Mata Sepet Sebelah (Ptosis) – Punca, Simptom & Rawatan

Mata Sepet Sebelah (Ptosis); Punca, Simptom & Rawatan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Mata Sepet Sebelah (Ptosis) – Punca, Simptom & Rawatan

Mata sepet sebelah atau dalam istilah perubatan, ptosis adalah keadaan di mana salah satu kelopak mata atas kelihatan lebih jatuh atau kuyu berbanding mata sebelah.

Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada penampilan malah boleh menjejaskan penglihatan jika tidak ditangani dengan betul. 

Jom baca lebih lanjut mengenai ptosis di bawah.

BACA JUGA: Mata Juling: Punca, & Rawatan & Kos Pembedahan

Apa Itu Mata Sepet Sebelah (Ptosis)?

Ptosis merujuk kepada kelopak mata atas yang terkulai sehingga menyebabkan mata kelihatan sepet. Biasanya ia berlaku pada sebelah mata sahaja tapi boleh juga berlaku pada kedua-dua mata. 

Keadaan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau beransur-ansur dan boleh bersifat sementara atau kekal. Ptosis juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada bayi mahupun orang dewasa. 

Walaupun ia mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang, ptosis sebenarnya boleh mempengaruhi penglihatan, keyakinan diri, malah kesejahteraan emosi seseorang.

Punca Utama Mata Sepet Sebelah

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan ptosis. Antara punca utama ptosis adalah:

1. Proses Penuaan

Otot levator yang berfungsi mengangkat kelopak mata boleh menjadi lemah atau meregang apabila usia meningkat, menyebabkan kelopak mata mudah jatuh. Inilah sebabnya ptosis lebih kerap berlaku dalam kalangan warga emas. 

2. Trauma atau Kecederaan

Kecederaan pada mata atau kawasan sekitarnya boleh menjejaskan fungsi otot atau saraf yang mengawal kelopak mata. 

3. Masalah Neurologi

Gangguan saraf seperti myasthenia gravis, strok atau tumor otak boleh menjejaskan isyarat saraf ke otot kelopak mata, menyebabkan ptosis. 

4. Kesan Prosedur Pembedahan

Pembedahan mata seperti LASIK atau katarak kadangkala boleh meregangkan atau merosakkan otot levator dan menyumbang kepada masalah ini.

5. Ptosis Kongenital

Pada kanak-kanak, ptosis biasanya berlaku kerana otot levator tidak berkembang dengan baik sejak lahir. Ini boleh menyebabkan masalah penglihatan seperti amblyopia (mata malas).

Fakta menarik: Ada kes di mana ptosis disebabkan oleh gigitan serangga di kawasan mata! Jadi lain kali kalau digigit nyamuk di kelopak mata, jangan ambil ringan ya.

BACA JUGA: Penyakit Gout: Simptom, Komplikasi, Rawatan

Ptosis Dalam Kanak-kanak

Ptosis terjadi pada kana-kanak biasanya ptosis kongenital, iaitu terjadi sejak lahir.

Biasanya disebabkan oleh otot levator yang tidak berkembang dengan baik tetapi, ada juga yang disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti:

  • Masalah saraf pada kelopak mata
  • Trauma semasa kelahiran
  • Gangguan pergerakan mata
  • Masalah sistem otak dan saraf
  • Ketumbuhan pada kelopak mata
  • Penyakit atau sindrom lain seperti;
    • Marcus-Gun Jaw Winking syndrome (disebabkan oleh rangsangan yang tidak normal kepada dua kumpulan otot yang berbeza, menyebabkan pergerakan dua kumpulan otot yan tiada kaitan seperti kelopak mata terangkat apabila membuka mulut)
    • Horner’s syndrome (berpunca daripada gangguan saraf simpatetik, menyebabkan anak mata mengecil (miosis), kelopak mata kuyu (ptosis), tidak berpeluh (anhidrosis) & bola mata sedikit tenggelam ke rongga tulang (enoftalmos))
Sumber: Galavision Eye Centre Sungai Petani
Sumber: Galavision Eye Centre Sungai Petani

Simptom dan Tanda-Tanda Ptosis

Ptosis, atau mata sepet sebelah mempunyai beberapa simptom utama yang boleh dikenalpasti dengan jelas. 

Gejala paling ketara ialah kelopak mata atas yang mengendur, kuyu atau kelihatan jatuh pada sebelah atau kedua-dua mata.

Lebih teruk lagi, kelopak mata yang jatuh ini boleh menutupi sebahagian atau keseluruhan pupil sekaligus mengganggu penglihatan.

Selain itu, individu yang mengalami ptosis mungkin akan kelihatan letih atau lesu pada wajah kerana kejatuhan kelopak mata memberi kesan kepada ekspresi muka. Ada juga yang mengalami mata sangat kering atau sangat berair. 

Simptom lain yang boleh berlaku termasuk sakit kepala dan penglihatan berganda atau kabur. 

Jika anda mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan sebaiknya dapatkan pemeriksaan lanjut daripada pakar mata untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.

Adakah Mata Sepet Sebelah Ini Bahaya?

Jawapannya?

Kalau ptosis berlaku secara perlahan dan tidak menjejaskan penglihatan, ia mungkin tidak perlu rawatan segera. 

Namun, jika kelopak mata terlalu rendah hingga menutupi pandangan, maka anda tidak boleh mengabaikannya.

Ptosis juga boleh menyebabkan risiko mata malas (amblyopia) iaitu perkembangan penglihatan yang tidak normal untuk kanak-kanak. 

Kalau anda dewasa dan mengalami ptosis secara tiba-tiba, ia mungkin petunjuk awal kepada isu neurologi. Jadi sila jumpa doktor ya, bukan Google sahaja.

Bila Perlu Berjumpa Pakar Mata?

Jika anda mendapati kelopak mata tiba-tiba jatuh, mengalami perubahan penglihatan, atau terdapat simptom lain seperti sakit kepala, kelemahan otot, atau penglihatan berganda, segera dapatkan pemeriksaan doktor. 

Ini penting untuk mengenal pasti punca sebenar dan mengelakkan komplikasi yang lebih serius. Jangan tunggu sehingga terpaksa mengangkat kening setiap kali nak tengok jalan!

Rawatan Mata Sepet Sebelah (Ptosis)

Terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk masalah ini bergantung kepada punca dan tahap keterukan. Antara rawatan popular termasuklah:

Rawatan fisioterapi otot mata: Walaupun kurang popular, sesetengah kes ringan boleh mendapat manfaat daripada terapi ini.

Pembedahan: Doktor akan mengetatkan atau menyambung semula otot levator agar kelopak mata dapat dibuka seperti biasa. Ini antara rawatan paling berkesan dan biasa dilakukan.

Suntikan botulinum toxin (Botox): Untuk kes tertentu, ia boleh membantu mengangkat kelopak mata secara sementara.

Kanta khas dengan sokongan mekanikal: Bagi mereka yang tidak mahu menjalani pembedahan, kanta jenis ini boleh membantu menampung kelopak mata.

BACA JUGA: Fibroid Maksud – Punca, Simptom & Cara untuk Merawat

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut