yang ingin memahami lebih lanjut tentang sejarah dan sistem penjara di Malaysia.
Dengan harga tiket yang berpatutan, serta pameran menarik yang mendidik, ia menawarkan pengalaman unik kepada semua peringkat umur pengunjung.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melawat muzium ini dan dapatkan pengalaman baru yang mungkin tidak akan dilupakan!
Nak tahu apa lagi yang best di Melaka, baca juga artikel di bawah: