Sejak beberapa tahun ini, kes amang seksual sering diperkatakan di dada akhbar. Namun, apakah perbezaan amang seksual dengan kes jenayah seksual lain seperti rogol?
Bagi yang belum tahu, amang seksual bukan sahaja boleh dialami oleh kanak-kanak, malah ia juga boleh terjadi kepada orang dewasa termasuk yang sama jantina dengan yang tertuduh.
Oleh itu, anda perlulah tahu maksud amang seksual dan tindakan yang sepatutnya diambil bagi mendakwa si pelaku.
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Pengenalan
Gangguan seksual merupakan satu perbuatan yang jelik, menakutkan serta memalukan. Ia bukan sahaja boleh berlaku secara fizikal atau bersemuka, malah ia juga boleh terjadi dalam bentuk percakapan dan atas talian.
Ia juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina. Ia juga boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, sekolah, universiti dan tempat kerja.
Antara contoh gangguan seksual yang boleh dialami mangsa adalah :
- Terdedah kepada sentuhan, memegang atau meraba tanpa kerelaan.
- Meminta mangsa melakukan perkara-perkara yang mendorong kepada aktiviti seksual.
- Memandang anda tanpa henti.
- Sering bertanya mengenai kehidupan seksual anda.
Anda juga perlu ingat yang perbuatan si pelaku masih dikira sebagai amang seksual walaupun anda tidak mengatakan tidak secara serta-merta.
Bayangkan situasi begini. Ketika anda mula-mula diganggu, anda mungkin menganggap ia hanya gurauan.
Anda juga mungkin takut memberi reaksi negatif kerana pelaku adalah orang yang berjawatan lebih besar atau seseorang yang anda hormati.
Bagi kanak-kanak pula, mereka mungkin tidak memahami situasi yang berlaku kerana kurang diberi pendedahan tentang gangguan seksual dan anggota seksual.
Oleh sebab itulah, perkara ini turut diterapkan dalam pembelajaran di sekolah. Contohnya, dalam Buku Teks Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tahun 3, anggota seksual telah diperkenalkan kepada murid-murid.
Maksud Amang Seksual
Setelah anda fahami apa itu gangguan seksual, kini tiba masanya untuk anda ketahui maksud amang seksual secara lebih mendalam.
Tahukah anda, perkara ini ada disentuh dalam Buku Teks Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK) Tingkatan 5 (rujuk mukasurat 125 – Unit 1, Pendidikan Kesihatan).
Dalam buku teks ini, disebutkan bahawa amang seksual bermaksud serangan seksual yang berlaku secara fizikal atau bukan fizikal seperti melakukan apa-apa perbuatan lain yang melibatkan kontak fizikal dengan seseorang kanak-kanak walaupun tanpa persetubuhan.
Menurut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Undang-undang Malaysia Akta 792 Bahagian iv Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, menyatakan apa-apa perbuatan menyentuh bahagian seksual mangsa ataupun mangsa dipaksa melakukan sebaliknya terhadap pelaku dianggap amang seksual.
Contoh amang seksual termasuklah:
- GANGGUAN SECARA LISAN – Kata-kata gurauan, usikan, bunyian dan soalan yang berbentuk cadangan seksual
- GANGGUAN BUKAN LISAN / BAHASA TUBUH – Pandangan atau kerlingan yang mempunyai niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks.
- GANGGUAN VISUAL – Menunjukkan bahan lucah, melukis gambar lucah dan menulis surat berunsur seksual.
- GANGGUAN PSIKOLOGI – Mengulangi jemputan, merayu atau ajakan sosial seperti keluar berjalan yang telah ditolak sebelumnya secara berterusan.
- GANGGUAN FIZIKAL – Sentuhan yang tidak diingini seperti memegang tangan mangsa secara paksaan, menyentuh bahagian lain tubuh mangsa, menyentuh alat seksual mangsa dan memeluk mangsa secara paksa.
Perbezaan Amang Seksual Dengan Rogol / Pengantunan Seksual (Sexual Grooming)
Setelah memahami maksud amang seksual fizikal, anda juga perlu ambil tahu maksud rogol.
Rogol merupakan satu bentuk keganasan seksual yang berlaku apabila anda tidak mahu melakukan seks dengan seseorang.
Kesalahan merogol juga terletak 100% kepada pelaku kerana tiada sesiapa yang ingin dirogol.
Di Malaysia, merogol adalah perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj tanpa kerelaan mangsa.
Sekiranya mangsa rogol berusia 16 tahun ke bawah, seks tersebut dikira sebagai rogol statutori.
Mungkin kita biasa dengar kes rogol yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, sebahagian besar kes dilakukan oleh individu yang mengenali mangsa.
Ini terbukti daripada statistik yang dikongsikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Didapati hampir 90% mangsa rogol mengakui mereka mengenali pelakunya.
Secara ringkasnya, rogol memerlukan kemasukan zakar. Amang seksual tidak. Asalkan ada tindakan ke arah seksual sama ada fizikal atau tidak, maka ia dipanggil amang seksual.
Hubungan suka sama suka bersama 16 tahun ke bawah juga dipanggil rogol. Sedangkan amang seksual adalah hubungan bersama 18 tahun ke bawah.
Rogol hanya dibuat oleh lelaki terhadap perempuan sahaja. Manakala amang seksual tidak kira jantina, asalkan pelaku itu dewasa, dan mangsa itu kanak-kanak.
Rogol adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Amang seksual di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Aktiviti seksual yang boleh berlaku tanpa keizinan atau consent sekiranya mangsa :
- Sedang tidur, tidak sedarkan diri, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.
- Dipaksa, dimanipulasi atau ditipu untuk bersetuju atau berkata ‘Ya’.
- Terlalu muda untuk memberi keizinan.
Berikut adalah ringkasan perbezaan bagi ketiga-tiga istilah ‘rogol’, ‘amang seksual’ dan ‘sexual grooming’ atau ‘pengantunan seksual’.
Aspek | Rogol | Amang Seksual | Sexual Grooming |
---|---|---|---|
Definisi | Persetubuhan tanpa kerelaan atau dengan kanak-kanak di bawah umur (walaupun dengan izin) | Perbuatan seksual selain persetubuhan | Proses memujuk kanak-kanak untuk tujuan seksual |
Bentuk perbuatan | Penetrasi zakar ke dalam faraj / dubur / mulut | Meraba, mencium, menunjukkan bahan lucah | Mesej, panggilan, hadiah, pujian yang memancing kepercayaan |
Fizikal berlaku? | Ya, berlaku persetubuhan | Ya, melibatkan sentuhan atau pendedahan | Tidak semestinya; boleh berlaku secara maya |
Mangsa biasa | Perempuan | Kanak-kanak atau remaja | Kanak-kanak di bawah 18 tahun |
Niat pelaku | Memuaskan nafsu secara paksa | Memuaskan nafsu tanpa persetubuhan | Mendapat kepercayaan untuk tujuan seksual |
Akta Terlibat | Kanun Keseksaan (Seksyen 375 & 376) | Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Seksyen 14) | Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Seksyen 12) |
Contoh ringkas | Lelaki memaksa gadis melakukan hubungan seks (persetubuhan) | Lelaki meraba kanak-kanak | Lelaki pujuk budak perempuan dengan mesej dan hadiah |
Hukuman (anggaran) | Penjara min. 10 tahun hingga seumur hidup + sebat | Penjara hingga 20 tahun + sebat | Penjara hingga 5 tahun + denda / sebat |
Kesan Amang Seksual Terhadap Mental dan Fizikal Mangsa
Mangsa kepada kegiatan amang seksual atau gangguan seksual mungkin akan :
- Berasa tertekan, gelisah atau alami kemurungan.
- Hilang minat untuk bersosial atau suka menyendiri.
- Tiada keyakinan diri.
- Menunjukkan simptom fizikal akibat stres seperti susah tidur, sakit kepala dan sakit belakang.
- Sukar untuk fokus di tempat kerja.
Mangsa kepada kesemua kegiatan gangguan seksual boleh membuat laporan polis.
Anda juga harus ingat bahawa kejadian rogol bukanlah salah anda, tetapi 100% salah pelaku.
Sumber : Buku Teks Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan Tingkatan 5, Hellodoktor