Adakah anda tahu maksud asertif dan sejauh mana anda mampu praktikannya dalam kehidupan?
Memang tidak dinafikan ada kalanya sukar untuk anda mengatakan ‘tidak’ terhadap sesuatu permintaan atau menolak tawaran daripada orang lain lebih-lebih lagi daripada keluarga atau kawan rapat.
Namun, tahukah anda jika perkara ini dibiarkan berlarutan, ia boleh memberikan kesan negatif kepada diri anda sendiri?
Oleh itu, adalah penting untuk anda pelajari kemahiran dan maksud asertif bagi melindungi diri anda daripada bebanan atau situasi yang tidak diingini.
Maksud Asertif
Asertif atau ketegasan diri merupakan keupayaan seseorang dalam menyatakan fikiran atau perasaan sama ada secara positif atau negatif secara jujur dan jelas.
Individu dengan kemahiran asertif yang baik mampu membuat sesuatu keputusan dengan tegas dan baik tanpa dipengaruhi orang lain.
Mereka juga dapat jalani kehidupan seharian yang positif tidak kira di rumah mahupun di tempat kerja.
Di samping itu, mereka juga mempunyai tahap kepuasan hidup yang lebih tinggi berbanding orang yang tidak berani menolak atau mengatakan ‘tidak’.
Pada masa yang sama, individu yang asertif juga akan rasa lebih berpuas hati dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
Ciri-Ciri Individu Asertif
Individu yang asertif boleh dikenalpasti melalui ciri-ciri seperti berikut :
- Bersikap tegas dan jujur
- Mampu membezakan kesan baik dan buruk bagi sesuatu tindakan terhadap diri dan orang lain
- Tidak mudah terpengaruh
- Berkeyakinan tinggi dan tegas dalam menjaga harga diri
- Bersikap matang dan rasional
- Berani mengatakan tidak terhadap ajakan dan perbuatan negatif
Cara Kenali Karakter Anda
Adakah anda tahu tahap keupayaan asertif diri? Cuba jawab Ya/Tidak kepada kenyataan berikut untuk ketahuinya :
- Anda berani untuk mengatakan ‘tidak’ kepada perkara yang anda tidak sukai.
- Anda akan bertanya jika tidak memahami sesuatu
- Anda merasakan diri anda cantik dan berharga
- Anda akan menegur jika ada orang memotong barisan atau giliran anda
- Anda boleh minta pertolongan tanpa rasa malu
- Anda boleh menolak ajakan atau permintaan rakan apabila mereka mengajak anda melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip anda tanpa rasa bersalah.
- Anda berani menyuarakan pendapat walaupun ia bertentangan dengan pendapat orang lain.
- Anda boleh menerima kritikan dan penolakan orang dengan baik.
- Anda berani mempertahankan hak sekiranya dibuli atau dimanipulasi.
Sekiranya separuh daripada jawapan anda adalah ‘Ya’ berdasarkan kenyataan di atas, ini bermakna anda mempunyai kemahiran asertif yang kukuh dalam kehidupan.
Jika sebaliknya, anda boleh pelajari maksud asertif dan kemahirannya dengan lebih mendalam.
Kelebihan Sifat Ini
Mengatakan ‘Tidak’ secara asertif boleh memberi kelebihan kepada individu antaranya :
- Dapat memupuk hubungan interpersonal yang lebih positif.
- Mengurangkan salah faham antara individu.
- Dapat meningkatkan komunikasi berkesan
- Mengurangkan tekanan dalam hubungan serta kehidupan
- Mampu mendorong kerjasama dan semangat sepasukan.
- Dapat membantu seseorang menjadi lebih produktif dalam tugas masing-masing
- Dapat melindungi diri daripada individu atau situasi negatif
- Dapat mengurangkan pembaziran tenaga terhadap perkara yang sia-sia.
Tips Untuk Mengatakan ‘Tidak’ Secara Asertif
Meskipun ada kalanya sukar untuk mengatakan tidak, namun asertif boleh dipelajari dan diasah.
Berikut kami kongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda mengatakan tidak secara asertif.
- Percaya bahawa anda bertanggungjawab atas segala keputusan yang diambil serta kesannya. Oleh itu, ambil tanggungjawab untuk katakan ‘tidak’ dan jangan berharap kepada orang lain untuk lakukannya.
- Belajar untuk kenalpasti perasaan, keperluan, hak dan kehendak anda ketika itu. Tanya pada diri sendiri jika anda selesa dengan situasi tersebut.
- Jika tidak pasti, anda boleh katakan “Saya akan beritahu kemudian”. Cari maklumat berkaitan sebelum mengambil keputusan.
- Tanamkan pada diri yang anda juga mempunyai hak untuk katakan ‘tidak’ jika anda tidak bersetuju dengan sesebuah situasi.
- Tak perlu menjustifikasikan atau memberi alasan. Sebaliknya, tutup perbualan dengan ringkas dan jelas supaya yang bertanya tidak tertunggu-tunggu jawapan daripada anda.
- Elakkan menggunakan “Kamu/Awak” dalam perbincangan kerana ini boleh menimbulkan perasaan dituduh kepada penerima. Contohnya, ayat seperti “ Awak membuatkan saya marah” akan membuatkan penerima rasa defensive. Sebaliknya, gantikannya perkataan “Saya”. Sebagai contoh, “Saya rasa marah bila awak cakap begini. Saya harap awak tak ulanginya lagi lain kali.”
- Amalkan sikap give and take. Sebagai contoh, anda boleh katakan “Saya rasa begini… apa pendapat awak?” atau “Mari kita fikirkan jalan terbaik untuk selesaikan masalah ini”.
Anda juga boleh mengatakan tidak dengan tegas seperti berikut :
- “Maaf kali ini saya tak boleh…”
- “Terima kasih atas undangan, tetapi saya tidak dapat hadir”
Ingatlah bahawa apabila anda mengatakan ‘tidak’ pada sesuatu permintaan, ia tidak bermaksud anda menolak atau menyingkirkan seseorang.
Hakikatnya, maksud asertif yang sebenar adalah memberi kebebasan kepada diri untuk bersikap tegas bagi melindungi diri daripada tekanan, beban dan termasuklah perkara negatif dalam hidup.
Sumber : myhealth.gov.my
Baca Juga : Maksud Play Victim, Punca, Tanda-Tanda dan Cara Tanganinya