Bakat Marsha Milan dalam bidang nyanyian tidak perlu disangkal lagi. Penyanyi tinggi lampai ini sekali lagi membuktikan kredibiliti beliau dalam industri muzik tanah air apabila tercalon sebagai finalis AJL 39.
Ini juga merupakan satu pencapaian yang besar buat Marsha kerana beliau tercalon selama empat tahun berturut-turut di anugerah berprestij tersebut.
Berpewatakan ceria, bersahaja dan berbakat besar, penyanyi yang berasal dari Sabah ini sudah pun mencuri tumpuan ramai sejak tampil dalam rancangan realiti popular Akademi Fantasia musim ke-3.
Selain menyanyi, Marsha Milan juga aktif dalam bidang lakonan termasuk lakonan suara untuk animasi dan pengacaraan.
Ayuh kita kenali personaliti berbakat besar ini dengan lebih dekat lagi.
Biodata Marsha Milan
Nama Sebenar : Marsha Milan Londoh
Nama Komersial : Marsha, Marsha Milan
Asal : Tamparuli, Sabah
Keturunan : Kadazan-Dusun
Agama : Islam
Tempat Lahir : Berrien Spring, Michigan, Amerika Syarikat
Tarikh Lahir : 6 Disember 1985
Usia : 39 tahun (2024)
Status : Berkahwin
Suami : Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail
Pekerjaan : Penyanyi, Pelakon, Pengacara
Akaun media sosial : @marshamilan
Perjalanan Karier
Sedar tak sedar, sudah hampir 20 tahun Marsha melibatkan diri dalam industri seni.
Marsha mula dikenali sebagai penyanyi menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-3 (2005).
Pada musim tersebut, Mawi dinobatkan sebagai juara manakala Marsha berada di tempat keempat.
Musim ketiga ini juga boleh dikatakan sebagai kemuncak populariti bagi rancangan realiti anjuran Astro tersebut.
Seterusnya, Marsha sempat mengeluarkan beberapa single antaranya berjudul “Sayang” (duet bersama Ajai), Bersama Kita, Bila dan Hilang.
Sebagai penyanyi yang sinonim dengan negeri di bawah bayu, Marsha juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan beberapa lagu bersama bekas peserta AF4, Velvet Aduk. Antaranya adalah single bertajuk, ‘Insan Tadau”, “Aramaitii”, “Sumandak Sabah” dan “Oi Gaman”.
Marsha juga sempat mengeluarkan sebuah album EP pada tahun 2011 berjudul “Yang Pertama”.
Marsha memberi kejutan kepada para peminat dengan menyertai Akademi Fantasia Megastar (AF Megastar 2017), iaitu rancangan realiti yang menghimpunkan alumni terbaik AF.
Meskipun tidak berhasil menyandang gelaran juara, namun Marsha berjaya menggunakan rancangan realiti tersebut sebagai platform untuk beliau tampil sebagai penyanyi yang lebih matang dan berpengalaman.
Beliau kemudiannya terus melebarkan sayap dalam bidang nyanyian sehingga mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi lain di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36).
Kemenangan pertama beliau di anugerah berprestij tersebut telah membuka mata ramai pencinta muzik tempatan.
Dalam AJL36, beliau berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik dan Naib Juara menerusi lagu Cinta hasil karya Hang Nadim (Akim Ahmad) dan Bunga Cantik (Stacy).
Marsha sekali lagi tercalon sebagai finalis pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) menerusi lagu Kembali Terang.
Di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Marsha mempertaruhkan lagu bertajuk Darah karya Naim Daniel dan Firdaus Rahmat namun rezeki tidak menyebelahinya.
Walau bagaimanapun, Marsha tidak berputus asa dan terus optimistik.
Yang terkini, Marsha akan berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menerusi lagu Hening Rindu, hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.
Sama-sama kita nantikan persembahan daripada Marsha dalam pentas AJL39 yang dijangka akan berlangsung pada awal 2025.
Atas pengalamannya yang agak lama dalam industri, beliau turut diundang untuk menjadi juri bagi beberapa rancangan realiti antaranya Suara Viral musim kedua dan ketiga dan A Million Voice.
Baru-baru ini, Marsha Milan juga telah menerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71.
Penglibatan Marsha Dalam Bidang Lakonan
Mungkin penggemar muzik generasi masa kini kurang mengenali Marsha kerana beliau lebih banyak terlibat dalam bidang lakonan.
Beberapa filem tempatan popular yang menampilkan Marsha adalah Magika, Cun!, Cinta Elevator, 7ujuh dan 4 Madu.
Antara lakonan Marsha yang memberi kesan mendalam kepada pencinta drama tempatan adalah menerusi drama bersiri Rindu Awak Separuh Nyawa.
Dalam drama tersebut, beliau memegang watak antagonis bernama Nurul Huda, seorang wanita bertudung labuh yang berniat jahat merampas suami orang.
Di samping itu, beliau juga pernah menyumbangkan suara bagi beberapa animasi antaranya Bola Kampung, Frozen dan Frozen 2 (versi Bahasa Melayu).
Dengan penglibatan yang cukup besar dalam bidang nyanyian dan lakonan, populariti Marsha dalam industri terus segar.
Meskipun kini perlu bersaing dengan penyanyi baharu, namun beliau terus optimis sambil memberikan yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan.
Selamat maju jaya diucapkan kepada Marsha Milan dan sama-sama kita nantikan persembahannya dalam pentas AJL39 tak lama lagi.
Sumber : Nona, Harian Metro, Kosmo!
Baca Juga : Biodata Nadeera Zaini, Finalis AJL39 dan Juara Big Stage 5