Ketuat Kaki : Punca, Kaedah Rawatan dan Tips Pencegahan

Adakah anda sedang alami ketuat kaki? Walaupun pada kebanyakan masa ia tidak berbahaya, namun ia sangat mudah berjangkit kepada orang lain.

Biasanya ketuat boleh menyebabkan kulit luka, rasa tidak selesa, gatal dan sakit yang sederhana.

Selain kaki, ia juga boleh tumbuh di kawasan lain seperti jari, tangan dan muka. Apakah kaedah rawatan bagi ketuat kaki dan cara untuk mencegahnya? Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.

Punca Ketuat Kaki

Ketuat merupakan ketumbuhan kecil pada kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis virus yang dinamakan sebagai Human Papiloma Virus (HPV).

Terdapat lebih daripada 100 jenis HPV dan boleh mengakibatkan pelbagai jenis gejala. Selain kaki, kawasan lain yang mudah dijangkiti ketuat adalah pada tangan dan jari.

Ketuat boleh berjangkit daripada satu individu kepada yang lain.

Perbuatan menggaru atau mengorek ketuat boleh mengakibatkan jangkitan merebak.

Kulit yang lembap akibat direndam, terluka atau calar juga lebih cenderung untuk dijangkiti ketuat.

ketuat kaki

Jenis Ketuat

Terdapat tiga jenis ketuat yang boleh muncul pada badan iaitu.

Ketuat Biasa – bentuknya kecil, keras, kasar dan biasanya muncul pada bahagian jari.

Ketuat Plantar – ketuat jenis ini sering muncul di bawah tapak kaki terutamanya yang suka berkaki ayam.

Ketuat Flat – sering tumbuh pada kawasan muka dan tangan.

Kaedah Rawatan

Dalam kebanyakan masa, benjolan ketuat boleh hilang dengan sendiri. Sekiranya anda rasa ia tidak mendatangkan apa-apa masalah dan tidak terlalu besar, membiarkannya adalah pilihan yang terbaik.

Namun, sekiranya ketuat kaki semakin membesar dan membuat anda tidak selesa, doktor mungkin akan mengesyorkan beberapa kaedah rawatan iaitu :

Ubat Sapu

Ubat sapu yang biasanya disarankan adalah Salicylic Acid yang berfungsi untuk membunuh sel-sel epithelium di bahagian kulit yang bermasalah. Ia perlu digunakan secara berterusan selama 12 minggu.

Cryotherapy

Untuk rawatan ini, cecair nitrogen yang sejuk digunakan bagi membunuh kawasan kulit yang bermasalah.

Cecair tersebut diletakkan selama beberapa saat dan kemudiannya dibuang.

Kawasan kulit tersebut akan melepuh dan benjolan akan hilang. Ia mengambil masa selama beberapa hari bagi luka di kawasan tersebut betul-betul baik.

Cara rawatan ini mungkin akan menyebabkan parut di kawasan kulit.

Pembedahan Kecil

Sekiranya ketuat masih tidak hilang walaupun pelbagai ikhtiar perubatan telah dilakukan, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan kecil untuk membuangnya.

Selain kaedah cryosurgery, terdapat juga beberapa kaedah pembedahan lain seperti penggunaan jarum elektrik dan laser.

Cara Mencegah Ketuat

  • Jaga kebersihan diri dan persekitaran
  • Jangan berkongsi sarung tangan atau kasut dengan orang lain.
  • Basuh tangan dan keringkannya dengan kerap
  • Jangan gigit kuku jari kerana ketuat mudah berlaku pada kulit yang cedera.
  • Jangan garu atau cabut ketuat kerana ia boleh membuat virus merebak dengan mudah
  • Jaga kawasan kulit yang terkena ketuat. Jangan berus, potong atau cukur di kawasan ketuat. Jika perlu, gunakan pencukur elektrik.
  • Jangan kongsi barangan peribadi. Virus boleh merebak daripada barangan individu yang mempunyai ketuat.
  • Elakkan bersentuhan langsung dengan ketuat termasuk yang tumbuh pada badan sendiri.
  • Pastikan kaki anda sentiasa bersih dan kering. Tukar kasut dan stokin setiap hari.
  • Jangan lupa untuk pakai kasut atau selipar di kawasan yang terdedah kepada virus penyebab ketuat seperti bilik mandi di gym atau kolam mandi.
ketuat kaki

Walaupun ketuat kaki tidak berbahaya pada kebanyakan masa, namun ia masih perlu dijaga dengan baik. Ini bagi mengelakkan jangkitan virus HPV kepada orang terdekat.

Jangan lupa untuk tetap jaga kebersihan diri dan dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya keadaan ketuat semakin teruk.

Sumber : Facebook Dr Zubaidi, Mayoclinic

Baca Juga : Sakit Tapak Kaki : Punca, Kaedah Rawatan dan Senaman

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!