Masjidil Haram – Sejarah, Lokasi, Peta Terkini

masjidil haram
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Masjidil Haram adalah merupakan tempat suci bagi umat Islam sedunia. Masjid ini terletak di jantung kota Makkah dan merupakan masjid terbesar serta tertua di dunia. 

Menjadi pusat ibadah haji dan umrah, masjid ini mengelilingi Ka’bah yang merupakan kiblat bagi lebih daripada 1.9 M umat Islam di dunia. Disinilah tempat utama untuk ibadah haji dan umrah.

Masjidil Haram telah mengalami banyak pengubahsuaian dan penambahbaikan sepanjang zaman, termasuk pada zaman Khalifah Umar bin Khattab, era Uthmaniyyah, dan era kerajaan Arab Saudi. 

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Kisah Nabi Muhammad Dengan Pengemis Buta – Cerita Ringkas Kanak-kanak

Sejarah Masjidil Haram

Masjidil Haram bermula dengan pembinaan Ka’bah. Merujuk artikel yang diterbitkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ka’bah pertama kali dibangun oleh para malaikat sebelum penciptaan manusia. Nabi Adam AS kemudian menjadi sebagai orang pertama yang membangun Ka’bah di bumi. 

Nabi Ibrahim AS dan putranya Ismail AS kemudian membangun kembali Ka’bah sekitar tahun 2000 SM atas perintah Allah SWT. Pada awalnya, kawasan yang kini dikenali sebagai Masjidil Haram  ini hanya berupa ruang terbuka di sekitar Ka’bah tanpa dinding atau atap. 

Sumber: iStock

Pada tahun 638 M (17 H), Khalifah Umar bin Khattab telah memperluas kawasan ini dengan membeli karumah-rumah di sekitarnya, membangun tembok rendah setinggi kurang dari 6 kaki, dan membuat beberapa pintu masuk. Ini adalah untuk menampung jumlah jamaah yang meningkat disebabkan  umat Islam semakin bertambah. 

Pada tahun 646 Masihi, khalifah Uthman bin Affan meneruskan usaha ini dengan menambah struktur bangunan seperti dinding dan atap sederhana.

Pada masa Dinasti Abbasiyah (abad ke-8 hingga 13), struktur masjid mengalami renovasi besar-besaran, termasuk penambahan atap dan tiang-tiang megah. Khalifah Al-Mahdi pada abad ke-8 memperbesar kawasan masjid untuk menampung jumlah jamaah yang terus meningkat serta membentuk kawasan Masjidil Haram menjadi seperti sekarang. 

Pada tahun 1571 Masihi, Sultan Selim II dari Kesultanan Uthmaniyah telah menaiktaraf lagi Masjidil Haram dengan menambahkan kubah, menara, tiang marmar, atap serta menghias masjid dengan kaligrafi.

Sejak Arab Saudi mengambil alih pengurusan Masjidil Haram, pelbagai projek pembaharuan dan pengembangan telah dilaksanakan. Pada tahun 1955, Raja Abdul Aziz memulakan projek modernisasi dengan memperluas kawasan solat dan memasang lantai marmar tahan panas. 

Sumber: Berita Harian

Pada tahun 1988, Raja Fahd melaksanakan perluasan terbesar dalam sejarah masjid, menambah kapasiti sehingga 1.5 juta jamaah.

Pada era Raja Abdullah, projek mega bermula pada 2008, meliputi pembangunan sayap baru, eskalator, lif, dan kemudahan khas untuk warga emas dan golongan kurang upaya. Proses ini diteruskan oleh Raja Salman dengan fokus pada teknologi moden seperti sistem pencahayaan LED, kamera keselamatan, dan sistem audio canggih untuk keselesaan para jamaah.

BACA JUGA: Air Zam-Zam: Sejarah, Kelebihan & Adab Ketika Meminumnya

Lokasi

Masjidil Haram terletak di pusat bandar Makkah, Arab Saudi. Kedudukan strategik ditambah lagi dengan kewujudan kemudahan moden seperti kereta api laju Haramain dan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah menjadikannya mudah diakses oleh jutaan jemaah yang datang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah setiap tahun. 

Masjid ini dikelilingi oleh bukit-bukit bersejarah seperti Bukit Safa dan Marwah, yang merupakan sebahagian daripada bahagian penting untuk ibadah haji dan umrah.

Terdapat juga hotel-hotel di sekelilingnya yang memudahkan para jamaah untuk menginap dan ulang-alik ke kawasan Masjidil Haram. 

Kepentingan dan Fungsi Masjidil Haram

Masjidil Haram bukan sahaja menjadi pusat ibadah umat Islam, tetapi juga mempunyai peranan yang meluas dalam konteks agama, sosial, dan sejarah. Berikut adalah tujuh kepentingan dan fungsi utama Masjidil Haram:

1. Pusat Ibadah Haji dan Umrah

Masjidil Haram adalah lokasi utama pelaksanaan ibadah haji dan umrah. Ka’bah, yang terletak di tengah-tengah masjid ini, adalah tumpuan semua ritual seperti tawaf dan sa’i. Ibadah haji diwajibkan bagi umat Islam yang mampu, dan umrah pula digalakkan sepanjang tahun. Tempat ini melambangkan penyatuan umat Islam daripada pelbagai latar belakang. 

Firman Allah SWT, dalam surah Al Haj ayat 25:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah”…

2. Tempat Terletaknya Kiblat Umat Islam

Sumber: unsplash

Masjidil Haram, khususnya Ka’bah di dalamnya, merupakan arah kiblat bagi seluruh umat Islam di dunia. Allah SWT telah memerintahkan umat Islam untuk menghadap ke arah Masjidil Haram ketika melaksanakan solat, sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran (Surah Al Baqarah, ayat 149): 

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَإِنَّهُۥ لَلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.”

3. Tempat Ibadah dengan Ganjaran Berlipat Ganda

Solat yang dilaksanakan di Masjidil Haram memiliki keutamaan yang luar biasa. Menurut sebuah hadith, ganjaran solat di Masjidil Haram adalah 100,000 kali lebih besar daripada solat di tempat lain. 

Ini menunjukkan betapa istimewanya Masjidil Haram sebagai tempat ibadah dan mendorong umat Islam untuk berusaha melaksanakan ibadah di sana.

Hal ini disebut di dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. 

[Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

4. Pusat Sejarah Islam

Sejarah panjang Masjidil Haram mencerminkan perkembangan Islam. Dalam sejarah Islam, Ka’bah di dalam Masjidil Haram pertama kali dibangun oleh Nabi Adam AS dan kemudian dibangun kembali oleh Nabi Ibrahim AS bersama putranya, Nabi Ismail AS. 

Ini menjadikan Masjidil Haram sebagai simbol kesinambungan ajaran tauhid sejak awal penciptaan manusia. Fungsinya sebagai tapak warisan menjadikannya lokasi penting dalam memahami ketamadunan Islam. 

5. Tempat Suci yang Dilindungi

Allah SWT telah menetapkan Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya sebagai tanah haram (suci). Ini bermakna ada larangan dan batasan tertentu yang harus dipatuhi di kawasan ini, seperti larangan berburu, menebang pohon, dan melakukan kekerasan. 

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: (Surah al-Hajj: 25)

إنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ وَمَنْ يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang melakukan kekufuran serta menghalang manusia dari jalan Allah dan dari Masjid al-Haram, yang Kami telah jadikannya untuk semua manusia sama ada mereka adalah penduduk Makkah atau orang luar yang datang berziarah; bagi mereka azab yang pedih dan juga kepada sesiapa yang berkehendak untuk melakukan perkara yang dilarang Allah di Makkah, kami juga pasti akan timpakan mereka dengan seksaan yang amat pedih.”

6. Pusat Persatuan Umat Islam

Masjidil Haram berfungsi sebagai tempat berkumpulnya umat Islam dari berbagai latar belakang, bangsa, dan negara. Ini menjadikannya simbol persatuan dan kesetaraan umat Islam. Allah SWT menegaskan bahwa semua umat Islam memiliki hak yang sama untuk beribadah di Masjidil Haram, tanpa membezakan antara penduduk setempat dan yang datang dari jauh. 

7. Pusat Penyebaran Ilmu dan Dakwah Islam

Masjidil Haram berfungsi sebagai pusat penyebaran dakwah Islam melalui khutbah, kajian agama, dan program pendidikan. Khutbah Jumaat di masjid ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam di seluruh dunia kerana isi kandungannya yang menyeluruh dan relevan. 

Peta/Map Masjidil Haram

Anda boleh muat turun peta interaktif Masjidil Haram yang boleh diakses dalam talian, iaitu Al-Maqsad. 

Aplikasi Al-Maqsad menawarkan peta interaktif Masjidil Haram dan membolehkan pengguna menavigasi kawasan masjid tanpa memerlukan sambungan internet. 

Aplikasi ini sangat berguna untuk mencari lokasi-lokasi penting di dalam masjid, seperti Ka’bah, tempat tawaf, dan kemudahan lain.

Pelan Lantai Masjidil Haram

Pelan lantai Masjidil Haram telah mengalami banyak perubahan sejak projek pengembangan terbaru yang bermula pada tahun 2015. Kini, masjid ini memiliki tiga tingkat utama dengan keluasan mencecah 356,000 meter persegi. 

Tingkat bawah tanah digunakan untuk perkhidmatan dan kemudahan teknikal, manakala dua tingkat di atas tanah merupakan kawasan solat utama.

Kawasan tawaf di sekeliling Ka’bah telah diperluas dan dilengkapi dengan sistem penyejukan udara canggih untuk keselesaan jemaah. Terdapat juga eskalator dan lif untuk memudahkan pergerakan antara tingkat, terutamanya bagi warga emas dan orang kurang upaya.

Sumber: Ministry of Hajj Kingdom of Arab Saudi
Sumber: https://maps-makkah.com/masjidil-haram-map 
Sumber: Haramain (Dikongsikan pada 16 Mac 2024) 
Sumber: Nadharatul Hanini (Dikongsikan pada 14 July 2024)

Kawasan Sekitar Masjidil Haram

Persekitaran Masjidil Haram kini dipenuhi dengan pelbagai kemudahan moden untuk menampung keperluan jutaan pengunjung. Terdapat banyak hotel mewah dan penginapan yang terletak berhampiran masjid, memudahkan jemaah untuk ke masjid pada bila-bila masa.

Kawasan membeli-belah dan restoran juga tersedia di sekitar masjid, menawarkan pelbagai pilihan makanan halal dan barangan cenderamata. 

Projek pembangunan terbaru seperti Abraj Al-Bait dan Makkah Royal Clock Tower Hotel telah mengubah skyline Makkah, menjadikannya gabungan unik antara warisan sejarah dan kemodenan.

Selain Masjidil Haram itu sendiri, terdapat banyak tempat ziarah bersejarah di sekitar Makkah yang boleh dikunjungi oleh jemaah, antaranya:

  • Gua Hira: Terletak di Jabal Nur, gua ini adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama.
  • Jabal Tsur: Merupakan lokasi bersejarah di mana Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar AS bersembunyi dari musuh.
  • Masjid Tan’im: Dikenali juga sebagai Masjid Aisyah, merupakan tempat miqat bagi mereka yang ingin melakukan umrah. 

Penutup

Masjidil Haram adalah tempat yang istimewa bagi setiap Muslim. Sebagai pusat ibadah dan destinasi ziarah utama umat Islam, Masjidil Haram  terus menjadi saksi kepada perjalanan spiritual jutaan manusia, menyatukan mereka dalam keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. 

Keagungan dan keindahannya akan terus menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan bagi generasi Muslim masa kini dan akan datang.

Bagi yang belum pernah ke sini, semoga kita semua direzekikan untuk melawat masjid suci ini dan berpeluang untuk datang kembali lagi. 

Rujukan:

  1. 4550: Kemuliaan Masjid al-Haram dan Ancaman Bagi Sesiapa yang Melakukan Kezaliman dan Dosa di Makkah – Maktabah Al Bakri
  2. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-130: GANJARAN SOLAT DI MASJID AL-HARAM – Mufti WP
  3. Wikipedia
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut