Antara isi penting dan contoh karangan mengenai langkah memartabatkan Bahasa Melayu.
Murid boleh merujuk isi penting dan contoh karangan ini sebagai rujukan.
Isi Penting Karangan Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu
1. Memperkasakan Akta Mewajibkan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
- Menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan.
- Pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan Bahasa Melayu.
- Kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda.
2. Memupuk Kesedaran Kepada Anak Kecil
- Contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan Bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak.
- Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah Bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15.
- Hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
3. Menjalankan Kempen Memartabatkan Bahasa Melayu
- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu.
- Contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan Bahasa Melayu.
- Dapat meningkatkan kesedaran generasi muda akan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
4. Peranan Media Massa
- Media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai.
- Media masa merupakan alat penyebaran maklumat kepada orang ramai.
- Perkara ini sudah pasti akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita.
- Sekiranya penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas digunakan, sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
Contoh Karangan Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu
i) PENDAHULUAN
Bahasa jiwa bangsa’ merupakan frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, Bahasa Melayu perlu diutamakan dan dimatabatkan. Tambahan pula Bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Oleh kerana itulah perlunya pelbagai langkah dalam memartabatkan Bahasa Melayu di negara kita.
ii) ISI 1: MEMPERKASAKAN AKTA MEWAJIBKAN PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN
Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan memperkasakan akta yang mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan Bahasa Melayu ini. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah Bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
iii) ISI 2: MEMUPUK KESEDARAN KEPADA ANAK-ANAK KECIL
Selain itu, antara usaha memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya Bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan Bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan Bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah Bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya,” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
iv) ISI 3: MENJALANKAN KEMPEN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini juga perlulah giat dalam menjalankan kempen untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan Bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan Bahasa Melayu. Ini dapat meningkatkan kesedaran generasi muda akan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
v) ISI 4: PERANAN MEDIA MASSA
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan Bahasa
Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Ini kerana media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai kerana orang ramai sentiasa mengikuti media massa untuk mendapatkan maklumat dan berita. Perkara ini sudah pasti akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas digunakan, sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
vi) PENUTUP
Kesimpulannya, usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu perlulah dipergiatkan dari setiap peringkat. Semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian, Bahasa Melayu dikhuatiri akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita.
Dapatkan buku latihan Bahasa Melayu DI SINI