Kemalangan tayar lori tercabut bukanlah insiden baharu di jalan raya Malaysia, tetapi ia terus menjadi punca utama kemalangan maut yang membimbangkan.
Baru-baru ini, satu kemalangan tragis telah berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), menyebabkan tujuh orang terkorban. Insiden ini berpunca daripada tayar lori yang tercabut dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki oleh mangsa.
Artikel ini kami akan kongsikan kepada anda perincian berkenaan kemalangan tayar lori tercabut tersebut.
Baca juga:
- SMART Lane – 25 Lokasi Sempena Krismas & Tahun Baru 2025
- Apakah Maksud Garisan Zigzag Pada Jalan Raya?
- Aplikasi MYJalan KKR: Aduan Jalan Raya Berlubang / Rosak
Latar Belakang Kemalangan Tayar Lori Tercabut
Kemalangan Tayar Lori Tercabut ini berlaku pada 8.30 malam (23 Disember 2024) di KM 204.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.
Kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, sebuah treler jenis Nissan, lori jenis Foton, MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga, dan sebuah Perodua Bezza.
Ketika kejadian, lori dan bas dalam perjalanan dari utara ke selatan, sementara tiga lagi kenderaan berada di arah bertentangan.
Punca kemalangan adalah disebabkan kerana bas pelancong tersebut melanggar tayar lori yang berada di tengah jalan, menyebabkan bas itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.
Kronologi Kemalangan Tayar Lori Tercabut
1. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, memaklumkan bahawa lori dan bas pelancong sedang dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan, manakala tiga kenderaan lain, iaitu treler, Toyota Estima, dan Perodua Bezza, bergerak ke arah utara.
2. Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
3. Bas pelancongan yang tiba di lokasi kejadian melanggar tayar tersebut, menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke arah laluan bertentangan.
4. Ketika bas tersebut terbabas ke lorong bertentangan, ia bertembung dengan sebuah treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, yang turut dinaiki oleh seorang kelindan berusia 16 tahun.
5. Impakan pelanggaran itu menyebabkan treler terbabas ke lorong kiri jalan, melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain, iaitu Perodua Bezza dan Toyota Estima.
Video Dashcam Kemalangan
Jumlah Kematian
Seramai 7 orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan tayar lori tercabut itu disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Berikut adalah senarai mangsa yang maut:
- Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor (pemandu bas)
- Khairul Ikhwan Mazupi (pemandu Toyota Estima)
- Fadzlenna Ramli, 32 (isteri Khairul)
- Muhammad Umar, dua tahun (anak bongsu Khairul)
- Ramli Ab Wahab, 66 (bapa Fadzlenna)
- Seorang penumpang bas
- Seorang lagi penumpang Toyota Estima (ibu Fadzlenna)
Mangsa yang cedera*:
- Muhammad Uwais Al-Qarni, 7 (anak Khairul)
- Nur Sofea Humaira, 4 (anak Khairul)
*Dua beradik itu masing-masing dirawat di zon merah dan kuning di Hospital Melaka
Rekod Kes Kemalangan Maut Melibatkan Lori
Hampir setiap hari, kemalangan melibatkan kenderaan berat berlaku di negara ini. Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 825 lori dilaporkan terlibat dalam kemalangan maut sepanjang 10 bulan pertama tahun ini. Purata menunjukkan tiga lori terlibat dalam kemalangan setiap hari, yang menyumbang kepada 5,364 kematian, berbanding 6,024 kes kematian pada tahun 2023.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, kemalangan membabitkan kenderaan berat ini merupakan sebahagian daripada 17,905 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober tahun ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,402 melibatkan kereta, diikuti motosikal (1,040), pacuan empat roda (619), dan pejalan kaki (19),” jelas beliau kepada Sinar Harian.
Trending sekarang
Beliau juga menyatakan bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan sebanyak 38,367 saman terhadap kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September tahun ini, melalui 4,822 operasi yang dijalankan di seluruh negara.
“Sebanyak 177 kenderaan perdagangan turut disita, dan kami melihat adanya peningkatan ketara dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan berat sejak akhir-akhir ini,” tambah beliau.
Kesimpulannya, kemalangan ini menjadi peringatan penting tentang kepentingan penyelenggaraan kenderaan yang menyeluruh, terutamanya bagi kenderaan berat yang berisiko tinggi.
Kami mendoakan, semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.