Maksud Taaruf, Cara Bertaaruf Mengikut Islam & Tips Melakukan Bertaaruf
Mencari pasangan hidup mempunyai cabaran tersendiri bagi ramai individu. Proses mencari jodoh bukan sekadar tentang keserasian antara dua individu tetapi juga melibatkan pelbagai faktor penting seperti pegangan hidup, nilai-nilai agama dan sebagainya.
Dalam Islam, salah satu cara yang dianjurkan untuk dilakukan semasa mencari pasangan adalah dengan bertaaruf.
Taaruf tidak hanya dianggap sebagai langkah menuju perkahwinan, tetapi juga sebagai usaha yang diberkati oleh Allah SWT untuk mencari pasangan hidup yang tepat dengan cara yang halal dan bermaruah.
BACA JUGA: Doa Majlis Perkahwinan – Himpunan Doa Untuk Pengantin
Maksud Taaruf
Merujuk laman sesawang Maktabah Al Bakri, bertaaruf dari segi bahasa bermaksud berkenalan. Perkataan ‘taaruf’ adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kenal.
Secara ringkasnya, taaruf dalam Islam merujuk kepada proses saling mengenali antara lelaki dan perempuan dengan niat yang jelas untuk berkahwin.
Ia tidak sekadar mencari persamaan minat atau fizikal semata-mata tetapi merangkumii nilai-nilai seperti agama, moral, dan matlamat hidup yang seiring dengan ajaran Islam.
Proses taaruf ini dijalankan dengan mengikuti adab-adab yang ditetapkan untuk menjaga kesucian dan martabat individu.
Cara Bertaaruf Mengikut Islam
Proses taaruf mengikut Islam melibatkan beberapa langkah penting yang perlu diperhatikan:
1. Pendekatan Dengan Niat Yang Jelas
Niat yang jelas dalam taaruf adalah untuk mencari pasangan hidup yang berlandaskan kepatuhan kepada ajaran agama Islam. Niat yang baik akan menghalalkan langkah-langkah yang diambil dan memberi keberkatan dalam pencarian jodoh.
2. Berinteraksi Dengan Adab
Berinteraksi antara lelaki dan perempuan dalam proses taaruf haruslah dilakukan dengan mematuhi adab-adab yang telah ditetapkan.
Ini termasuk menjaga batasan-batasan pergaulan yang halal, seperti tidak berduaan atau berkhalwat, serta memastikan setiap pertemuan diawasi atau dihadiri oleh pihak yang berkepentingan seperti wali atau teman rapat yang boleh dipercayai.
3. Mengenali Nilai-Nilai Dan Keperluan Diri Sendiri Dan Calon Pasangan
Sebelum memasuki proses taaruf, individu perlu memahami nilai-nilai yang penting bagi diri sendiri dan mencari kesepadanan dengan calon pasangan. Ini termasuk nilai-nilai agama, kepercayaan, pandangan hidup, serta matlamat dan harapan untuk masa depan.
4. Melihat Satu Sama Lain
Dalam bertaaruf, syara‘ memberikan keharusan kepada lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin untuk melihat antara satu sama lain bagi membantu mereka membuat keputusan yang betul dan yakin.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:
كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا
Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah SAW semasa datangnya seorang lelaki yang kemudian memberitahu Baginda bahawa dia ingin mengahwini wanita Ansar, lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah engkau telah melihatnya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah lihat dia, sesungguhnya pada mata orang Ansar ini ada sesuatu.”
Riwayat Muslim (1424)
5. Menggunakan Orang Tengah
Dalam proses taaruf, menggunakan orang tengah seperti wali atau orang yang dipercayai adalah cara yang disyariatkan dalam Islam.
Orang tengah dapat membantu memudahkan komunikasi antara calon pasangan, memastikan transparansi dalam proses, serta memberikan nasihat dan panduan yang objektif. Paling utama, dapat mengelakkan fitnah dan memelihara diri daripada dosa.
6. Berkenalan Dengan Ahli Keluarga
Berkenalan dengan ahli keluarga calon pasangan juga penting dalam taaruf Islam. Ini membolehkan kedua belah pihak mengetahui lebih mendalam tentang latar belakang dan nilai-nilai keluarga yang boleh mempengaruhi hubungan mereka di masa depan.
7. Beristikharah dan Berdoa
Sebelum membuat keputusan akhir, jangan luo beristikharah (memohon petunjuk dari Allah) dan berdoa. Semoga Allah memberikan hasil yang terbaik dalam proses taaruf yang sedang atau bakal dilakukan.
Tips Melakukan Bertaaruf
Bagi individu yang ingin memulakan proses taaruf, terdapat beberapa tips praktikal yang boleh diambil kira. Antaranya ialah:
1. Bersikap Sopan Dan Hormat
Penting untuk menjaga adab dalam setiap interaksi dengan calon pasangan. Ini termasuk berkomunikasi secara sopan, menghormati pendapat dan keperluan masing-masing, serta mengelakkan topik-topik yang sensitif atau tidak sesuai.
2. Berkomunikasi Dengan Jujur
Memastikan bahawa niat dan harapan dalam proses taaruf disampaikan secara terbuka dan jujur. Ini membantu membina kepercayaan dan memahami keserasisan antara dua individu.
3. Mempraktikkan Nilai-Nilai Penting Dalam Agama
Sebagai asas utama dalam taaruf, memahami dan mempraktikkan nilai-nilai agama yang penting seperti kejujuran, kesetiaan, dan komitmen dalam menjalin hubungan.
4. Berjumpa Dalam Suasana Yang Sesuai
Penting untuk memilih tempat dan masa yang sesuai untuk berjumpa dengan calon pasangan. Ini membantu mencipta suasana yang selesa dan mengelakkan daripada situasi yang tidak diingini.
5. Menggunakan Teknologi Secara Bertanggungjawab
Dalam era digital ini, menggunakan teknologi seperti aplikasi media sosial untuk taaruf perlu dilakukan dengan bertanggungjawab. Pastikan platform yang dipilih mematuhi nilai-nilai Islam dan tidak melanggar batasan pergaulan yang ditetapkan.
6. Dapatkan Nasihat Daripada Individu Dipercayai
Mendapatkan nasihat dari orang yang berpengalaman dalam bidang perkahwinan atau agama dapat memberi panduan yang berharga dalam proses taaruf. Mereka dapat memberi nasihat yang objektif dan membantu menyelesaikan keraguan atau masalah yang timbul.
7. Elak Meletakkan Perasaan Terlalu Dalam
Semasa dalam proses taaruf, pastikan anda menjaga hati sedaya upaya agar tidak meletakkan perasaan terlalu dalam. Ini adalah bagi mengelakkan hubungan silaturahim bertukar negatif dan kekecewaan yang mendalam sekiranya proses taaruf tidak berjalan dengan lancar.
8. Berfikir Rasional
Sentiasalah berfikir secara rasional dan elakkan membuat keputusan dalam keadaan beremosi. Jaga-jaga dengan ‘redflag’ yang ditunjukkan sepanjang proses taaruf dan berfikir masak-masak untuk langkah seterusnya. Jangan tergesa-gesa untuk berkahwin dan ambil masa yang sepatutnya untuk mengenali lebih lanjut calon pasangan.
Kelebihan Taaruf Mengikut Islam
1. Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT
Taaruf membawa individu lebih dekat kepada Allah SWT dalam mencari pasangan hidup. Hal ini kerana, prosesnya dilakukan dengan mematuhi ajaran agama dan mengharapkan keberkatan-Nya dalam setiap langkah.
2. Menghormati Nilai-Nilai Keluarga
Dengan melibatkan orang tua atau wali sebagai orang tengah, proses taaruf menghormati dan memperkuat nilai-nilai keluarga dalam proses pemilihan pasangan hidup.
3. Menjaga Kesucian Dan Martabat
Dengan adab-adab yang diajarkan dalam bertaaruf, individu dapat menjaga kesucian dan martabat diri serta calon pasangan, menjadikan setiap interaksi sebagai bentuk penghormatan terhadap nilai-nilai Islam.
4. Membina Kepercayaan Dan Komunikasi Yang Baik
Melalui taaruf, individu dapat membangun kepercayaan dan komunikasi yang baik dengan calon pasangan serta keluarga, yang merupakan asas yang kukuh dalam membina hubungan perkahwinan yang bahagia dan stabil.
5. Mengurangkan Risiko Perceraian
Taaruf yang dijalankan dengan cara yang benar mengurangkan risiko perceraian kerana proses pemilihan pasangan yang lebih matang dan berasaskan nilai-nilai keagamaan dan keselarasan peribadi.
Kesimpulan
Dengan mempraktikkan taaruf yang betul, individu dapat memastikan bahawa langkah mereka menuju kehidupan berumah tangga dibimbing dengan adab dan kesucian yang dikehendaki oleh Islam.
Proses ini juga memastikan bahawa setiap perhubungan dijalankan dengan penuh keberkatan dari Allah SWT, sehingga membawa kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan berkeluarga.
Sumber:
#3146: Cara Berkenalan (Taaruf) Sebelum Berkahwin – Maktabah Al Bakri