Masalah Pembelajaran – Contoh, Kategori, Punca & Cara Atasi
Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang kurang menonjol dalam akademik atau menghadapi kesukaran dalam aspek pembelajaran tertentu, jangan putus asa terlebih dahulu.
Anak anda mungkin menghadapi masalah pembelajaran dan perlu pendekatan yang berbeza serta bantuan untuk membantu mereka dalam mempelajari sesuatu terutamanya di sekolah.

Masalah pembelajaran adalah satu cabaran perkembangan yang memberi kesan kepada keupayaan seseorang untuk memperoleh, memproses atau menggunakan maklumat secara berkesan.
Meskipun tidak mengurangkan kebolehan intelektual secara keseluruhan, individu yang menghadapi masalah pembelajaran memerlukan pendekatan khas bagi membolehkan mereka berkembang mengikut potensi masing-masing.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai topik ini.
BACA JUGA: Subsidi Yuran Kanak-kanak Autisme 2025 – Semakan, Permohonan
Apa Maksud Masalah Pembelajaran?
Masalah pembelajaran merujuk kepada gangguan atau kesukaran dalam proses pembelajaran yang dialami oleh kanak-kanak atau orang dewasa, termasuklah golongan OKU.
Menurut garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat, masalah pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal seseorang.
Ia bukan sekadar kelemahan akademik biasa tetapi melibatkan cabaran dalam memproses, memahami dan menyimpan maklumat.
Masalah pembelajaran menghalang keupayaan individu untuk memproses maklumat dengan berkesan, yang seterusnya memberi kesan kepada keupayaan membaca, menulis, mengira atau memahami arahan.
Secara ringkasnya, masalah pembelajaran merujuk kepada kesukaran dalam satu atau lebih proses asas pembelajaran seperti membaca, menulis, mengira, atau memahami arahan, walaupun tahap kecerdasan individu adalah normal atau hampir normal.
Setiap individu mungkin mengalami masalah pembelajaran yang berbeza, bergantung kepada tahap dan jenis gangguan yang dialami.
Penting untuk difahami bahawa masalah pembelajaran bukan berpunca daripada kecerdasan yang rendah, gangguan emosi, mahupun masalah penglihatan atau pendengaran semata-mata.
Sebaliknya, ia berkaitan dengan cara otak seseorang memproses maklumat, dan individu tersebut mungkin mempunyai keupayaan intelektual yang normal atau tinggi dalam bidang tertentu, tetapi menghadapi kesukaran dalam aspek pembelajaran tertentu.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang petah berbual mungkin menghadapi kesukaran mengeja perkataan mudah, atau seorang pelajar yang cemerlang dalam seni lukisan tetapi gagal memahami konsep matematik asas.
Perbezaan ini menandakan bahawa mereka mungkin mempunyai cabaran pembelajaran tersembunyi dan memerlukan perhatian serta sokongan khas untuk membantu mereka berkembang secara optimum.
NOTA:
- Masalah pembelajaran kini lebih tepat dirujuk sebagai “OKU Pembelajaran” dalam dokumen rasmi kerajaan.
- Kategori ini berbeza daripada kurang upaya mental, fizikal, atau deria seperti penglihatan dan pendengaran
Kategori OKU Pembelajaran Dalam Kanak-Kanak
Berikut ialah antara beberapa kategori OKU pembelajaran kanak-kanak yang biasanya dialami:
1. Disleksia
Kesukaran membaca, mengeja, dan memahami perkataan walaupun mempunyai kecerdasan yang normal. Murid disleksia sering mengalami masalah dalam memproses simbol huruf dan bunyi, menyebabkan mereka lambat membaca atau sering melakukan kesilapan ketika membaca dan menulis.
2. Autisme
Gangguan perkembangan neurologi yang menjejaskan komunikasi, interaksi sosial, dan tingkah laku. Murid autisme biasanya menunjukkan corak minat dan aktiviti yang terhad serta berulang-ulang, serta mungkin mengalami masalah dalam menyesuaikan diri dengan perubahan rutin harian.
3. Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
Masalah tumpuan dan hiperaktif. Murid dengan ADHD biasanya sukar memberi perhatian dalam tempoh lama, mudah terganggu, impulsif, dan sering bertindak tanpa berfikir panjang. Ini menjejaskan keupayaan mereka untuk belajar secara berkesan di dalam kelas.
4. Slow Learners (Lembam)
Murid yang mempunyai pencapaian akademik yang rendah secara keseluruhan atau dalam bidang tertentu. Mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memahami dan menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis, dan mengira.
5. Global Developmental Delay (GDD) – untuk kanak-kanak bawah 4 tahun
GDD ialah istilah yang digunakan apabila kanak-kanak bawah umur 4 tahun mengalami kelewatan perkembangan dalam dua atau lebih bidang utama seperti motor kasar, motor halus, bahasa, sosial, atau kognitif. Kanak-kanak dengan GDD memerlukan pemantauan dan intervensi awal kerana mereka berisiko mengalami masalah pembelajaran yang lebih ketara apabila meningkat usia.
6. Diskalkulia
Masalah khusus dalam memahami konsep dan operasi matematik. Murid diskalkulia sukar mengenal nombor, melakukan operasi asas, atau memahami konsep matematik yang mudah.
7. Disgrafia
Kesukaran dalam kemahiran menulis. Murid disgrafia mungkin mempunyai tulisan tangan yang sangat sukar dibaca, lambat menulis atau sukar menyusun ayat dan idea secara bertulis.
8. Sindrom Down
Kanak-kanak dengan Sindrom Down biasanya mengalami kelewatan perkembangan intelektual, masalah pembelajaran, dan mungkin juga mempunyai ciri fizikal tertentu seperti wajah bulat dan mata condong ke atas.
Tanda Awal Masalah Pembelajaran Dalam Kalangan Kanak-kanak
Berdasarkan perkongsian Dr.Rozanizam Zakaria, berikut ialah antara tanda-tanda awal yang boleh dikesan pada kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah yang mungkin menghadapi masalah pembelajaran.
Beliau menulis di Facebooknya:
‘Warning Signs’ masalah keupayaan pembelajaran (Learning Disorder) dalam kalangan kanak-kanak.
Masalah pembelajaran biasanya dibahagikan kepada 3 kategori – language disorder, specific learning disorders (reading, writing and arithmetics) dan masalah lain seperti coordination, motor skills dan sebagainya.
Selalunya, masalah keupayaan pembelajaran berlaku pada semua spektrum di atas (campur-campur pelbagai kategori masalah).
Ingat! Tugas ibubapa bukan mendiagnosis anak-anak sendiri, tetapi memantau dan mengenal pasti masalah seawal mungkin dan kemudian dapatkan bantuan professional.
Perkongsian ini sebagai maklumat. Setiap kes berbeza berdasarkan sejarah individu.
Antara tanda-tanda awal yang boleh dikesan pada kanak-kanak berusia 5 tahun:
- Lewat bertutur dengan normal (peraturan kasar – 2 tahun 2 perkatan satu ayat, 3 tahun – 3, 4 tahun ayat penuh, boleh bercerita kembali bila ditanya)
- Sukar belajar perkataan baru
- Masalah sebutan (articulation dan pronounciation)
- Sukar belajar mengenal nombor, huruf, hari dalam seminggu, warna dan bentuk
- Sukar fokus
- Sukar menerima arahan
- Masalah dalam memegang pensil dengan baik
- Sukar belajar kemahiran motor seperti memakai butang, zip dan mengikat.
Bagi kanak-kanak yang ke sekolah tadika (penghujung 6 tahun):
- Tidak berminat dengan aktiviti memerlukan membaca, melukis dan menulis
- Tidak mengenal huruf besar dan kecil
Sekolah akan ada ujian saringan, namun lebih baik kalau ibubapa ambil perhatian awal sebelum terlewat.
Dapatkan maklumbalas dari guru mengenai perkembangan anak-anak di sekolah. Jadikan guru ‘share-partner’ anda dalam mendidik anak-anak.
Sekiranya kenal pasti masalah, boleh lakukan ujian saringan di mana-mana Klinik Kesihatan. Rujukan ke klinik pediatrik atau psikiatri kanak-kanak hanya untuk kes yang memerlukan pengesahan diagnosis atau intervensi.
Doktor akan buat penilaian lanjut sama ada masalah pembelajaran tadi berkait dengan masalah neurodevelopmental lain seperti autism, ADHD, Intellectual disability, sensory problem etc.
Jangan tunggu sampai anak dah darjah 4 masih tak boleh membaca baru nak bawa untuk penilaian.
Sumber: (Learning Disorder, Jensen & Breiger, 2005)
Punca
Punca masalah pembelajaran adalah kompleks dan seringkali melibatkan gabungan pelbagai faktor. Oleh itu, pengesanan awal dan intervensi yang bersesuaian sangat penting untuk membantu murid mengatasi cabaran ini.
Berikut adalah antara punca utama yang dikenal pasti:
1. Faktor Genetik: Beberapa masalah pembelajaran seperti disleksia boleh diwarisi daripada keluarga. Jika terdapat ahli keluarga yang mengalami masalah yang sama, risiko untuk anak juga mengalaminya adalah lebih tinggi.
2. Gangguan Perkembangan Otak: Ketidaknormalan dalam perkembangan otak, sama ada sejak lahir atau akibat kecederaan, boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak memproses maklumat, membaca, menulis, atau mengira.
4. Masalah Semasa Kehamilan atau Kelahiran: Komplikasi semasa kehamilan seperti jangkitan, kekurangan oksigen sewaktu kelahiran, atau kelahiran pramatang boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan seterusnya menyebabkan masalah pembelajaran.
5. Faktor Persekitaran: Persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif seperti bilik darjah yang sempit, bising, atau kurang kemudahan boleh mengganggu tumpuan dan proses pembelajaran murid. Selain itu, kekurangan rangsangan awal di rumah juga boleh menyumbang kepada kelewatan perkembangan pembelajaran.
6. Teknik Pengajaran yang Tidak Sesuai: Penggunaan kaedah pengajaran yang sama untuk semua murid tanpa mengambil kira keperluan individu boleh menyebabkan sesetengah murid tidak dapat mengikuti pengajaran dengan baik, terutamanya murid berkeperluan khas.
7. Masalah Kesihatan: Masalah kesihatan seperti epilepsi, masalah pendengaran, penglihatan, atau gangguan saraf pusat boleh mengganggu proses pembelajaran.
8. Faktor Psikososial: Tekanan emosi, kurang perhatian atau sokongan daripada keluarga, serta masalah sosial juga boleh memberi kesan kepada keupayaan murid untuk belajar secara optimum.
BACA JUGA: Tung Tung Sahur – Fenomena Brain Rot Bahaya untuk Kanak-Kanak
Apa Perlu Dilakukan oleh Ibu Bapa & Guru?
1. Pengesanan & Intervensi Awal
Langkah paling penting ialah mengenal pasti masalah pembelajaran seawal mungkin. Pemerhatian guru, ujian saringan, atau rujukan kepada pakar seperti psikologis pendidikan dapat membantu mengesan masalah sebelum ia menjadi lebih serius. Intervensi awal membolehkan pelajar mendapat bantuan yang sesuai dengan lebih cepat.
2. Pengajaran Berbeza (Differentiated Instruction)
Ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah agar para guru boleh menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keperluan individu murid.
3. Sokongan Emosi & Motivasi
Murid yang mengalami masalah pembelajaran sering berdepan tekanan emosi dan kurang keyakinan diri. Guru dan ibu bapa perlu memberi galakan, pujian, serta membina suasana pembelajaran yang positif agar murid berasa dihargai dan termotivasi untuk terus belajar.
4. Penglibatan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan guru dan mengambil tahu perkembangan anak. Sokongan di rumah seperti membantu membuat kerja sekolah, membaca bersama, atau menyediakan ruang belajar yang kondusif sangat membantu perkembangan anak.
5. Penggunaan Teknologi Pendidikan
Aplikasi pembelajaran, perisian khas, atau alat bantu seperti audio books dan video pendidikan boleh digunakan untuk memudahkan pemahaman murid yang mempunyai masalah pembelajaran.
6. Latihan Kemahiran Bertahap
Bagi murid yang mengalami kesukaran membaca, menulis atau mengira, latihan secara bertahap dan berulang sangat penting. Mulakan dengan kemahiran asas sebelum beralih ke tahap yang lebih kompleks.
7. Bimbingan Profesional
Jika masalah berlarutan, dapatkan bantuan daripada pakar seperti kaunselor pendidikan, terapis pertuturan atau pakar psikologi kanak-kanak untuk intervensi yang lebih mendalam dan khusus.
8. Persekitaran Pembelajaran Inklusif
Sekolah perlu menyediakan persekitaran yang inklusif, selamat dan mesra OKU. Ini termasuk kemudahan fizikal, bahan pembelajaran yang sesuai, serta latihan kepada guru untuk memahami keperluan murid berkeperluan khas.
Rujukan
- Dr.Rozanizam Zakaria
- Learning Disorder, Jensen & Breiger, 2005