Monkeypox: Simptom, Bahaya, Rawatan & Risiko Jangkitan Di Malaysia

Tidak habis dengan jangkitan COVID-19, kini penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dikatakan sedang meningkat hingga 20 kali ganda berbanding tahun lalu, dan tiba-tiba muncul pula wabak terbaru iaitu Monkeypox yang kini tular di media sosial tentang penularannya di Malaysia.

Tahukah anda apakah itu penyakit Monkeypox dan bagaimana ia boleh merebak? Dan adakah ia merbahaya kepada kita?

Jom kita ketahui maklumat yang sahih tentang virus Monkeypox ini melalui info oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apakah MonkeyPox?

Penyakit cacar monyet adalah mirip penyakit cacar (smallpox) yang telah dibasmikan pada tahun 1980 berikutan program imunisasi cacar yang berjaya di seluruh dunia.

Ia disebabkan oleh jangkitan virus monkeypox daripada kumpulan orthopoxviruses.

Bagaimana Ia Merebak?

Virus ini boleh ditularkan kepada manusia melalui :

  1. Gigitan atau sentuhan langsung dengan darah, cecair badan atau luka haiwan yang dijangkiti
  2. Melalui titisan pernafasan (apabila terdapat kontak bersemuka yang berpanjangan)
  3. Kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tanda & Gejala Jangkitan Cacar Monyet

Tempoh inkubasi virus biasanya antara 6 hingga 21 hari dan pesakit akan mengalami gejala selama dua (2) hingga empat (4) minggu.

Antara tanda dan gejala jangkitan virus ini adalah:

  1. Ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain
  2. Demam
  3. Keletihan
  4. Sakit kepala
  5. Lenguh tubuh badan
  6. Sakit bahagian belakang atau sendi
  7. Kejang otot
  8. Pembengkakan kelenjar limfa

Berita Tular Tentang Jangkitan Monkeypox Di Malaysia

Sehingga 24 Mei 2022 jam 5.00 petang, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.

Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. 

Orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.

monkeypox malaysia kkm

Risiko Jangkitan MonkeyPox di Malaysia

Sehingga 20 Mei 2022, lebih 100 kes telah dilaporkan dijangkiti virus monkeypox atau cacar monyet, sama ada kes disahkan mahupun yang disyaki, telah dilaporkan di beberapa negara benua Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Kes cacar monyet yang berlaku di negara selain kawasan endemiknya kemungkinan mempunyai kaitan dengan kemasukan kes import. Risiko penularannya di Malaysia adalah sangat rendah kerana penularan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Justeru, pengecaman awal kes adalah penting supaya pengurusan awal kes termasuk pengasingan dan pengesanan kontak dapat segera dilakukan.

Rawatan

Adakah penyakit ini boleh dirawat?

Untuk makluman, lazimnya jangkitan cacar monyet ini akan sembuh sendiri tanpa rawatan khusus dalam tempoh 2 hingga 4 minggu.

Gejala yang teruk biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia berkait dengan tahap pendedahan kepada virus dan status kesihatan pesakit. CDC Atlanta melaporkan bahawa wabak cacar monyet boleh dikawal dengan vaksin cacar (smallpox), ubat antivirus cidofovir, tecovirimat dan Vaccinia immunoglobulin (VIG).

Soalan Lazim

KKM juga telah menyediakan Soalan Lazim (Frequently Ask Questions – FAQ) mengenai jangkitan monkeypox yang boleh dimuat turun dari laman Facebook CPRC Kebangsaan.

Berikut adalah soalan lazim mengenai jangkitan monkeypox bagi menjelaskan lagi mengenai penyakit ini.

Sumber: CPRC Kebangsaan – Kementerian Kesihatan Malaysia

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!