Makanan Rawat Sembelit, Punca Berlaku & Langkah Pencegahan

Makanan Pesakit Sembelit
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Berikut kami kongsikan beberapa makanan yang sesuai untuk dimakan oleh individu-individu yang mengalami sembelit, iaitu sejenis gejala yang menyebabkan  usus tidak mudah atau tidak kerap bergerak. 

Gejala ini akan menyebabkan anda sukar untuk membuang najis dan sering mengalami ketegangan, kembung perut, merasakan usus penuh atau usus tidak kosong. Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan gejala ini, pastikan anda bersama kami sehingga ke hujung artikel ini. 

Apa Itu Sembelit?

Sembelit berlaku apabila seseorang mengalami kesukaran membuang air besar atau kekerapan membuang air besar kurang daripada tiga kali dalam seminggu.

Najis menjadi keras dan kering kerana usus besar menyerap terlalu banyak air, menyebabkan pergerakan najis menjadi perlahan dan sukar untuk dikeluarkan.

Tanda-tanda sembelit termasuk:

  • Membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu
  • Najis keras, kering, atau berbentuk gumpalan besar
  • Perlu meneran dengan kuat semasa membuang air besar
  • Rasa seperti ada halangan di dalam rektum
  • Rasa tidak puas selepas membuang air besar
  • Sakit atau pedih semasa proses membuang air besar
  • Perut terasa kembung, sakit, atau kejang

Punca Sembelit

Sembelit biasanya berpunca daripada beberapa faktor, antaranya:

  • Pengambilan makanan yang rendah serat
  • Pengambilan makanan atau minuman dari sumber tenusu secara berlebihan
  • Kekurangan pengambilan air putih
  • Kurang aktiviti fizikal atau senaman
  • Menangguhkan keinginan untuk membuang air besar
  • Penggunaan ubat tertentu seperti antidepresan atau ubat tahan sakit
  • Faktor usia, lebih kerap berlaku pada mereka yang berumur 65 tahun ke atas
  • Perubahan hormon pada wanita semasa haid, kehamilan, atau selepas bersalin
  • Masalah otot dasar pelvis yang mengganggu proses pembuangan najis
  • Halangan atau masalah pada usus besar atau rektum seperti ketumbuhan

Langkah Pencegahan

Untuk mengatasi sembelit, perubahan gaya hidup dan pemakanan amat penting, antaranya:

  • Meningkatkan pengambilan makanan kaya serat
  • Memastikan pengambilan air putih yang mencukupi setiap hari
  • Melakukan aktiviti fizikal secara berkala
  • Tidak menangguh untuk membuang air besar apabila terasa
  • Kurangkan pengambilan makanan dan minuman dari sumber tenusu
  • Kurangkan pengambilan kafein dari teh dan kopi.
sembelit
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Makanan Untuk Rawat Sembelit

Bagi mereka yang mengalami sembelit, berikut adalah beberapa makanan yang boleh membantu merawat gejala ini:

  • Buah Prun: Mengandungi serat tinggi dan sorbitol, bahan semula jadi yang membantu melembutkan najis dan merangsang pergerakan usus.
  • Buah Epal: Kaya dengan serat larut dan tidak larut yang membantu menambah saiz najis serta melembutkannya.
  • Buah Pir: Mengandungi serat larut dan sorbitol yang berfungsi sebagai julap ringan.
  • Buah Kiwi: Tinggi serat larut dan mengandungi enzim actinidin yang membantu penghadaman dan merangsang pergerakan usus.
  • Buah Tin: Sumber serat tidak larut dan sorbitol yang membantu melembutkan najis dan seterusnya mengelakkan sembelit.
  • Buah Pisang: Mengandungi pektin dan inulin yang menyokong kesihatan usus dan melembutkan najis.
  • Biji Chia: Apabila direndam, biji chia membentuk gel yang membantu melancarkan pergerakan usus dan kaya dengan omega-3 serta serat.
  • Kacang Badam: Mengandungi serat dan lemak sihat yang membantu sistem pencernaan.
  • Sayur Bayam: Kaya dengan serat dan magnesium yang menyokong fungsi otot saluran pencernaan.
  • Roti Bijirin Penuh: Mengandungi serat tidak larut yang mempercepatkan laluan makanan melalui usus.
  • Yogurt Probiotik: Mengandungi bakteria baik yang membantu meningkatkan kesihatan usus dan memperbaiki pencernaan.
  • Buah Avocado: Mengandungi serat tinggi dan fitosterol yang membantu mengurangkan keradangan serta melancarkan pembuangan najis.
  • Oatmeal: Sumber serat larut yang membantu mengekalkan kelembapan najis dan menstabilkan sistem pencernaan.

Kesemua makanan ini dapat membantu anda dalam rawat sembelit anda, namun jika sembelit masih berterusan, anda disarankan untuk terus berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan jawapan dan cara penyembuhan yang lebih berkesan untuk anda.

Baca juga: Makanan Untuk Buasir – 10 Makanan Untuk Kecutkan Hemoroid

Kepentingan Air Putih

Selain, makan makanan di atas, pengambilan air putih yang mencukupi juga sangat penting dalam membantu anda rawat sembelit.

Anda digalakkan untuk meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari membantu melembutkan najis dan memastikan sistem pencernaan anda dapat berfungsi dengan baik.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut