Masjid Nabawi, terletak di Kota Madinah, Arab Saudi, adalah simbol peradaban Islam dan salah satu tempat suci umat Muslim. Masjid ini adalah masjid kedua yang didirikan Rasulullah SAW setelah Masjid Quba.
Setiap tahun, Masjid Nabawi menarik jutaan pengunjung untuk menunaikan ibadah haji dan umrah, mahupun untuk menelusuri jejak sejarah Islam.
Ditambah lagi dengan kehadiran makam Nabi Muhammad SAW dan dua sahabatnya, Abu Bakar dan Umar, Masjid Nabawi menjadi destinasi penting bagi umat Islam yang ingin berziarah sambil menunaikan ibadah haji atau umrah.
Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenai Masjid Nabawi.
BACA JUGA: Masjidil Haram – Sejarah, Lokasi, Peta Terkini
Sejarah Masjid Nabawi
Asal Usul dan Pembangunan Awal
Masjid Nabawi didirikan pada tahun 622 M, tidak lama setelah Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, yang pada masa itu dikenail sebagai Yathrib.
Lokasi masjid ditentukan berdasarkan tempat berhenti unta Baginda SAW. Kawasan unta Nabi berhenti merupakan kebun kurma milik dua anak yatim, Sahl dan Suhail bin ‘Amr. Lalu, ia dibeli oleh Nabi untuk dijadikan masjid.
Nabi Muhammad SAW bersama para sahabatnya terlibat secara langsung dalam pembangunan Masjid Nabawi. Pembinaan masjid ini bermula pada bulan Rabi al-Awwal tahun pertama Hijrah dan mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan bulan untuk disiapkan.
Pada awalnya, masjid ini berukuran lebih kurang 30.5 m x 35.62 m (100 ft x 116.9 ft) dengan atap daripada daun kurma dan tiang daripada batang kurma, manakala lantainya adalah tanah.
Perluasan Masjid
Rasulullah SAW memperluas masjid pada tahun ke-7 Hijriah karena jumlah umat Islam yang semakin meningkat. Masjid ini dibesarkan sehingga mencakup panjang dan lebar tambahan sebanyak 20 hasta.
Pada tahun ke-17 Hijriah, Khalifah Umar bin Khattab melanjutkan perluasan masjid hingga mencapai luas 3,575 meter persegi. Dinding dan tiang masjid juga dibangun menggunakan bahan kayu yang lebih kukuh.
Seterusnya, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, masjid ini diperindahkan lagi dengan serambi yang dibina menggunakan batu dan kapur. Ini menjadikan Masjid Nabawi lebih kukuh dan lebih besar, bersedia untuk menampung keperluan umat Islam yang semakin berkembang.
Fasa Pembangunan Seterusnya
Dinasti Umayyah juga memainkan peranan besar dalam memperkasa Masjid Nabawi dengan pembinaan empat menara dan seni bina yang lebih megah.
Pada zaman Khalifah Al-Mahdi dari Dinasti Abbasiyah, kawasan masjid diperluas lagi sehingga mencapai luas 8,890 meter persegi. Banyak elemen seni bina Islam mula diterapkan pada waktu ini, menjadikan Masjid Nabawi sebagai karya seni bina yang mengagumkan
Pada abad ke-20, kerajaan Arab Saudi telah melancarkan beberapa projek renovasi besar-besaran untuk meningkatkan kapasiti dan kemudahan masjid.
Antara renovasi terbesar ialah pada tahun 1984 di bawah pemerintahan Raja Fahd, di mana luas masjid ditingkatkan kepada 384,000 meter persegi. Keluasan ini mampu menampung lebih daripada satu juta jemaah pada satu-satu masa.
Penambahan payung automatik di pelataran masjid dan sistem pendingin udara menjadikannya salah satu masjid paling canggih di dunia.
Lokasi
Masjid Nabawi terletak di pusat Kota Madinah. Lokasi masjid ini berada di pusat kota Madinah, menjadikannya mudah diakses dari pelbagai arah.
Terletak sekitar 5 kilometer dari Masjid Quba, masjid pertama yang dibangun oleh Nabi Muhammad SAW, masjid ini dikelilingi oleh pelbagai kemudahan terutamanya untuk memudahkan para jamaah seperti hotel, restoran, pasar dan sebagainya.
Jemaah yang tiba di Madinah biasanya akan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, yang terletak kira-kira 15 km dari Masjid Nabawi. Terdapat pelbagai pilihan pengangkutan seperti teksi, bas, dan perkhidmatan pengangkutan peribadi yang boleh membawa jemaah terus ke masjid.
Kepentingan dan Fungsi Masjid Nabawi
1. Tempat Ibadah
Masjid Nabawi adalah tempat ibadah yang sangat penting bagi umat Islam. Setiap tahun, jutaan jemaah dari seluruh dunia datang ke sini untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat.
Pahala bagi setiap solat yang dilakukan di Masjid Nabawi sangat besar. Ini menjadikan masjid ini sebagai destinasi utama bagi mereka yang ingin beribadah dan mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda.
2. Makam Nabi Muhammad SAW
Salah satu tarikan utama dan penting di Masjid Nabawi adalah makam Nabi Muhammad SAW, yang terletak di dalam kompleks masjid.
Makam ini menjadi tempat ziarah bagi umat Islam yang ingin menghormati dan mengenang Rasulullah SAW. Di tepi makam Nabi, terdapat juga makam dua sahabatnya, Abu Bakar dan Umar Al-Khattab.
3. Pusat Pendidikan Islam & Dakwah
Masjid Nabawi berfungsi sebagai pusat pendidikan bagi umat Islam. Di sini, pelbagai kelas pengajian dan ceramah diadakan untuk mendalami ajaran Islam.
Umat Islam dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk belajar tentang Al-Quran, hadis, dan ilmu-ilmu agama lain. Ini menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat penyebaran ilmu agama yang lebih mendalam.
4. Tempat Peristiwa Penting dalam Sejarah Islam
Banyak peristiwa penting dalam sejarah awal Islam berlaku di sini, termasuk perjanjian dan keputusan penting yang mempengaruhi perkembangan Islam. Sejarah masjid ini mengandungi banyak kisah inspiratif tentang perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya dalam menyebarkan agama Islam.
5. Sumbangan kepada Ekonomi dan Sosial
Masjid Nabawi juga berfungsi sebagai pemangkin ekonomi di kawasan Madinah. Kehadiran berjuta-juta jemaah setiap tahun mencipta peluang ekonomi dalam sektor pelancongan, seperti perhotelan, makanan, dan perkhidmatan pelancongan. Daripada sudut sosial, masjid ini menjadi tempat umat Islam daripada pelbagai latar belakang berinteraksi dan memperkukuh silaturrahim.
Peta Masjid Nabawi (Pelan Lantai Terkini)
Pelan lantai terkini Masjid Nabawi menunjukkan struktur masjid yang luas dan kompleks, termasuk ruang solat utama, kawasan untuk solat luar, tandas, eskalator dan lokasi penting lain seperti Raudhah.
Pelan ini direka untuk menampung jumlah jemaah yang besar, dengan kemudahan moden yang memastikan keselesaan semasa beribadah.
Kawasan Sekitar Masjid Nabawi Ada Apa?
Kawasan sekitar Masjid Nabawi di Madinah kaya dengan pelbagai tempat bersejarah dan kemudahan yang menarik bagi para jemaah dan pengunjung. Berikut adalah beberapa lokasi penting yang terdapat di sekitar Masjid Nabawi:
1. Masjid Al-Ghamamah
Masjid Al-Ghamamah terletak sekitar 300 meter di sebelah barat daya Masjid Nabawi. Masjid ini terkenal kerana merupakan lokasi di mana Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat hari raya aidilfitri dan hari raya aidiladha. N
ama “Al-Ghamamah” bermaksud “awan”, yang merujuk kepada kisah di mana awan mendung muncul semasa solat berlangsung. Masjid ini dibangun pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan menjadi saksi pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam.
2. Masjid Quba
Masjid Quba, yang terletak sekitar 3 kilometer di selatan Masjid Nabawi. Ia adalah masjid pertama yang dibangun oleh Nabi Muhammad SAW setelah hijrah ke Madinah. Masjid ini menjadi tempat solat berjamaah pertama bagi Nabi dan para sahabatnya.
3. Jannat al-Baqi (Perkuburan Al-Baqi)
Jannat al-Baqi merupakan kawasan perkuburan bersejarah yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi. Banyak sahabat Nabi, termasuk keluarga Baginda, dikebumikan di sini.
4. Hotel dan Penginapan
Terdapat pelbagai hotel yang terletak hanya beberapa langkah dari Masjid Nabawi. Hotel-hotel ini menawarkan kemudahan yang selesa kepada jemaah. Lokasi strategik hotel-hotel ini memudahkan akses ke masjid serta kawasan komersial berhampiran.
5. Pusat Membeli-belah
Di sekitar masjid, terdapat banyak bazar dan pusat membeli-belah seperti Souq Al-Haram. Jemaah boleh membeli pelbagai barangan seperti pakaian, kurma, minyak wangi, dan tasbih. Barangan di kawasan ini biasanya menjadi pilihan sebagai buah tangan atau hadiah untuk keluarga.
6. Restoran dan Kedai Makan
Pelbagai restoran dan gerai makanan menawarkan masakan Timur Tengah dan antarabangsa di sekitar Masjid Nabawi. Beberapa restoran terkenal termasuk Al Baik dan Tazaj, yang terkenal dengan ayam gorengnya. Selain itu, banyak kafe menyediakan suasana santai untuk berehat selepas ibadah.
7. Perpustakaan King Abdulaziz
Perpustakaan ini terletak berhampiran Masjid Nabawi dan menyimpan koleksi manuskrip Islam, termasuk mushaf Al-Quran kuno. Tempat ini sering menjadi tumpuan pencinta ilmu untuk memahami lebih lanjut tentang sejarah Islam dan seni kaligrafi.
Penutup
Masjid Nabawi adalah tempat yang istimewa bagi setiap Muslim. Sebagai pusat ibadah dan destinasi ziarah utama umat Islam, ia menjadi saksi kepada perjalanan spiritual jutaan manusia, menyatukan mereka dalam keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke sini, semoga kita semua direzekikan untuk melawat masjid suci ini dan berpeluang untuk datang kembali lagi.
Rujukan:
- Masjid Nabawi – Wikipedia
- Hajj & Umrah Planner
- Tracing The History Of Masjid-e Nabawi: The Prophet’s Mosque – zamzam.com