Labbaikallah Humma Labbaik – Lafaz Talbiah & Maksudnya

Dalam musim haji ini, seringkali kita dengar ucapan talbiah, iaitu “Labbaikallah humma labbaik”.

Tahukah kita apa maksud kalimah ini dan bilakah ia boleh dilafazkan?

Berikut dikongsikan selanjutnya untuk makluman kita semua, khususnya umat Islam.

Pengenalan Talbiah

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji.

Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci.

Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab).

talbiah labbaikallah humma labbaik

Waktu Ia Dibacakan

Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.

Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ

Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah”

Riwayat al-Tirmizi (829)

Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Mekah dimana berkumpulnya semua jemaah haji.

Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Lafaz Talbiah : Labbaikallah Humma Labbaik

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ

لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ

اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Labbaik Allah humma labbaik

Labbaika la sharika laka labbaik

Innal hamda wanni’mata

Laka walmulk Laa sharika lak

Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Sumber: BAYAN LI AL-HAJ SIRI 25 : PENGERTIAN TALBIAH DAN WAKTUNYA

Baca juga: Selamat Hari Raya Aidiladha (Background / Wallpaper)

Bantu kami share artikel ini: