Kepentingan Sektor Pertanian Kepada Negara: Contoh Karangan

Murid boleh menjwab soalan berkenaan kepentingan sektor pertanian kepada negara dengan merujuk isi penting dan contoh karangan.

Berikut diterangkan isi penting dan contoh karangan berkaitan tajuk ini.

Pengenalan

Golongan peladang, penternak dan nelayan diiktiraf sebagai wira negara bersesuaian dengan jasa dan kepentingan golongan berkenaan dalam menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi buat rakyat.

Kepentingan golongan itu juga seiring dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang diberi tumpuan ketika ini dalam menjamin sumber makanan negara melebihi paras mencukupi.

Negara perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran sumber makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan yang memberi kesan negatif terutamanya terhadap sektor ekonomi.

Selain itu, sektor pertanian dan industri asas tani juga disaran terus berkembang maju dalam usaha membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat di segenap peringkat akar umbi. Kemajuan teknologi perlu diadaptasikan dalam kegiatan pertanian agar dapat meningkatkan pelbagai program pembangunan dan penyelidikan khusus untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik dan pasaran eksport.

Isi Penting

1. Meningkatkan Peluang Pekerjaan

  • Stigma bahawa sesetengah masyarakat desa yang mengusahakan tanaman pertanian masih tergolong dalam miskin dan ketinggalan.
  • Sektor pertanian kini banyak menawarkan peluang kerana terdapat bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, dan juga penyelidikan.
  • Sektor pertanian ini secara Iangsung dapat menambahkan Iagi peluang pekerjaan masyarakat.

2. Bekalan Bahan Mentah kepada Sektor Ekonomi Sekunder

  • Hasil pertanian banyak digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport.
  • Eksport makanan yang dikeluarkan adalah hasil pertanian seperti kelapa sawit, koko, Iada hitam, beras dan sebagainya.
  • Kos pengeluaran dapat diminimumkan.

3. Membekalkan Makanan Kepada Rakyat

  • Jika sektor pertanian tidak menjadi keutamaan negara, rakyat akan berhadapan dengan krisis makanan seperti beras.
  • Tidak mustahil untuk negara mengalami masalah kebuluran apabila rakyat tidak mendapat makanan yang cukup.
  • Sektor pertanian penting dalam memastikan rakyat di dalam negara memperoleh makanan yang mencukupi.

4. Menyumbang Pertumbuhan Ekonomi Negara

  • Sektor pertanian kini telah mengalami evolusi dengan pengenalan pelbagai teknologi yang mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.
  • Contoh, pencantuman baka padi.
  • Banyak baka baru tanaman dihasilkan seperti pisang, rambutan, dan durian.
  • Menarik minat pembeli daripada luar negara untuk mendapatkan teknologi tersebut.

Contoh Karangan Kepentingan Sektor Pertanian Kepada Negara

i) PENDAHULUAN

Sektor pertanian telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia terutamanya semasa era selepas merdeka sehingga hari ini. Namun dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang rendah terutamanya oIeh mereka yang tinggal di bandar. Hakikatnya, sektor pertanian ini mendatangkan banyak kebaikan kepada negara.

ii) ISI 1: MENINGKATKAN PELUANG PEKERJAAN

Faedah utama sektor pertanian kepada negara adalah dapat meningkatkan peluang pekerjaan. Terdapat stigma bahawa sesetengah masyarakat desa yang mengusahakan tanaman pertanian masih tergolong dalam miskin dan ketinggalan malah kehidupan mereka umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Namun, sektor pertanian kini banyak menawarkan peluang kerana terdapat bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, dan juga penyelidikan. Jadi, sektor pertanian ini secara Iangsung dapat menambahkan Iagi peluang pekerjaan masyarakat.

iii) ISI 2: BEKALAN BAHAN MENTAH KEPADA SEKTOR EKONOMI SEKUNDER

Selain peluang pekerjaan, bekalan bahan mentah penting kepada sektor ekonomi sekunder dalam pemprosesan makanan. Hasil pertanian banyak digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport. Eksport makanan yang dikeluarkan juga merupakan hasil pertanian seperti kelapa sawit, koko, Iada hitam, beras dan sebagainya. Lantaran itu, kos pengeluaran dapat diminimumkan kerana harga bahan mentah yang dibekalkan oIeh sektor pertanian adalah murah berbanding dengan pasaran antarabangsa.

iv) ISI 3: MEMBEKALKAN MAKANAN KEPADA RAKYAT

Pada masa yang sama, sektor pertanian penting dalam membekalkan bahan makanan kepada rakyat. Sebagai contoh, beras merupakan makanan asas rakyat di di dalam negara. Jika sektor pertanian tidak menjadi keutamaan negara, rakyat akan berhadapan dengan krisis makanan seperti beras. Apabila ini terjadi, adalah tidak mustahil untuk negara mengalami masalah kebuluran apabila rakyat tidak mendapat makanan yang cukup. Oleh kerana itulah, sektor pertanian penting dalam memastikan rakyat di dalam negara memperoleh makanan yang mencukupi.

v) ISI 4: MENYUMBANG PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Selain itu, sektor pertanian juga penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sektor pertanian kini telah mengalami evolusi dengan pengenalan pelbagai teknologi yang mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. Sebagai contoh, pencantuman baka padi menghasilkan dua kali tuaian setahun berbanding sekali setahun. Melalui teknologi ini juga, banyak baka baru tanaman dihasilkan seperti pisang, rambutan, dan durian. Ini akan menarik minat pembeli daripada luar negara untuk mendapatkan teknologi tersebut. Hasilnya, negara dapat memperoleh pendapatan hasil daripada kerancakan aktiviti pertanian yang dijalankan.

vi) PENUTUP

Konklusinya, negara akan mendapat banyak kebaikan daripada sektor pertanian. Untuk menjayakan sektor ini, negara memerlukan penglibatan ramai golongan muda untuk menceburi bidang ini. Namun, pihak kerajaan perlulah terus mempromosi sektor pertanian agar sektor ini mampu menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Rujuk : Koleksi Model Karangan / Excellent Model Essays Tahap 1 & 2 (Tahun 1-3 & Tahun 4-6)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!