10 Makanan Indonesia Yang Serba Unik dan Wajib Dicuba

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sebagai negara serumpun, rakyat Malaysia juga cukup menggemari juadah daripada negara jiran, Indonesia.

Jika anda sering dengar tentang makanan Indonesia seperti bakso, nasi ayam penyet dan gado-gado, kali ini kami ingin kongsikan beberapa hidangan unik yang wajib anda cuba dari negara jiran.

Ayuh kita semak 10 makanan Indonesia yang menarik daripada pelbagai daerah.

10 Makanan Indonesia Yang Serba Unik dan Wajib Dicuba

1. Ketoprak

Ketoprak adalah makanan ringkas namun mengenyangkan dan sering menjadi pilihan warga Jakarta.

Jika anda suka makan gado-gado atau rojak, anda juga mungkin suka akan hidangan ini.

Ketoprak diperbuat daripada gabungan beberapa bahan seperti tauhu goreng, ketupat, bihun, tauge dan sos kacang.

Untuk rasa rangup, ketoprak juga sering dinikmati bersama keropok udang.

Makanan Indonesia

2. Bika Ambon

Kuih tradisional yang berasal dari Sumatera Utara ini banyak dijual di sekitar Medan. Ia juga sering menjadi pilihan pelancong untuk dijadikan ole-ole.

Berwarna kekuningan, Bika Ambon ini memiliki tekstur yang lembut, manis dan berongga. Memang enak untuk dinikmati ketika minum petang.

Makanan Indonesia

3. Empek-Empek

Empek-empek atau pempek pula merupakan makanan khas dari daerah Palembang.

Diperbuat daripada tepung kanji dan pilihan isi daging atau ikan, makanan Indonesia yang terkenal ini dikatakan sudah wujud sejak abad ke-16!

Ia biasanya dicicah dengan kuah cuko iaitu kuah yang dihasilkan daripada campuran cuka, asam jawa, gula merah dan cili.

Makanan Indonesia

4. Sate Lilit

Rugi kalau tak cuba Sate Lilit jika anda bercuti di Bali. Berbeza daripada sate biasa, Sate Lilit dibuat dengan menggumpal daging pada batang serai.

Selain itu, sate ini juga tidak dihidang bersama kuah kacang kerana adunan daging itu sudah pun cukup berperisa.

Makanan Indonesia

5. Lumpia

Mempunyai rupa seakan popia, lumpia dikatakan berasal dari China.

Kulitnya diperbuat daripada tepung beras dan mempunyai pelbagai jenis inti seperti daging, sayur, makanan laut atau rebung.

Street food dari Semarang ini boleh dijumpai di pelbagai daerah Indonesia.

Makanan Indonesia

6. Gudeg

Kalau berkunjung ke Jogjakarta, rasanya tak sah kalau tak mencuba makanan istimewanya iaitu Gudeg.

Makanan Indonesia ini diperbuat daripada nangka dan santan serta mempunyai rasa yang manis.

Ia sering dipadankan bersama nasi panas dan hidangan sampingan lain seperti ayam kampung, tempe, tauhu dan telur.

Makanan Indonesia

7. Nasi Liwet

Nasi liwet adalah nasi yang dimasak dengan santan. Ia disajikan dengan lauk seperti isi ayam carik, areh dan sayur labu siam.

Hidangan daripada Solo ini sesuai untuk dinikmati pada waktu sarapan atau makan malam.

Sumber : detikfood

8. Rawon

Bagi yang suka makan sup daging panas-panas, anda wajib cuka Rawon jika ke Indonesia.

Sup daging yang berasal dari Jawa Timur ini mempunyai warna yang agak kehitaman daripada kacang kluwek.

Rawon biasanya disajikan bersama tauge, telur masin dan nasi panas.

9. Martabak Manis

Walaupun namanya seakan murtabak, namun martabak dari Indonesia ini mempunyai rupa seakan apam balik.

Berbanding apam balik yang ada tekstur berongga, martabak pula ada tekstur yang bersarang dan saiznya pula lebih tebal.

Juga dikenali sebagai Terang Bulan, martabak manis mempunyai inti yang sangat berlemak seperti susu pekat manis, keju dan coklat parut.

Sumber : yummy.co.id

10. Kerak Telor

Kerak Telor pula merupakan makanan Indonesia yang terkenal di Betawi. Ia diperbuat daripada telur ayam atau telur itik, udang kering, beras pulut, kelapa sangai dan ditaburi dengan bawang goreng.

Hidangan yang mempunyai rasa pedas dan masin ini sering dijumpai pada festival tertentu seperti Pekan Raya Jakarta.

Namun, ia masih mudah dijumpai sebagai street food di ibu kota Indonesia.

Wah, rupanya terdapat banyak hidangan Indonesia yang menarik untuk dicuba. Dari kuih, street food hinggalah ke makanan berat, semuanya nampak lazat!

Jangan lupa untuk mencuba juadah istimewa ini jika anda berkesempatan ke Indonesia!

Sumber : CNN Indonesia, indonesia.travel, detik.com

Baca Juga : 12 Makanan Sarawak Yang Unik dan Wajib Dicuba

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut