Selain pantai dan tempat-tempat menarik di Terengganu, anda juga wajib cuba pelbagai jenis makanan yang ada di negeri ini.
Terengganu ni salah satu negeri yang terkenal dengan kepelbagaian makanannya sama ada makanan berat, mahupun kuih-muih dan pencuci mulut. Rugi tau kalau tak cuba!
Nak tahu apa je makanan yang popular di Terengganu, jom baca perkongsian di bawah.
BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025
Makanan Negeri Terengganu
1. Nasi Dagang
Nasi Dagang ni memang makanan popular dan ikonik di Terengganu. Biasanya ia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol sebagai lauk utama serta lauk tambahan seperti telur rebus, acar timun dan sambal kelapa.
Rasanya yang lemak dan pedas menjadikannya kegemaran ramai. Sedap!
Cadangan tempat makan Nasi Dagang di Terengganu:
- Nasi Dagang Atas Tol
- Kedai Nasi Dagang Kampung Ladang
2. Keropok Lekor
Walaupun keropok lekor boleh didapati di negeri lain, tetapi keropok lekor Terengganu ada keistimewaannya tersendiri.Tak sah datang ke Terengganu kalau tak cuba sendiri keropok lekor asli yang memang terkenal di sini!
Keropok lekor di sini diperbuat daripada campuran ikan segar dan tepung sagu. Ada tiga jenis yang boleh anda cuba iaitu keropok lekor rebus yang lembut, keropok lekor goreng yang rangup dan keropok keping yang nipis serta garing.
Menariknya, di Kampung Cina, Kuala Terengganu, ada keropok lekor ikan parang kukus berwarna putih yang merupakan resipi kaum Peranakan Cina. Malah sos cicahnya pun lain daripada sos cicah keropok lekor biasa.
Cadangan tempat makan lekor di Terengganu:
- Pasar Payang
- Keropok Warisan Seberang Takir
- Keropok Lekor 008 Kelulut
- Keropok Losong Adik Beradik (Losong Haji Su)
3. Sata Ikan
Sata ikan adalah makanan tradisional negeri Terengganu yang sangat sedap dan unik. Sekali makan pasti nak lagi!
Sata adalah merupakan campuran isi ikan, kelapa parut, cili, bawang dan rempah yang dibungkus dalam daun pisang. Kemudian, dibakar di atas api arang. Proses pembakaran ini menghasilkan aroma daun pisang yang sangat wangi!
Cadangan tempat makan sata di Terengganu:
- Kak Zah Sata dan Pulut Panggang
- Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar
4. Laksam
Seterusnya, makanan negeri Terengganu yang anda kena cuba juga ialah Laksam. Laksam Terengganu berbeza tau dengan laksam di negeri lain.
Laksam Terengganu menggunakan mi yang lebih tebal, diperbuat daripada tepung beras yang digulung-gulung kemudian dipotong. Kuahnya pula lebih pekat dan biasanya menggunakan ikan selayang atau sardin serta dicampur dengan santan dan beberapa bahan lain.
Keunikan Laksam Terengganu juga terletak pada cara ia dihidangkan. Ia biasanya datang dengan dua jenis kuah – kuah masak dan kuah mentah.
Kuah mentah dibuat dengan santan yang diharong (dicampur air panas) tanpa dimasak, manakala kuah masak disediakan dengan rempah dan mempunyai warna yang lebih kuning. Tidak ketinggalan juga sambal belacan. Wajib ada.
Cadangan tempat makan laksam di Terengganu:
- Laksam Pior
- Kedai Laksa Beseng Mak Cik Ros
5. Ketupat Sotong
Satu lagi makanan popular yang terdapat di Negeri Terengganu ialah ketupat sotong.
Ketupat sotong ni adalah sotong yang diisi dengan nasi pulut yang telah dimasak dengan santan dan rempah, kemudian dimasak dalam kuah yang pekat dan sedap.
Cadangan tempat makan ketupat sotong di Terengganu:
- Pasar Borong Lampu Kuala Besut
- Warung Amilin
6. Rojak Kateh
Rojak Kateh juga salah satu makanan negeri Terengganu yang cukup terkenal.
Rojak kateh ni dibuat daripada urat keting lembu / kerbau yang direbus selama beberapa jam. Ia dimasak bersama air cuka berlada.
Kalau nak tahu rasanya, cubalah nanti!
Cadangan tempat makan rojak kateh di Terengganu:
- Boleh didapati sekitar pasar kedai payang, pasar manir, pasar batu enam (Kuala Nerus) dan di beberapa pasar-pasar terengganu yg lain (kuala berang dll).
7. Pulut Lepa
Kalau di negeri lain, ada yang panggil pulut panggang. Tapi dekat Terengganu, ia dikenali sebagai pulut lepa.
Pulut Lepa adalah makanan ringan yang dibuat daripada beras pulut yang dikukus dengan santan. Intinya pula diperbuat daripada isi ikan yang dimasak dengan santan dan ramuan lain. Selalunya ia dimakan pada waktu pagi atau minum petang.
Cadangan tempat makan pulut lepa di Terengganu:
- Pasar Malam atau mana-mana gerai tepi jalan selalunya ada jual.
8. Kuih Tepung Gomok
Kuih tradisional Terengganu ini diperbuat daripada tepung beras, gula melaka dan kelapa. Teksturnya yang kenyal dan manis menjadikannya hidangan pencuci mulut yang sempurna.
Kalau anda mencari makanan negeri Terengganu tapi nak yang kuih-muih, haa anda kena cuba kuih tepung gomok ni.
Cadangan tempat makan pulut lepa di Terengganu:
- Pulut Lepa (pulut Panggang Jalan Pejabat)
- Pulut Lepa Ladang Kak Zah (Sebelah Sekolah Kebangsaan Ladang Kuala Terengganu)
- Kg Sg Ikan, Kuala Terengganu
9. Roti Paung
Seterusnya, makanan negeri Terengganu yang anda kena cuba ialah roti paung.
Roti Paung ni bukan macam roti biasa tu. Roti paung ni adalah roti tradisional Terengganu yang sering dihidangkan dengan kari atau dalca sebab takda inti dalamnya. Roti ini juga boleh dihidangkan bersama mentega, kaya, atau kacang merah.
Cadangan tempat makan roti paung di Terengganu:
- Roti Paung Che Wan
- Roti Paung Banggol Peradong
- T. Homemade Cafe
10. Kuih Tahi Itik
Kuih tahi itik diperbuat daripada putih telur kemudian dimasak dalam air gula pekat sehingga menghasilkan tekstur yang lembut dan manis.
Nama “Tahi Itik” diberikan kerana rupanya yang keputih-putihan dan bertempek-tempek menyerupai tahi itik. Kuih ini biasanya disajikan kering tanpa kuah tambahan dan sering dinikmati dengan teh tawar.
Jangan lupa cuba ya!
Cadangan tempat makan kuih tahi itik di Terengganu:
- Gerai Ma Maimunah
- Sisme Food Industries di Laman Warisan
- Kampung Budaya Terengganu
- Kompleks Muzium Negeri Terengganu
11. Nekbat
Nekbat adalah kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras dan telur. Bentuknya macam bahulu tetapi lebih keras dan tawar sebelum disira.
Sebelum dimakan, ia disira dalam air gula yang dimasak bersama daun pandan dan cengkih untuk menghasilkan tekstur yang lembut dan rasa manis serta wangi.
Nekbat biasanya dimakan pada bulan Ramadan sebagai pencuci mulut.
Cadangan tempat makan nekbat di Terengganu:
- Nekbat Warisang Pulau Musang, Kuala Terengganu
- Pasar malam di sekitar Terengganu
12. Kuih Lok Lik
Makanan negeri Terengganu yang anda kena cuba seterusnya ialah Kuih Lok Lik. Kuih ini dibuat daripada lebihan nasi atau beras pulut yang digoreng tanpa minyak bersama sedikit garam, gula melaka, kelapa muda yang telah diparut dan sedikit air. Ia dimasak sehingga pekat.
Kuih tradisional Terengganu ini dulu sering menjadi hidangan masyarakat kampung setiap kali selepas musim menuai padi.
Cadangan tempat makan kuih Lok Lik di Terengganu:
- Kg. Batu Putih Batangan, Marang
13. Dodol Daun Palas
Dodol Daun Palas adalah versi khas dodol yang berasal dari Terengganu. Ciri utama yang membezakannya daripada dodol biasa ialah penggunaan daun palas sebagai pembungkus.
Daun palas ini bukan sekadar berfungsi sebagai pembungkus, tetapi juga memberikan aroma yang unik dan khas kepada dodol.
Cadangan tempat makan Dodol Daun Palas di Terengganu:
- Kampung Batangan, Marang
14. Kuih Bekang
Bekang juga salah satu makanan negeri Terengganu yang cukup terkenal. Kuih tradisional Terengganu ini mempunyai tekstur yang lembut dan dibuat daripada bahan-bahan asas yang mudah didapati: tepung beras, air, telur, dan sedikit garam.
Keunikan Bekang terletak pada cara ia dihidangkan. Ia biasanya disajikan dengan dua jenis kuah yang berbeza. Kuah pertama adalah kuah manis yang dibuat daripada campuran santan dan gula melaka/ Kuah kedua pula adalah kuah lemak yang terdiri daripada santan dan ikan.
Cadangan tempat makan kuih Bekang di Terengganu:
- Bekang Tradisional Hujung Tanjung (Pok Weil)
- Bekang Tok Minoh
15. Kuih Mas Sejemput
Mas sejemput juga salah satu kuih tradisional Terengganu yang anda patut cuba.
Kuih ini rasanya manis dan dihasilkan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula. Bentuknya sangat cantik seperti tiga segi beropol dan biasanya hanya disediakan untuk acara istimewa seperti acara meminang dan perkahwinan.
Cadangan tempat makan kuih Mas Sejemput di Terengganu:
- Kampung Budaya Terengganu
- Pasar Batu 6 di Kuala Terengganu