Masjid Quba : Masjid Pertama dalam Sejarah Islam

masjid quba
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Selain Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Haram, Masjid Quba merupakan antara masjid yang sangat terkenal dalam sejarah Islam. Hal ini demikian kerana, masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina dalam dunia dan dalam sejarah Islam.

Masjid ini merupakan antara masjid yang penuh sejarah. Hal ini demikian kerana, masjid ini bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga menjadi simbol kekuatan, kesatuan, dan perkembangan Islam pada waktu itu. 

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui sejarah masjid pertama di dunia ini dengan lebih mendalam, pastikan anda teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel ini. 

Sejarah Pembinaan Masjid Quba

Pembinaan masjid pertama dalam dunia ini, telah terjadi pada tahun 622 Masihi. Pada tahun tersebut, Rasulullah S.A.W dan para sahabat sedang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Pada 8 Rabiulawal, Baginda  bersama para sahabat, telah tiba di suatu kawasan yang bernama Quba.  

Setibanya di kawasan tersebut, Saidina Ammar yang merupakan salah seorang sahabat yang mengikuti penghijrahan tersebut telah mencadangkan agar dibangunkan sebuah tempat yang boleh digunakan mereka sebagai tempat solat dan tempat istirehat.

Cadangan itu telah disambut baik oleh Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar dan Saidina Ammar mula mengumpulkan batu-batu yang diletakkan satu persatu, yang ditumpuk satu batu dengan satu batu lainnya untuk membuat masjid. 

Dengan ketekunan dan kesabaran para sahabat, masjid pertama dalam sejarah dunia dan sejarah Islam telah berjaya dibina. Masjid yang dinamakan sebagai Masjid Quba, bersempena nama kawasan tersebut, mengambil masa selama empat hari untuk ditubuhkan.

Setelah ia siap, Baginda sendiri telah meletakkan batu qiblat (batu asas pertama) bagi masjid itu. Sejak pada itu, masjid ini telah menjadi simbol perpaduan dan kekuatan di kalangan umat Islam. Dengan sejarah yang begitu mendalam dan keistimewaan yang luar biasa, masjid ini terus menjadi pusat ibadah dan ziarah bagi umat Islam dari seluruh dunia.

Keistimewaan Masjid Quba

Masjid Quba mempunyai banyak keistimewaan yang menjadikannya unik dalam sejarah Islam. Salah satu keistimewaannya ialah ia merupakan pusat ibadah pertama umat Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Dengan tangan Baginda sendiri, masjid ini mula dibina dan perkara ini dinyatakan dalam riwayat at-Thabrani:

“Aku melihat Rasulullah SAW ketika Baginda datang dan singgah di tempat ini (Quba’), lalu Baginda mendirikan Masjid Quba’. Aku melihat Baginda mengangkat batu sehingga Baginda kelihatan berjalan senget atau miring (kerana penat dan berat), dan aku melihat kesan tanah yang berwarna putih pada perut dan pusat Baginda. Maka datanglah salah seorang daripada sahabatnya lalu berkata: “Demi ayah dan ibuku wahai Rasulullah! Berikan kepadaku batu itu, biar aku ringankan bebanmu.” Baginda bersabda: “Tidak, ambillah batu yang lain” hingga Baginda ikut bersemangat membinanya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Malaikat Jibril menuju ke Kaabah untuk meluruskan kiblat masjid.” 

Diriwayatkan oleh at-Thabrani

Selain itu, masjid ini sangat istimewa kerana keberkatan yang bakal diperoleh jika kita bersolat didalamnya. Perkara ini telah disebutkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sendiri dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi:

 “Sesiapa yang melakukan solat di masjid Quba, maka dia seolah-olah telah melakukan umrah.”

Hadis riwayat Tirmizi

Hadis ini menunjukkan betapa besar pahala dan ganjaran bagi mereka yang menunaikan solat di Masjid Quba, seakan-akan mereka telah melakukan ibadah umrah.

Seni Bina Masjid Quba

Masjid Quba yang anda lihat pada masa kini bukanlah binaan asal masjid tersebut. Pada awalnya, masjid ini hanya mempunyai satu ruangan solat dan serambi sahaja, malah, saiz masjid ini juga tidaklah sebesar bangunannya yang sekarang. Masjid pertama ini dulunya dibina atas tanah sebesar 1200 persegi sahaja. Tiang masjid tersebut telah ditegakkan menggunakan batang pohon kurma, manakala atapnya pula dibina menggunakan pelepah pohon kurma yang telah dicampurkan dengan tanah liat. 

Namun begitu, seperti agama Islam yang terus berkembang mengikuti peredaran zaman, masjid ini juga telah banyak berubah. Masjid Quba ini telah melalui beberapa kali proses pembinaan dan pengubahsuaian untuk menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat. Seni bina masjid ini menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden. Masjid ini mempunyai kubah yang besar dan menara yang tinggi, dengan reka bentuk yang indah dan sederhana. 

Di dalam masjid, terdapat ruang solat utama yang luas, dan dindingnya dihiasi dengan seni ukiran dan kaligrafi Arab yang memperindah suasana. Masjid ini juga dilengkapi dengan kemudahan moden untuk memudahkan para jemaah menjalankan ibadah dengan selesa. Di sekeliling masjid pula , terdapat kawasan lapang yang digunakan untuk solat dan aktiviti masyarakat.

Pada zaman sekarang, masjid ini memiliki 19 pintu, termasuk tiga pintu utama. Dua pintu diperuntukkan bagi jemaah lelaki, sementara satu pintu untuk jemaah wanita. Masjid ini dilengkapi dengan enam kubah besar, masing-masing berdiameter 12 meter. Selain itu, terdapat juga 56 kubah kecil dengan diameter enam meter. Kawasan masjid ini berkeluasan 135,000 meter persegi, dengan ruang solat utama seluas 5,035 meter persegi yang mampu menampung hingga 20,000 jemaah.

Fakta Menarik

Berikut merupakan antara fakta-fakta menarik berkenaan masjid pertama bagi umat Islam ini, untuk pengetahuan dan makluman anda:

  • Masjid pertama ini dibina di Kampung Quba yang terletak tiga kilometer dari selatan Madinah. 
  • Masjid ini didirikan di atas sebidang tanah milik keluarga Kalsum bin Hadam dan Kabilah Amru bin Auf. 
  • Batu asas pertama masjid ini diletakkan sendiri oleh Rasulullah S.A.W sebelum diikuti berturut-turut oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. 
  • Di masjid ini, solat jemaah pertama buat semua umat Islam telah dilakukan. 
  • Pada awalnya, masjid ini hanya terdiri daripada satu ruang solat dan serambi sahaja.
  • Pada mulanya, masjid ini di bina daripada tiang yang dibuat daripada pohon buah kurma dan atap yang dihasilkan dari pelepah pohon tersebut yang bercampur dengan tanah liat.
  • Saidina Umar merupakan khalifah pertama yang mendirikan empat menara masjid ini yang tingginya 47 meter. 
  • Masjid ini pernah mengalami peralihan arah kiblat dari Baitul Maqdis dan kemudiannya ditukar menghadap Baitullah di Mekah.

Sumber: Majoriti

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut