MCAS : Sistem Amaran Pelanggaran Motosikal MIROS

Penungang motorsikal merupakan pengguna jalan raya yang berisiko paling tinggi untuk kemalangan dan bagi mengurangkan risiko kemalangan ini, maka MCAS dibangunkan.

Alat atau sistem amaran ini sebenarnya sudah dibangunkan sejak 2021 lagi dan sedang dalam fasa percubaan bagi menguji keberkesanannya.

Menariknya, baru-baru ini projek ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas memenangi Anugerah Pencapaian Keselamatan Jalan Raya Global 2023 (GRAA 2023) anjuran Persekutuan Jalan Antarabangsa (Sumber: IRF) bagi kategori Teknologi, Peralatan dan Pembuatan.

Apa itu MCAS?

Motocycle Collision Alert System (MCAS) atau dalam bahasa Melayunya Sistem Amaran Pelanggaran Motosikal kali pertama dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2021.

Alat ini kemudian terus berkembang melalui pelaksanaan kajian lanjutan dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada 2022.

Sistem MCAS menggunakan teknologi LiDAR (Light Detection & Ranging) untuk mengesan kenderaan atau halangan di depan sebelum memberikan amaran visual dan audio kepada penunggang bagi mengelak perlanggaran.

Kerjasama antara MIROS dan PLUS melalui projek pemasangan rintis MCAS ini adalah satu penanda aras penting keberhasilan yang mampu dicapai melalui kerjasama strategik dan pembabitan semua pemegang taruh.

Artikel berkaitan: Aplikasi MYJalan KKR: Aduan Jalan Raya Berlubang / Rosak

Fungsi keselamatan

Berikut merupakan beberapa fungsi menarik Sistem Amaran Pelanggaran Motosikal yang dibangunkan oleh MIROS ini:

  • Membantu Mengelak Pelanggaran – Memberi amaran awal kepada penunggang terhadap potensi bahaya secara berkesan dan efisien.
  • Meningkatkan Kemahiran Menunggang – Meningkatkan kewaspadaan dan kemahiran meramal risiko bahaya secara masa nyata
  • Mengubah Tingkah Laku Tunggangan Selamat – Mengurangkan kecenderungan mengambil risiko tertentu seperti menukar lorong secara bahaya dalam halaju tinggi.
  • Mengurang Beban Kognitif – Menjadi sistem sokongan keselamatan supaya kekal fokus atas jalan.

Kajian dan tempoh percubaan

Bagi tujuan kajian ini, sebanayk 35 buah motorsikal terpilih telah dipasang dengan sistem amaran ini.

Untuk kajian rintis ini, pemilihan peserta melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang

Kajian ini dibiayai secara bersama oleh PLUS menerusi sumbangan dana bagi membiayai kos pengumpulan dan analisa data kajian manakala kos pembangunan 45 unit sistem MCAS akan dibiayai menggunakan dana penyelidikan MIROS.

Bagaimanakah MCAS berfungsi?

  1. Cahaya laser dipancarkan oleh penderia jarak berasaskan LiDAR untuk mengesan objek atau halangan di hadapan.
  2. Sistem GPS digunakan untuk mengukur kelajuan motosikal dan menetapkan kelajuan minimum untuk pengaktifan amaran.
  3. Amaran visual dan audio diaktifkan secara automatik oleh sisetm MCAS.

Hasil kajian

mcas

Berikut merupakan beberapa dapatan penting daripada kajian pemasangan alat MCAS ini:

  • Berjaya diaktifkan sejauh 125,960km dan 2,850 jam atas jalan.
  • Merekodkan 75 peratus kadar kefungsian secara purata.
  • Membantu mengurangkan 89 peratus jumlah perlanggaran.
  • Membantu mengelakkan 1,013 insiden nyaris langgar (near-crash).

Maklumat lanjut

Untuk perkembangan terkini mengenai projek Motocycle Collision Alert System (MCAS), sila ikuti laman Facebook rasmi MIROS di https://www.facebook.com/mirosroadsafety

Bantu kami share artikel ini: