Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

KESAN JEREBU
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kesan Jerebu: Punca, Impak, dan Langkah Pencegahan

Jerebu adalah fenomena alam sekitar yang membimbangkan dan kerap kali melanda Malaysia.  Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan pemandangan, malah membawa pelbagai risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Masyarakat terpaksa berdepan dengan langit yang suram serta udara yang tercemar, yang secara langsung menjejaskan kualiti hidup seharian. 

Berikut dikongsikan beberapa kesan jerebu ke atas kesihatan, ekonomi, dan ekosistem serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko ini.

Apakah Jerebu?

Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia, jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. 

Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. 

Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

Indeks Pencemaran Udara (IPU)

IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. 

IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-

NILAI IPUSTATUS
0 – 50Baik
51 – 100Sederhana
101 – 200Tidak Sihat
201 – 300Sangat Tidak Sihat
301 – 500Berbahaya

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah – Iangkah pencegahan.

>> Layari APIMS untuk mengetahui kualiti udara di kawasan anda.

Punca – Punca Jerebu

Fenomena jerebu disebabkan oleh pelbagai faktor, sama ada secara langsung daripada aktiviti manusia atau faktor semula jadi. Berikut ialah beberapa punca utama yang menyumbang kepada berlakunya jerebu:

1. Pembakaran Hutan Secara Besar-Besaran

Pembakaran hutan merupakan punca utama jerebu yang sering dialami di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Aktiviti ini lazimnya berlaku di kawasan yang luas bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit dan pertanian. 

Pembakaran hutan ini menghasilkan asap tebal yang membawa partikel zarah halus (PM2.5 dan PM10) ke udara. Apabila angin bertiup ke arah negara-negara jiran, asap ini akan merentasi sempadan, lalu menyebabkan jerebu di kawasan yang jauh daripada lokasi asal pembakaran.

2. Pembakaran Terbuka Secara Haram

Pembakaran sampah dan sisa pertanian secara terbuka juga menyumbang kepada jerebu. Walaupun kesannya tidak sebesar pembakaran hutan, aktiviti pembakaran terbuka secara haram ini meningkatkan jumlah zarah dan gas berbahaya di udara. 

Di sesetengah kawasan, terutamanya di kawasan luar bandar, pembakaran terbuka masih menjadi amalan biasa untuk melupuskan sisa ladang atau sampah. Tanpa disedari, ia sebenarnya menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara, terutamanya semasa musim panas dan kering.

3. Aktiviti Perindustrian dan Kilang

Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

Aktiviti perindustrian dan kilang mengeluarkan sejumlah besar bahan pencemar udara, termasuk gas berbahaya seperti sulfur dioksida (SO₂), nitrogen dioksida (NO₂), dan partikel zarah yang menyebabkan jerebu. 

Di kawasan yang mempunyai banyak kilang, kualiti udara cenderung merosot akibat pelepasan bahan kimia dan habuk dari proses pengeluaran. Negara-negara yang mengalami pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian sering terdedah kepada jerebu yang berterusan, khususnya di bandar-bandar besar.

4. Penggunaan Kenderaan Bermotor

Kenderaan bermotor, terutamanya di kawasan bandar yang padat, merupakan punca utama pencemaran udara. Pelepasan asap daripada ekzos kenderaan mengandungi pelbagai bahan pencemar seperti karbon monoksida (CO), nitrogen oksida (NOx), dan hidrokarbon, yang menyumbang kepada jerebu. 

Di kawasan metropolitan yang sibuk, peningkatan jumlah kenderaan menyebabkan pencemaran udara yang signifikan, terutamanya pada waktu puncak dan musim panas apabila keadaan atmosfera menghalang pencemaran daripada hilang ke udara.

5. Fenomena Cuaca Kering & Angin

Cuaca kering dan angin juga memainkan peranan dalam pembentukan jerebu. Pada musim panas yang panas dan kering, zarah debu lebih mudah terampai di udara dan menghasilkan jerebu. 

Selain itu, angin yang bertiup membawa partikel-partikel kecil dari satu kawasan ke kawasan lain, menyebabkan jerebu di kawasan yang jauh dari punca asal. Situasi ini menjadi lebih buruk lagi apabila angin bertiup membawa asap daripada kawasan pembakaran terbuka atau hutan yang jauh.

6. Penggunaan Bahan Api Fosil

Pembakaran bahan api fosil, seperti arang batu dan minyak, sama ada untuk tujuan industri, tenaga, atau pengangkutan, turut menyumbang kepada masalah jerebu.

Pembakaran ini menghasilkan pelepasan karbon dioksida (CO₂), karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO₂), dan pelbagai gas rumah hijau yang menyebabkan pencemaran udara. 

Negara-negara yang sangat bergantung pada bahan api fosil untuk menghasilkan tenaga, terutama tanpa kawalan emisi yang ketat, lebih mudah terdedah kepada jerebu.

7. Kebakaran Tanah Gambut

Tanah gambut merupakan kawasan yang menyimpan sejumlah besar karbon. Apabila tanah gambut terbakar, api akan terus menyala walaupun di bawah permukaan tanah, menghasilkan asap tebal yang sukar dipadamkan. 

Kebakaran tanah gambut adalah masalah besar di negara-negara seperti Indonesia, dan asap daripada kebakaran ini sering kali meliputi kawasan yang luas dan menyumbang kepada jerebu yang berpanjangan. Selain itu, kebakaran gambut sukar dikawal kerana ia boleh terbakar selama berbulan-bulan, menghasilkan asap tebal yang mengandungi bahan toksik.

8. Pembinaan dan Aktiviti Pembangunan

Aktiviti pembinaan seperti penebangan pokok, pengorekan tanah, dan kerja-kerja bangunan turut menghasilkan debu dan zarah halus yang mencemarkan udara. 

Di kawasan bandar yang sedang pesat membangun, kerja pembinaan yang tidak dikawal dengan baik boleh menyumbang kepada pencemaran udara. Selain itu, jentera berat yang digunakan dalam pembinaan juga mengeluarkan asap ekzos, menambahkan lagi zarah pencemar di udara.

Kesan Jerebu

Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

A. Kesan Jerebu Terhadap Kesihatan

Kesan jerebu terhadap kesihatan manusia amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Antaranya ialah;

1. Masalah Sistem Pernafasan

Zarah halus yang terdapat dalam jerebu boleh meresap ke dalam saluran pernafasan. Ini boleh menyebabkan berlakunya kerengsaan pada hidung, tekak, dan paru-paru. 

Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah pernafasan seperti asma atau bronkitis, jerebu boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka. 

Jerebu yang berterusan juga boleh menyebabkan jangkitan pernafasan seperti pneumonia dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

2. Penyakit Jantung dan Kardiovaskular

Kajian menunjukkan bahawa jerebu juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Partikel halus yang terhidu boleh masuk ke dalam saluran darah, menyebabkan radang pada dinding arteri, dan akhirnya meningkatkan risiko serangan jantung atau strok. 

Individu yang mempunyai masalah jantung dan tekanan darah tinggi disarankan untuk mengelakkan aktiviti luar semasa indeks pencemaran udara (API) tinggi.

3. Kesan Pada Sistem Imun

Jerebu boleh melemahkan sistem imun manusia, menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada pelbagai penyakit. 

Zarah-zarah jerebu di udara boleh menyebabkan badan mengalami tekanan oksidatif yang akhirnya merosakkan sel-sel imun tubuh sekiranya dihidu secara berpanjangan.

Akibatnya, sistem imun akan menjadi lemah, meningkatkan risiko jangkitan virus dan bakteria.


Langkah Mengurangkan Kesan Jerebu kepada Kesihatan

Untuk mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan, beberapa langkah boleh diambil:

1. Kurangkan Aktiviti Luar: Elakkan aktiviti fizikal di luar rumah, terutama apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

2. Gunakan Penutup Muka: Pakai penutup hidung dan mulut yang sesuai ketika berada di luar untuk mengurangkan pendedahan kepada zarah berbahaya.

3. Kekal Dalam Bangunan: Seboleh mungkin, berada di dalam bangunan dan gunakan pembersih udara.

4. Minum Air Secukupnya: Pastikan hidrasi dengan meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari.

5. Pantau Kualiti Udara: Sentiasa periksa bacaan IPU dan ikuti nasihat pihak berkuasa kesihatan.


4. Gangguan Pada Mata dan Kulit

Jerebu juga boleh menjejaskan kesihatan mata dan kulit. Partikel halus yang berterbangan di udara boleh merengsakan mata, menyebabkan simptom seperti mata merah, gatal, dan pedih. 

Bagi kulit pula, jerebu boleh menyebabkan kekeringan, iritasi, dan juga memburukkan lagi masalah kulit seperti ekzema.

B. Kesan Jerebu Kepada Ekonomi

Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

1. Kerugian Pada Sektor Pelancongan

Jerebu yang berpanjangan boleh menjejaskan sektor pelancongan Malaysia. 

Pelancong asing cenderung untuk memilih negara dengan udara yang bersih berbandung negara yang mempunyai isu jerebu yang serius. 

Penurunan kehadiran pelancong ini akan menyebabkan kerugian kepada industri hotel, restoran, dan perkhidmatan pelancongan lain.

2. Kehilangan Produktiviti Pekerja

Apabila berlaku  jerebu yang teruk, banyak pekerja terpaksa mengambil cuti sakit akibat masalah kesihatan yang dialami. 

Kehadiran pekerja yang rendah ini boleh menjejaskan produktiviti syarikat, terutama dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang memerlukan tenaga kerja fizikal. 

Syarikat juga mungkin perlu menanggung kos tambahan untuk menyediakan kelengkapan seperti topeng dan sistem penapis udara di premis mereka.

3. Kos Perubatan yang Meningkat

Kadar penggunaan perkhidmatan kesihatan akan meningkat ketika jerebu berlaku kerana lebih ramai yang mengalami masalah kesihatan. 

Hospital dan klinik menjadi sesak dengan pesakit yang mengalami simptom jerebu, yang mengakibatkan peningkatan kos rawatan dan ubat-ubatan.


C. Kesan Jerebu Terhadap Alam Sekitar

Jerebu juga memberi impak buruk terhadap alam sekitar. Antara kesan-kesan tersebut termasuklah:

1. Pencemaran Air

Zarah-zarah halus dari jerebu boleh meresap ke dalam air sungai, tasik, dan laut. Ini boleh menyebabkan pencemaran air dan menjejaskan ekosistem akuatik. 

Apabila zarah-zarah tersebut terlarut dalam air, ia akan membahayakan hidupan laut dan mempengaruhi bekalan air bersih bagi manusia.

2. Penurunan Kualiti Tanah

Debu dan sisa bahan pencemar yang jatuh ke tanah boleh menjejaskan kualiti tanah. Bahan pencemar ini boleh mengubah pH tanah, menghalang pertumbuhan tanaman, dan mengurangkan hasil pertanian. 

Ini memberikan kesan langsung terhadap sektor pertanian yang bergantung kepada tanah yang subur.

3. Kepupusan Biodiversiti

Jerebu yang berterusan boleh menyebabkan kepupusan pelbagai spesies flora dan fauna. 

Banyak haiwan dan tumbuhan yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan kualiti udara yang mendadak, mengakibatkan gangguan dalam rantaian makanan dan kepupusan spesis tertentu.

4. Pemanasan Global

Pembakaran hutan yang menjadi punca utama jerebu menghasilkan karbon dioksida (CO2) dalam jumlah yang besar. Gas rumah kaca ini menyumbang kepada fenomena pemanasan global, yang seterusnya menyebabkan perubahan iklim. 

Pemanasan global ini bukan sahaja memberi kesan kepada cuaca, tetapi turut menjejaskan ekosistem di seluruh dunia.

Langkah-langkah Pencegahan

Kesan Jerebu, Punca, dan Langkah Pencegahan

Bagi mengurangkan kesan jerebu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah:

1. Mengelakkan Pembakaran Terbuka

Pembakaran terbuka oleh individu, ladang, dan industri perlu dielakkan. Undang-undang perlu diperketatkan dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam pembakaran terbuka. Individu juga disarankan untuk membuang sampah dengan cara yang betul.

2. Memantau Kualiti Udara

Pihak berkuasa perlu sentiasa memantau kualiti udara dan memberi maklumat terkini kepada orang ramai. Platform seperti aplikasi mudah alih boleh dibangunkan untuk memberi amaran kepada masyarakat apabila indeks API mencapai tahap yang membahayakan.

3. Penyediaan Topeng dan Alat Penapis Udara

Topeng muka yang berkualiti tinggi seperti N95 adalah penting dalam situasi jerebu yang teruk. Kerajaan dan majikan boleh mengagihkan topeng muka kepada orang ramai dan pekerja untuk melindungi kesihatan mereka.

Selain itu, penggunaan alat penapis udara di rumah dan pejabat juga boleh membantu menapis zarah halus daripada masuk ke dalam bangunan.

4. Menanam Pokok

Penanaman pokok adalah langkah jangka panjang untuk mengatasi isu jerebu. Pokok berfungsi sebagai penapis udara semula jadi yang boleh menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Program penanaman pokok perlu digiatkan untuk memastikan keseimbangan ekosistem terpelihara.

5. Pendidikan Alam Sekitar

Kesedaran awam mengenai jerebu dan kesan buruknya perlu dipertingkatkan. Kempen dan program pendidikan perlu dijalankan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jerebu.

Rujukan:

  1. Jerebu: Panduan Kesihatan untuk Anda – Portal Rasmi KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 
  2. Jerebu di Malaysia – Jabatan Alam Sekitar
  3. Punca Jerebu: Pencemaran Rentas Sempadan – WHO
  4. Kesan Aktiviti Pembakaran Terhadap Jerebu – EPA
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut